PETALING JAYA: Program ‘SUKASENI Youth Craft for ASEAN (YOCA) Bootcamp Penang 2026’ yang disertai hampir 50 peserta dari pelbagai negara disifatkan platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi penggiat budaya, usahawan serta pemimpin belia dari pelbagai negara ASEAN.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, penganjuran YOCA juga berpotensi menjadi medium bagi menyediakan ruang latihan kepada peserta untuk memupuk persefahaman, kerjasama dan inovasi berasaskan identiti budaya.
Katanya, penyertaan belia dari pelbagai negara ASEAN sekaligus membuktikan peranan penting generasi muda dalam membentuk masa depan ekonomi kreatif dan industri budaya di rantau ini.
“Program anjuran SUKASENI Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan sokongan PETACE Penang bukan sekadar platform latihan, malah berperanan sebagai jambatan kerjasama yang menghubungkan anak-anak muda merentasi sempadan negara, memupuk persefahaman bersama serta menyemai inovasi yang berteraskan identiti budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semua delegasi dari pelbagai negara antaranya Malaysia, Kemboja, Thailand, Indonesia, Filipina selain penyertaan dari Sudan dan Yaman itu didedahkan kepada pelbagai topik berkaitan tekstil tradisional, fesyen warisan, pemeliharaan budaya, kraftangan lestari, keusahawanan kreatif serta memelihara pengetahuan tradisional.
Program Youth Craft for ASEAN (YOCA) Tahun Ke-5: Edisi Bootcamp diadakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang dari 9 sehingga 12 Julai ini.
Dalam pada itu Hon Wai berkata, program yang diadakan bukan sekadar produk komersial, sebaliknya merupakan manifestasi budaya yang mencerminkan identiti, warisan serta keunikan sesebuah masyarakat.
“Ia juga mengetengahkan kebaya sebagai simbol warisan budaya yang mempunyai nilai tinggi di Asia Tenggara kerana melambangkan keanggunan, hasil pertukangan halus serta identiti masyarakat serantau,” jelasnya.
Beliau dalam masa yang sama turut mencadangkan agar ‘Kasut Manik’ dipertimbangkan sebagai antara warisan kraf yang berpotensi untuk mendapat pengiktirafan UNESCO berikutan nilai sejarah serta kehalusan seni pembuatannya
Bagi pengasas SUKASENI Malaysia, Raffy Syazwan berkata, sepanjang lima tahun penganjuran, program tersebut terus komited memperkasakan belia melalui budaya, warisan dan keusahawanan kreatif.
Menurutnya, program itu juga kini berkembang menjadi platform serantau yang menghubungkan bakat kreatif muda dari seluruh ASEAN dan luar rantau, di samping memupuk penghargaan terhadap seni, kraf serta fesyen tradisional sebagai pemacu pembangunan budaya yang lestari. – UTUSAN










