Hukum penipu visa furada

Hukum penipu visa furada

TIADA jaminan bagi mereka yang memilih visa haji furada kerana ia bergantung kepada budi bicara Kedutaan Arab Saudi dan di luar bidang kuasa agensi pelancongan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALHAMDULILLAH, kumpulan pertama 298 jemaah haji negara sudah mula pulang ke tanah air bermula penerbangan pertama 17 Julai lalu. Terdapat 48 lagi penerbangan membawa pulang jemaah haji negara dengan yang terakhir pada 13 Ogos ini.

Kita doakan semua jemaah haji negara beroleh haji mabrur yang ganjaran amat hebat iaitu syurga. Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga. (Riwayat Ahmad)

Dalam kegembiraan menyambut kepulangan jemaah haji ke tanah air, terpalit kisah duka kira-kira 380 bakal haji yang terkandas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Mereka menggunakan visa furada.
Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh menerusi Tabung Haji. Dan ia memang wujud.

Setakat ini, polis menahan lima individu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit pada 8 Julai lalu. Mereka masih direman.
Agak lama kisah penipuan pakej haji tidak kedengaran. Bagaimanapun insiden kali ini boleh dikatakan melibatkan jumlah terbesar mangsa.

Sebanyak 23 laporan polis diterima di Kuala Lumpur sahaja berhubung kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, disebat dan boleh juga didenda. Setakat 12 Julai lalu, polis menerima 72 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian hampir RM4 juta.

Dalam insiden 7 Julai lalu, rata-rata jemaah haji dilihat keletihan menunggu penerbangan dan visa pelepasan untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Media melaporkan, mereka berkumpul sejak pukul 12 tengah hari tetapi diberitahu penerbangan ditunda ke pukul 7 malam.

Difahamkan ada dalam kalangan jemaah tiba di Kuala Lumpur sejak 28 Jun lalu, namun penerbangan ditangguhkan atas alasan tertentu. Demikian antara keluhan dan pengalaman pahit mangsa penipuan visa furada tahun ini.

Memang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) telah acapkali menasihatkan orang ramai agar berhati-hati sebelum memilih visa furada.

Namun, tidak ada jaminan kerana visa haji ini adalah bergantung kepada budi bicara Kedutaan Arab Saudi dan di luar dari bidang kuasa agensi pelancongan. Dengan kata lain, peluang pergi haji dengan visa furada hanya 50-50.

Realitinya, diakui giliran menunggu menunaikan haji melalui Tabung Haji (Tabung Haji) yang terlalu lama dan tidak munasabah dari segi usia adalah antara punca utama umat Islam negara ini tertarik mendapatkan visa furada sebagai alternatif menunaikan rukun Islam kelima itu.

Dari sudut lain, visa ini juga adil kepada golongan yang berkemampuan untuk menunaikan haji. Sebabnya, mereka tidak mengambil kuota jemaah haji muassasah. Sekali gus mengurangkan tempoh menunggu umat Islam negara ini untuk ke tanah suci.

Malangnya, dalam sebahagian kita berikhtiar mencari alternatif menunaikan haji, apa pihak tidak bertanggungjawab sanggup menipu. Ada juga pihak yang menjual visa ini tidak menceritakan risiko berurusan melalui kaedah ini.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka daripada 72 laporan polis dibuat mangsa.  Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Pahang iaitu RM1.6 juta diikuti Kuala Lumpur (RM1.2 juta) dan Selangor (RM440,000). “Selain itu, Kelantan dilaporkan mencatatkan kerugian RM209,000, Johor (RM176,000), Perak (RM171,000), Kedah (RM48,000), Terengganu (RM38,000), Pulau Pinang (RM32,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000),” katanya.

Sebab itu, tindakan undang-undang perlu diambil ke atas mereka yang terlibat memperdaya dan menipu orang ramai. Lagipun bukan semua yang guna visa furada ini orang berada. Sebabnya, oleh kerana terlalu lama menunggu, ada yang bergolok-bergadai dan menjual tanah untuk membiayai kos pergi haji.

Kepada orang awam, ada beberapa panduan bagi mengelak terpedaya apabila menggunakan visa furada.

Antaranya, jangan terpedaya dengan pakej yang harganya di bawah RM30,000. Sebab biasanya, kos visa furada ini RM50,000 ke atas.

Selain itu, pastikan juga segala transaksi pembayaran dibuat kepada agensi pelancongan yang tersenarai sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh Tabung Haji.

Jangan buat bayaran kepada individu yang mendakwa sebagai agen syarikat pelancongan. Semua urusan juga hendaklah dilakukan secara fizikal di pejabat agensi berkenaan.

Bagi musim haji 2022, TH melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai PJH berlesen bagi menguruskan pemergian jemaah haji. Namun bukan semua 22 syarikat itu mengendalikan visa furada.

Tunggu hingga 4 Zulhijah baru bayar deposit. Elak buat bayaran penuh melainkan selepas dapat visa. Agensi pelancongan juga mesti memaklumkan risiko yang bakal ditanggung oleh bakal haji. Jika diizinkan Allah, dapat ke Mekah, jika tidak terpaksa pasrah. Cuma, wang deposit itu mesti dikembalikan kepada para peserta.

Majoriti yang terkandas barangkali reda atas takdir. Memanglah kalau belum rezeki, tiada siapapun yang dapat jadi tetamu Allah. Namun, yang dipersoalkan adalah tindakan agensi pelancongan terlibat yang terus memberi harapan hingga saat akhir dan keengganan mereka memulangkan semula wang peserta.

Antara syarat utama menunaikan haji adalah istitho’ah atau berkemampuan. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan Baitullah, iaitu sesiapa mampu sampai kepadanya. (ali- ‘Imran: 97)

Imam al-Nawawi menyatakan terdapat lima syarat bagi merealisasikan kewajipan haji Islam yang hanya wajib sekali seumur hidup. Ia merangkumi syarat Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan.
Berkemampuan bagi Imam al-Nawawi pula terbahagi dua iaitu berkemampuan melaksanakan haji sendiri dan berkemampuan menghasilkan haji dengan bantuan orang lain.

Bagi berkemampuan sendiri, ia meliputi lima perkara iaitu kenderaan bagi perjalanan melebihi dua marhalah, bekalan, perjalanan selamat, kesihatan tubuh badan dan mempunyai masa mencukupi untuk melakukan perjalanan haji.

Daripada kelima-lima perkara itu, semuanya menuntut komitmen kewangan tinggi. Justeru, sesiapa sahaja tidak mampu menyediakan satu daripadanya, maka kewajipan haji akan gugur.-UTUSAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN