Bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh meninggal dunia hari ini - Utusan Malaysia

Bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh meninggal dunia hari ini

CHE MIN CHE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh dari Barisan Nasional (BN) bagi penggal 2004 hingga 2008 Datuk Che Min Che Ahmad meninggal dunia petang tadi.

Allahyarham yang berusia 79 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik air oleh ahli keluarga pada pukul 3 petang.

Cucu saudaranya, Nur Zirahaida Sohok, 37, berkata, kejadian itu disedari oleh apabila ahli keluarga selepas Allahyarham tidak hadir ke majlis kenduri.

“Hari ini merupakan kenduri 100 hari arwah bapa saya. Allahyarham baharu pulang dari Bangi, Selangor pada pagi tadi untuk menghadiri majlis kenduri arwah bapa.

“Pagi tadi saya sempat menghubunginya dan bertanya mengenai sarapan, namun dia beritahu penat serta tidak mahu makan. Biasanya Allahyarham tidak begitu kerana seorang yang sangat mengambil berat, aktif dan tidak pernah mengenal erti penat walaupun sudah berusia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nur Zirahaida memberitahu, menyedari sesuatu tidak kena mereka sekeluarga bergegas ke rumah untuk membuat pemeriksaan dan terdengar bunyi air di dalam tandas.

Katanya, selepas membuka pintu tandas mereka mendapati datuk saudara sudah tidak sedarkan diri.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh yang banyak menabur bakti kepada masyarakat dan negara sepanjang penglibatannya dalam dunia politik serta khidmat kepada rakyat.

“Saya mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya, menerima segala amal kebajikan yang telah dilakukan serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN