PASTI ramai menjalankan ibadah korban pada Aidiladha ini. Begitupun mungkin ada yang takut hendak makan daging lembu kerana bimbang menyebabkan kegemukan malah daging kambing pula dikatakan boleh meningkatkan kolesterol.
Pegawai Dietetik, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Azila Shafiqa Abdullah Sedek berkata, daging merah mempunyai khasiat lebih kurang sama iaitu mempunyai sumber protein baik untuk membantu pembentukan otot dan tisu.
Selain itu, daging merah mengandungi vitamin dan mineral seperti vitamin B12, zink dan zat besi yang diperlukan oleh tubuh untuk membantu sistem imuniti serta membantu sel darah merah membawa oksigen ke tisu badan.
“Walaupun daging merah mempunyai khasiatnya yang tersendiri tetapi pengambilan daging merah perlulah diambil secara sederhana iaitu menghadkan kepada kurang daripada tiga hidangan dalam seminggu iaitu 350 hingga 500g seminggu,” katanya kepada Seri.
Elakkan makan daging yang diproses atau makan dalam kuantiti yang sedikit seperti sosej, salami dan beef patty kerana ia mempunyai lemak lebih tinggi, mempunyai lemak trans serta kandungan garam yang tinggi.
BERSIH DAGING
Cara membersihkan dan memasak daging sangat penting bagi mengekalkan khasiat daging selain mengelakkan masalah kegemukan dan kolesterol.
Azila berkata, mengelakkan pengambilan lemak berlebihan, buang lemak yang kelihatan iaitu yang berwarna putih sebelum memasak.
“Kajian menunjukkan kita perlu berhati-hati dengan cara memasak daging kerana jika daging dimasak pada suhu yang sangat tinggi iaitu melebihi 150 darjah selsius atau secara terus kepada api yang menyala seperti barbeku, ia mungkin boleh menyebabkan bahan karsinogen berbahaya terhasil di permukaan daging yang dibakar atau dipanggang.
“Kawasan hangus mengakibatkan pembentukan bahan karsinogen seperti heterocyclic amines (HCAs), polycyclic aromatic hydrocarbons (PAHs) dan advanced glycation end-products (AGEs) yang akan meningkatkan risiko kanser,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, orang ramai digalakkan makan daging bersama sayur-sayuran dan buah-buahan yang membantu bertindak sebagai antioksida.
“Kurangkan minyak sewaktu memasak, sebaliknya boleh masak cara dibuat sup, stew atau panggang. Untuk mengelakkan pengambilan lemak berlebihan pula, elakkan daging merah dimasak bersama bahan berlemak tinggi seperti minyak sapi dan santan kerana ia akan meningkatkan lagi kandungan lemak atau kolesterol dalam hidangan daging,” katanya.
DAGING KEKAL SEGAR:
* Simpan daging di tempat sejuk beku bagi mengelakkan pembiakan bakteria, manakala yang sudah dimasak, masak sehingga masak penuh untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria.
1. Salai
* Kaedah tertua mengawet daging. Ia paling biasa digunakan di kawasan mempunyai terlalu banyak kelembapan untuk mengeringkan atau mengeringkan daging (tanpa bantuan dehidrator moden). Ia boleh menjadikan hidangan lebih lazat.
2. Perap dengan garam
* Kaedah lama yang masih digunakan sehingga ke hari ini. Ia boleh dijadikan bacon dan pastrami.
3. Caranya:
* Sapukan garam pengawet terus pada daging.
* Masukkan daging ke dalam beg penyimpanan makanan plastik dan tutup rapat.
* Letakkan daging di tempat yang sejuk (antara 36-40 darjah Fahrenheit).
* Biarkan proses pengawetan berlaku. Tempoh masa bergantung pada ketebalan daging.
* Bila hendak dimasak, bersihkan garam dan basuh daging.
* Sekiranya tidak boleh makan daging atas sebab kesihatan dan sebagainya, gantikan dengan ayam, ikan, bahan tenusu dan telur kerana ia juga adalah sumber protein yang sama dengan
Kumpulan dengan daging.
INFO:
* Pengambilan daging merah secara berlebihan boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal atau usus besar. Memakan lebih daripada 700 gram (g) daging merah mentah seminggu, boleh meningkatkan risiko kanser.
* Setiap pengambilan 50g daging diproses, meningkatkan risiko kanser sebanyak 18 peratus. Ini kerana, daging merah mempunyai haem iron yang menjadikannya berwarna merah. Apabila haem iron dinyahkan di dalam sistem penghadaman manusia, ia akan membentuk N-nitroso yang akan atau boleh merosakkan dinding sistem penghadaman sejurus membawa kepada risiko kanser.
* Daging merah turut mempunyai kandungan lemak tepu yang agak tinggi maka ianya juga dapat meningkatkan tahap kolesterol yang menjurus kepada peningkatan risiko sakit jantung serta kencing manis.










