Syirikkah minta bantuan orang mati? - Utusan Malaysia

Syirikkah minta bantuan orang mati?

UMAT Islam tidak boleh cepat menyalahkan sesuatu amalan apatah lagi mengkafirkan seseorang hanya disebabkan sesuatu amalan yang dilakukan itu bukan amalan yang tersebar di Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tulisan saya Benarkah Quburiyyun Penyembah Kubur, menerima beberapa respons. Antaranya mempertikaikan tindakan sebahagian penziarah kubur yang menyeru si mati lalu memohon bantuan daripada si mati.

Ada yang mengatakan bahawa tindakan meminta kepada orang meninggal dunia adalah syirik. Perbuatan mensyirikkan seseorang Muslim bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan.

Pemberi Manfaat, Mudarat Hanya Allah

Menurut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), tidak ada siapapun yang berkuasa memberi manfaat atau mudarat melainkan Allah SWT. Adapun sebab yang kebiasaannya manfaat atau mudarat akan berlaku setelah wujud sesuatu sebab, maka ulama ASWJ menjelaskan, sebab bukanlah pencipta kepada manfaat atau mudarat.

Sebaliknya Allah menciptakan manfaat atau mudarat setelah sesuatu sebab dilakukan oleh seseorang. Keyakinan ini diterjemahkan masyarakat Melayu dahulu dengan ungkapan ‘Makhluk tidak memberi bekas’.

Contohnya apabila seseorang menjamah makanan, natijahnya dia kenyang. Maka menjamah makanan adalah sebab kepada kenyang. Namun ini tidak bermakna menjamah makanan menjadikan kenyang kerana yang mencipta kenyang adalah Allah.

Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) menerusi kitab al-Ahkam al-Muta’alliqoh Bi al-‘Aqoid berkata; meminta bantuan kepada makhluk atau dalam bahasa Arab disebut Istighosah tidak boleh dianggap sebagai satu kekufuran.

Sebabnya, ia termasuk dalam kategori usaha seperti seseorang yang sakit meminta bantuan doktor agar mengubatinya dalam keadaan si sakit meyakini bahawa penyembuh kepada penyakit hanyalah Allah dan bukannya doktor yang merawatnya.

Menurut Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir lagi jika ada yang beranggapan meminta bantuan orang yang masih hidup adalah tidak mengapa manakala meminta kepada yang si mati secara mutlak adalah satu perbuatan syirik, pandangan ini adalah salah.

Sebabnya, jika meminta kepada yang telah meninggal dunia adalah syirik kerana tidak meminta terus kepada Allah, sepatutnya meminta kepada yang hidup juga adalah syirik atas sebab yang sama.

Sebenarnya, meminta bantuan kepada makhluk sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia akan menjadi satu perbuatan yang diharamkan apabila yang meminta bantuan beriktikad orang yang diminta bantuannya berkuasa menunaikan hajat.

Namun iktikad seperti ini sama sekali jauh daripada keyakinan masyarakat awam Islam apatah lagi para ulama dan orang soleh.

Al-Imam Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dardir di dalam karya akidahnya, al-Khoridah al-Bahiyyah berkata: Barang siapa yang mengatakan (bahawa sesuatu perkara adalah terjadi) dengan sebab tabie atau (terjadi) dengan sebab (sesuatu makhluk adalah) ‘illah (iaitu penyebab kepada wujudnya makhluk yang lain), maka (pegangan seperti) itu adalah kufur di sisi yang beragama Islam.

Barang siapa yang mengatakan (sesuatu perkara adalah terjadi) dengan sebab keupayaan yang telah disimpan (oleh Allah padanya), maka (pegangan seperti) itu dianggap sebagai bidaah. Jadi janganlah kamu berpaling (kepada pandangan yang sesat tersebut).

Oleh itu apabila seseorang pergi ke kubur seorang wali Allah lalu dia berkata: Wahai wali Allah. Saya mempunyai masalah begian begian. Maka bantulah saya. Ucapan ini hendaklah difahami berdasarkan akidah seorang Muslim yang meyakini bahawa pemberi manfaat dan mudarat hanyalah Allah. Seakan-akan orang tersebut ingin berkata: Wahai wali Allah. Mohonlah kepada Allah agar Allah melepaskan saya daripada masalah yang sedang membelenggu saya ini.

