Sungai Batu: Cerita kita, sejarah kita

Sungai Batu: Cerita kita, sejarah kita

TAPAK monumen ritual yang dijumpai di tapak Tamadun Awal Sungai Batu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR lapan tahun saya mengurus dan mengendalikan ekspedisi ilmu khususnya dalam bidang arkeologi di tapak tamadun awal Asia Tenggara di Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah. Ekspedisi tiga hari dua malam ini melibatkan peserta berinteraksi bersama pengkaji atau arkeologis yang mengkaji di tapak tersebut di samping lawatan ke situ.

Ekspedisi kami banyak melibatkan anak-anak muda khususnya mereka yang sering dikaitkan sebagai kelompok yang tidak berminat dengan sejarah jauh sekali dengan disiplin arkeologi. Malah ada dalam kalangan mereka yang berulang-ulang kali mengikuti program ini dengan sedikit bayaran.

Rata-rata daripada komen, yang menarik minat mereka ialah pendekatan yang saya ambil melalui hand’s on sebagai penyelidik dan pengalaman menyelami aktiviti arkeologi di tapak bersama pakar pengkaji. Ini berjaya menarik minat dan kesungguhan anak-anak muda ini untuk mengikuti ekspedisi ini.

Pada awalnya ramai dalam kalangan mereka risau untuk menyertai kerana rekod gagal dalam subjek Sejarah. Sebaliknya selepas penyertaan mereka, kita mampu membentuk satu alumni dan rakan setia sukarelawan untuk mempromosikan ekspedisi ini.

Susulan dari pengalaman dan cadangan daripada mereka, pada 23 Jun lalu, saya membawa usul untuk mencadangkan di dalam mesyuarat agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah agar kerajaan menubuhkan Pusat Kajian Tamadun Awal Kedah Tua. Ini memandangkan tamadun awal Kedah Tua telah bermula sejak 788 Sebelum Masihi (SM) dan berusia 2,800 tahun dahulu. Pusat ini kelak mampu menjadi pemangkin kepada sektor arkeopelancongan negara selain sebagai pusat kajian yang berterusan sehingga mampu diletakkan dalam peta sirkit lawatan dalam arkeopelancongan Asia Tenggara, Angkor Wat dan Borobudur.

Hakikatnya, pengkajian arkeologi di Lembah Bujang bermula sejak 1848 lagi oleh penjajah British, bermula daripada James Low sehingga tidak putus-putus bersambungan kepada FW Irby (1905), IHN Evan (1921-1923), HG Quarich Wales dan isterinya Dorothy Wales (1936-1937), K.G Tregoning dan M.Sulivan (1955-1956), Alistar Lamb, B.A.V Peacock (1959-1961) serta Wheatly (1960).

Daripada rentetan-rentetan pengkaji Barat ini ternyata terdapat banyak rahsia dan warisan sejarah negara ini telah dibongkar oleh mereka. Banyak artifak bersejarah daripada rangka manusia neolitik sehingga ke manik-manik purba yang dijumpai dan dibawa pulang ke negara mereka malah yang lebih terkesan apabila naratif sejarah negara ini diceritakan mengikut naratif masing-masing.

Di samping itu, tidak dinafikan terdapat juga pengkaji-pengkaji yang terdiri daripada pakar-pakar arkeologis tempatan yang mula mengkaji sejak 1990-an seperti Leong Sau Heng (1971), Nik Hasan Suhaimi Nik Abdul Rahman (1970-2008), Adi Taha (1970) dan Mokhtar Saidin (2007-2021).

BESI
Penemuan terkini pada 2007 oleh pasukan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai oleh Profesor Datuk Dr. Mokhtar Saidin telah menemui tapak peleburan besi yang berusia 2,800 tahun. Beliau mengambil pendekatan geoarkeologi dan kaedah pentarikhan kronometrik, sedikit berbeza dengan pengkaji lain sehingga menjadi kejutan dalam kalangan pengkaji sejarah Lembah Bujang sebelum ini yang rata-rata penemuan tapak-tapak ritual dan candi Hindu-Buddha.

Jumpaan tapak peleburan besi yang berusia 2,800 tahun sejak 788 SM telah membuka mata pakar-pakar tamadun dunia semasa kehadiran mereka dalam Persidangan Antarabangsa Kedah Tua 2016. Salah seorang pakar pengkaji tamadun Mesopotamia yang turut hadir dalam persidangan tersebut, Profesor Dr. Derek Kenetth baru-baru ini datang kembali membawa rakan beliau, Profesor Dr. Ran Zhang untuk membuat lawatan susulan di tapak arkeologi Sungai Batu.

Bagaimanapun, di samping kehebatan tersebut, sejak akhir-akhir ini kajian di tapak Tamadun Awal Sungai Batu telah terhenti. Persaraan Mokhtar yang mengetuai kajian sejak 2007 telah bersama juga terhentinya kajian arkeologi Tamadun Awal Sungai Batu. Kekangan-kekangan peruntukan untuk kajian menjadi halangan utama.

Sebanyak 30 tapak lagi yang masih belum dieskavasi dan dibongkar rahsianya, kini terbantut. Cerita Tamadun Awal Sungai Batu nampaknya tidak ada konklusinya. Kita sering bersemangat, bangun menyalahkan penjajah kerana memutarbelitkan sejarah kita. Sebaliknya hari ini kita berhadapan dengan peluang yang besar dengan penemuan-penemuan terkini oleh pengkaji kita sendiri dan sarat dengan bukti-bukti saintifik. Malah lebih kukuh daripada pengkaji Barat.

Kita seperti alpa dan tidak ambil peduli. Kita tidak ambil peluang ini untuk menulis keagungan sejarah sendiri. Pusat Penyelidikan Tamadun Awal Kedah Tua mesti dibina sebagai pusat warisan jati diri kita.-UTUSAN

PENULIS ialah Pengarah Ancient Kedah Heritage Resources.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN