“Saya memang tak tahu apa pun tentang Jerman bahkan tak ada apa-apa jangkaan sama sekali terhadap negara Eropah Tengah ini,” jelas Riza Amir, 26 sewaktu melanjutkan pelajaran di negara bersejarah itu.
Pemuda asal Pulau Pinang ini memilih Jerman untuk melanjutkan pelajaran berikutan tempoh pembelajarannya lama berbanding pilihan lain seperti di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
Lima tahun tempoh belajar serta dua tahun tempoh pendidikan asas sudah cukup menyakinkan Riza memilih Jerman. Pada 2016, beliau berjaya menjejakkan kaki buat kali pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Dusseldorf.
Keterujaanya bertambah bila beliau penuntut tunggal Malaysia belajar di Universiti Reutlingen.
Nyata pilihannya melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Kewangan dan Perakaunan Utama Perniagaan Antarabangsa di universiti berkenaan merupakan pilihan tepat memandangkan institusi berkenaan turut dikenali sebagai salah sebuah universiti terbaik Jerman.
“Pada pandangan saya orang Jerman dan budaya mereka tidak begitu ramah. Bukan mudah untuk berkawan dengan mereka memandangkan mereka lebih gemar berkawan dalam kelompok yang lebih kecil. Kalau nak berkawan dengan orang Jerman, mesti kena ada rakan Jerman lain yang kenalkan, lepas tu, baru boleh turut serta dalam kelompok mereka,” ujarnya yang petah berbahasa Jerman.
Belajar di Jerman bukan sahaja percuma bahkan turut dapat berkenalan dengan individu-individu dari latar belakang yang berbeza.
Menurut Riza, 50 peratus dari keseluruhan pelajar di universitinya adalah dalam kalangan pelajar asing.
Reutlingen merupakah sebuah kota kecil yang terletak di negeri Baden-Wurrtemberg, 35 kilometer (km) dari ibu kota, Stuttgart.
Sekalipun kota ini mempunyai populasi yang tidak hampir setengah juta itu namun di sana terdapat banyak lokasi menarik boleh dilawati.
Antaranya yang sebelum ini pernah tular di media sosial, ialah sebatang jalan tersempit di dunia yang dinamakan Spreuerhofstrabe atau sebutannya – spoi hu straf te.
Jalan dengan nama yang unik ini mencatatkan nama dalam Rekod Dunia Guinness pada 2019. Keluasannya dikatakan sekitar 31 sentimeter (sm) dan ia dibina pada 1727.
RAMAI JUTAWAN
Kota Reutlingen turut dihuni ramai jutawan Jerman.
Apa pun keistimewaan kota ini, yang penting, di sinilah bermulanya sejarah Amri yang buat kali pertama dalam hidupnya dapat melihat, menyentuh dan bermain dengan puing-puing salji.
“Waktu musim sejuk di Jerman boleh mencecah sehingga negatif 24 darjah selsius. Memang sangat sejuk. Salji pula tak berhenti turun daripada tiga hingga empat bulan lamanya.
“Untuk pengetahuan, ramai sahaja warga Jerman yang tak pernah ke Berlin. Hal ini berlaku disebabkan kewujudan kota-kota yang bertebaran di segenap pelusuk Jerman. Ia sangat tersusun,” kongsinya.
Aktiviti pada musim sejuk yang dilakukan Amri dan warga Jerman khususnya sudah tentu berski di pergunungan.
Anda juga boleh berski di Black Forest, sebuah gunung yang terletak berdekatan Reutlingen.
Menariknya, di sinilah wujudnya asal usul kek black forest yang terkenal di seluruh dunia.
“Selain etnik Jerman, ramai juga etnik Turki di Reutlingan. Oleh itu, anda tidak akan sama sekali mengalami masalah untuk mendapatkan makanan halal.
“Boleh dikatakan setiap 200 meter, anda pasti akan bertemu dengan kedai kebab. Maka kota ini sangat sesuai untuk didiami oleh orang-orang Muslim,” jelasnya.
Bumi Jerman bukan sahaja tentang tembok Berlin, kelab bola sepak Bayern Munich dan kenderaan berjenama antarabangsa, Mercedes Benz bahkan ia lebih dari itu.
Negara ini menyimpan banyak khazanah sejarah dunia selain fakta-fakta menarik yang tidak mudah didapati menerusi kaca skrin komputer.
Hanya mereka yang pernah berkelana di sini sahaja boleh melihat dan merasai sendiri keunikan bumi Jerman dengan sesungguhnya.
Kisah Riza tidak habis lagi, tunggukan cerita seterusnya tentang bagaimana anak muda ini bertemu dengan buah hatinya yang juga merupakan gadis asal Jerman.










