Pernah buang keluarga, Dila insaf mohon diterima semula - Utusan Malaysia

Pernah buang keluarga, Dila insaf mohon diterima semula

Buta kerana cinta, Dila tetap dengan pendirian untuk berkahwin dengan Zain yang merupakan duda dua anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang pembaca wanita menghantar emel kepada saya minggu lalu. Dengan izin beliau, saya kongsikan kisahnya tanpa menyebut nama.

Dila (bukan nama sebenar) mahu berkongsi kisahnya yang meninggalkan keluarga sendiri selepas memilih untuk berkahwin dengan seorang duda.

Semangat Dila bertambah kuat untuk bertemu keluarga dan meminta maaf terutama kepada orang tuanya selepas membaca kisah Liku Hidup setiap minggu di Seri.

“Saya sudah tidak mampu menyimpan rasa bersalah dan kerinduan kepada ibu dan ayah,” luahnya ketika berpeluang menghubungi saya melalui talian telefon tiga hari lalu.

“Tidak mengapa puan. Semoga perkongsian ini dapat memberi pengajaran kepada orang lain yang senasib dan memberi kekuatan kepada diri puan sendiri untuk kembali ke pangkuan keluarga,” saya cuba memujuk.

Dila berasal daripada keluarga senang. Bapanya, seorang ahli perniagaan terkenal.

Ibunya pula seorang doktor pakar sakit puan dan memiliki klinik sendiri.

Dia dua beradik sahaja. Adik lelakinya, Danial (bukan nama sebenar) jauh lebih baik daripada dirinya.

Sebab itu Dila tidak hairan sekiranya ibu dan bapanya lebih mengharapkan Danial dalam banyak perkara.

Hidup dibesarkan dalam keluarga senang membuatkan Dila lupa diri. Maklumlah hidupnya lengkap dan mewah segala-gala.

Ibu bapanya terlalu bekerja keras dan sering pulang lewat.

Berbeza dengannya, Danial tidak pernah terpengaruh oleh didikan manja dan wang ringgit oleh orang tua mereka.

Danial membesar menjadi seorang remaja yang sangat berdikari, matang dan membanggakan.

Menyingkap zaman persekolahan, sikap memberontak Dila jelas sejak dia berada di sekolah rendah lagi.

Memasuki sekolah menengah dia mula mempamerkan sikap degil, liar dan pergaulannya semakin bebas.

Dila terus menunjukkan tidak minat untuk meneruskan persekolahan.

Dia kerap ponteng sekolah, bergaduh dan pencapaian yang rendah dalam pelajaran.

Sudah berbuih mulut ibu dan bapa menasihatkan Dila, namun semua itu ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Dila sering melepak dengan budak-budak yang lebih dewasa. Dila pernah ditahan di lokap , namun tidak sampai beberapa jam, dia keluar selepas dijamin bapanya.

Ketika itu, Dila beranggapan pelajaran tidak penting kerana sudah tentu harta orang tuanya akan diwarisi.

Larut dengan cinta monyet, Dila juga terlanjur beberapa kali dengan teman lelakinya.

Bagi menutup malu keluarga, kandungan digugur dengan bantuan ibunya sendiri.

Disangka orang tuanya, kejadian itu boleh mengubah dan menginsafkan Dila, namun sebaliknya semakin liar.

Bermula episod dalam hidup Dila apabila dia bertemu Zain( bukan nama sebenar) lelaki yang pertama kalinya berjaya mencuri hati.

Selepas dua bulan mengenali hati budi, keduanya mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

Orang tua Dila, terutama bapa tidak setuju dengan hasratnya itu sehingga tidak mahu menjadi wali dalam pernikahannya.

Mereka masih menaruh harapan agar Dila dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan membantu mereka dalam perniagaan keluarga satu hari nanti.

Buta kerana cinta, Dila tetap dengan pendirian untuk berkahwin dengan Zain yang merupakan duda dua anak.

Mereka kahwin lari dan membawa diri ke selatan tanahair.

Melayari keindahan bahtera perkahwinan hanya seketika cuma.

Sebaik Dila habis pantang anak pertama, suami lari entah ke mana.

Dila digantung tidak bertali. Ketika itu Dila mula teringatkan keluarga. Terbayang wajah ibu dan bapa serta adiknya.

Namun disebabkan malu dan rasa bersalah kerana meninggalkan keluarga sendiri, Dila kuatkan diri untuk tidak meminta apa-apa pertolongan dengan mereka.

Bermula dari saat itu, Dila berusaha membesarkan anaknya dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk tukang cuci pinggan di gerai makan, mengutip barang terpakai dan sebagainya.

Sejak keluar rumah dan memilih untuk bernikah dengan Zain, hubungan Dila dan keluarga terputus.

Dila hanya mengetahui mengenai perkembangan ibu dan bapanya melalui surat khabar dan majalah yang sering menyiarkan kisah-kisah kejayaan mereka.

Melalui gambar-gambar yang terpapar di muka depan akhbar dan majalah itulah, Dila melepaskan kerinduan terhadap mereka.

Kini sudah 10 tahun berlalu. Dila masih tidak berpeluang bertemu dengan orang tuanya.

Penantian bagai tidak berpenghujung dan Dila hanya mampu memendam kerinduan terhadap keluarga.

Setiap hari dia sentiasa berdoa agar Allah memberinya kekuatan untuk bertemu dan kembali kepada keluarga.

Namun harapan itu adakalanya hanya mimpi kerana dia masih ragu-ragu adakah keluarga mahu menerimanya kembali selepas apa yang berlaku.

Kerinduan itu tidak pernah padam sebaliknya makin menebal terutama setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Jika diberi peluang Dila ingin memeluk dan memohon maaf kepada kedua orang tuanya atas segala perbuatan yang terdahulu.

Sesungguhnya, perbuatan maaf bermaafan sangat dimuliakan Islam.

Di dalam Quran terdapat sejumlah ayat yang menjelaskan tentang memaafkan orang lain antaranya:

Wahai orang-orang yang beriman!. Sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka, dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni ( mereka), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (At Taghabun: 14)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×