TERUJA berkongsi perkhabaran bahawa dirinya kini sudah berjaya menubuhkan sebuah produksi perfileman sendiri, pelakon, Dayang Areeda, bagaimanapun sedar, amat sukar untuk dia menolak andaian salah orang tentang perkara tersebut.
Mana tidaknya, dia juga secara terang-terangan mengaku bahawa penubuhan produksi di bawah jenama Darraz Empire Production Sdn. Bhd. itu juga membolehkan dia terlibat sama sebagai pelakon selain penerbit.
Lalu terbitlah kata serong seperti ‘syok sendiri’ pada dirinya. Cuma, pelakon ini lebih suka untuk melihat perkara itu dari sudut positif memandangkan hanya dia sahaja tahu sebab utama membuka produksi itu.
“Memang tak dinafikan, saya minat sangat dengan dunia lakonan dan ia akan sentiasa menjadi nombor satu dalam jiwa. Bila buka produksi sendiri, saya fikir, apa salahnya kalau saya jadi penerbit, pada masa sama turut berlakon dalam naskhah terbitan sendiri.
“Bukan sebab syok sendiri. Lagi pun saya tak begitu pandai tulis skrip, saya lebih kepada hasilkan idea jalan cerita. Macam naskhah pertama terbitan Darraz Empire berjudul Penanggal Mak Kiah. Yang tulis cerita itu adalah pengarahnya, bukan saya.
“Jadi nak kata saya syok sendiri tak kena. Lagi satu saya tidak lakonkan watak utama. Kalau betul syok sendiri, sudah lama ambil watak utama untuk menyerlah,” katanya. Produksi berkenaan dibuka awal tahun ini.
Kata Dayang penubuhan produksi turut membolehkannya mencabar diri.
“Kedengaran macam mudah, tapi membuka produksi tidak semudah itu. Saya bersama rakan niaga, Syed Hafizuddin, nak keluarkan idea sendiri untuk hasilkan naskhah berkualiti.
“Kalau bukan kerana sokongan orang terdekat dan keyakinan pada diri sendiri, mungkin usaha ini cuma tinggal angan-angan saja. Alhamdulillah, setakat ini, semuanya dipermudahkan-Nya,” katanya.
Mengenai kos atau modal perniagaan, Dayang bagaimanapun mengaku tiada jalan pintas untuk merealisasikan usahanya itu.
Kata Dayang, usahanya sama sahaja seperti orang lain, meski ada yang menganggap dirinya datang daripada keluarga senang.
Namun, tanpa usaha sendiri, semuanya tidak akan berlaku.
“Mana ada jalan pintas. Saya masih guna jalan yang sama macam orang lai, jalani prosedur sama. Bagi saya, semua orang boleh buka produksi sendiri jika minat ke arah cabang kerjaya ini. Saya pun ada visi dan misi sendiri.
“Tak nak selamanya cuma jadi pelakon saja. Saya fikir jauh. Sekarang, masih laku, tapi bila sudah tua, ke mana pula arah saya? Jadi kita kena ada pelan B. Saya tak nak berada di takuk yang sama. Saya nak ambil langkah berani dan tahu, namun perlulah terima risikonya.
“Cuma, saya rasa bertuah juga sebab bersama rakan bisnes, kami usahakan juga produksi ini sampai jadi. Duit kami sendiri. Tapi saya tak tolak, keluarga juga ada bantu,” katanya.
KUNCI MULUT HAL KEKASIH
Berhubung kehidupan peribadinya, Dayang, 28, mengakui hatinya sudah dimiliki namun lebih selesa untuk kunci mulut mengenai gerangan jejaka yang berjaya menakluki hatinya.
Namun fokusnya buat masa ini adalah manu membina kerjaya.
“Adalah berkawan dengan seseorang dan dia bukanlah seorang lelaki yang datangnya dari dunia hiburan. Dia orang biasa saja.Sebab itulah saya tak kongsi sangat tentang hubungan kami sebab nak elak gosip yang tak betul.
“Mungkin ada orang yang tak biasa dengan dunia hiburan, dia tak akan selesa bila timbul gosip-gosip ini. Saya yang pilih untuk merahsiakan hal percintaan. Iyalah, nak jaga hati dia dan keluarga di sebelah sana.
“Lagipun tak ada hasrat nak tamatkan zaman bujang sekarang pun. Sasaran saya mungkin di usia 30 tahun. Tapi, kita ini hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Kalau terlebih sasaran itu pun, saya okey saja.
“Apa yang boleh dikatakan, Alhamdulillah, dia seorang yang memahami. Tak perlu pun nak kerap bergambar sama dan kongsi di media sosial. Dia faham.
“Sebelum ini, ada lelaki yang saya jumpa jenis begitu. Asyik pertikai tak muat naik gambar bersama di media sosial. Nak kena tunjuk. Nasib baiklah saya jumpa orang yang okey sekarang,” katanya.