Dalil Yang Membenarkan

Al-Imam al-Tirmidzi dalam Sunan al-Tirmidzi meriwayatkan satu hadis berstatus hasan sahih daripada Uthman bin Hunayf bahawa sesungguhnya seorang lelaki yang buta penglihatan telah mendatangi Nabi SAW lalu berkata: Mohonlah kepada Allah agar Dia memberikan kesembuhan untukku”. Baginda bersabda: “Sekiranya anda mahu, saya akan berdoa. (Namun) sekiranya anda mahu, (saya tidak akan berdoa dan) anda (pula) akan bersabar (atas kehilangan deria penglihatan). Maka ia adalah yang (paling) baik untuk anda (berbanding yang pertama).

Lelaki tersebut telah berkata: Maka (kalau begitu) anda berdoalah kepada-Nya (agar saya disembuhkan). Maka baginda telah menyuruh beliau berwuduk lalu beliau (turut diminta untuk) mengelokkan wuduknya lantas beliau (setelah itu disuruh oleh baginda untuk) berdoa dengan doa ini: Ya Allah. Sesungguhnya daku memohon kepada-Mu dan daku menghadap kepada-Mu dengan (keberkatan) Nabi-Mu Muhammad (yang merupakan) nabi kerahmatan. Sesungguhnya daku menghadap kepada tuhanku dengan (keberkatan) anda (wahai Rasulullah) pada hajatku ini agar ia ditunaikan untukku. Ya Allah. Terimalah baginda sebagai pemberi syafaat kepada saya.

Menerusi hadis ini, Nabi SAW meminta sahabat tersebut agar berdoa kepada Allah sambil menyeru baginda semasa beliau sedang berdoa kepada Allah agar Allah mengabulkan permintaannya.

Menurut Al-Imam al-Sayyid Ahmad bin Zayni Dahlan di dalam kitabnya al-Duror al-Saniyyah Fi al-Rodd ‘Ala al-Wahhabiyyah: Orang yang mengingkari (keharusan) bertawassul tidak boleh berkata: (Doa) ini hanya (dibenarkan) semasa hayat Nabi SAW kerana ucapannya itu tidak diterima kerana doa ini telah digunakan oleh para sahabat dan juga tabiin selepas kewafatan Baginda SAW untuk dikabulkan hajat-hajat mereka.

Kata beliau lagi: Adapun membezakan antara (memohon bantuan) orang yang hidup dengan orang yang telah mati sebagaimana yang difahami daripada ucapan mereka yang menghalang tawassul, maka sesungguhnya kalam mereka menunjukkan bahawa mereka beriktikad bahawa orang yang masih hidup berkuasa ke atas sebahagian perkara berbeza dengan orang yang telah meninggal dunia. Maka seakan-akan mereka beriktikad seseorang hamba mencipta perbuatan-perbuatannya sendiri lalu ia adalah mazhab yang batil.

Al-Imam al-Baihaqi dan al-Imam Ibnu Abi Shaybah meriwayatkan kisah seorang sahabat, Saidina Bilal bin al-Harith yang menziarahi pusara Rasulullah SAW pada zaman pemerintahan Saidina Umar yang ketika itu diuji dengan kemarau panjang lalu Saidina Bilal bin al-Harith telah berkata di sisi makam Rasulullah SAW:

Wahai Rasulullah. Mintalah (kepada Allah) akan minuman buat umatmu kerana sesungguhnya mereka telah binasa (disebabkan kemarau panjang ini).
Menurut al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani di dalam Fath al-Bari; kisah Saidina Bilal bin al-Harith ini telah diriwayatkan berdasarkan sanad yang sahih.

Jangan mudah mengkafirkan
Kita di Malaysia umumnya tidak meminta kepada orang yang telah meninggal dunia. Sebaliknya hanya menziarahi kubur lalu berdoa agar Allah mengampunkan kaum keluarga yang telah meninggal dunia. Ini tidak ada salahnya dari sudut syarak.

Namun masyarakat di negara lain kadang-kadang mempunyai amalan tertentu yang janggal seperti meminta hajat kepada orang yang telah meninggal dunia. Maka umat Islam di Malaysia tidak boleh cepat menyalahkan sesuatu amalan.

Apatah lagi mengkafirkan hanya disebabkan amalan tersebut bukan amalan yang tersebar di Malaysia. Rujuklah ulama yang muktabar kerana berkemungkinan amalan yang pelik pada kita sebenarnya tidak ada salahnya dari sudut syarak.

——
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN