Amigurumi sentuhan Zainab jadi rebutan sebab comel, ceria - Utusan Malaysia

Amigurumi sentuhan Zainab jadi rebutan sebab comel, ceria

Zainab bersama sebahagian daripada amigurumi hasil kreativitinya. Seni asal Jepun ini unik daripada segi kaedah pembuatannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minatnya dalam seni mengait sudah lama tumbuh tetapi Zainab Shamsuddin,30, hanya berpeluang menumpukan sepenuh perhatiannya untuk mendalami bidang mengait patung amigurumi sejak empat tahun lalu.

Ternyata bakatnya dalam seni mengait terserlah apabila semua patung-patung hasil kaitnya ‘menjadi’ malah cukup menarik walaupun sebenarnya Zainab hanya mempelajari asas seni itu melalui Youtube dan Facebook sahaja tanpa ke kelas khusus untuk mengait.

Tidak dinafikan, pertama kali menatap patung kait comel dengan warna-warna yang terang hasil tangan Zainab, membuatkan bukan saja kanak-kanak tetapi semua lapisan usia turut tertawan dan ingin mendakapnya. Patung gebu beraneka bentuk ini dikait dengan benang kapas lembut, dikenali sebagai patung amigurumi yang berasal dari Jepun.

Justeru tidak hairanlah semua patung dihasilkan Zainab mendapat sambutan hangat daripada peminat dan pengumpul patung amigurumi daripada pelbagai lapisan usia, sebaik kesemua produk hasil kaitnya dimuatnaik ke media sosialnya.

“Sebelum ini, saya hanya mengait bagi mengisi masa lapang semata-mata malah memang tiada niat pun untuk menjual hasil kait saya. Ketika itu saya sekadar nak berkongsi dengan rakan-rakan kerana rasa bangga bila berjaya menghasilkan patung comel itu. Saya hanya jadikan hobi untuk mengisi masa lapang ketika itu.

“Namun saya tidak sangka langsung selepas memuat turun hasil kait pertama saya di media sosial, terus ada pihak yang sudi menempah hasil amigurumi dengan saya. Kebanyakan pembeli adalah daripada ahli kraf yang lain. Mereka juga membuat kraf tetapi bukan patung amigurumi. Mereka beli daripada saya dan jual semula,” katanya kepada Seri.

PATUNG LEMBUT
Oleh kerana pada awalnya Zainab hanya belajar mengait membuat patung lembut dan amigurumi kecil yang berfungsi sebagai tempat pemegang kunci, jadi, kebanyakan produk yang dijualnya lebih cenderung kepada patung amigurumi sehingga ke hari ini.

Zainab berkata, pelanggannya juga ramai dalam kalangan guru sekolah yang membeli patungnya untuk dijadikan sebagai cenderamata dan peminat produk amigurmi yang menggumpulkan patung berkenaan sebagai hobi serta rakan-rakan.

Patung amigurumi bersaiz sederhana paling digemari pelanggan seperti patung arnab dan katak. Selain itu, pemegang kunci amigurumi juga mendapat sambutan hangat dalam kalangan pembeli kerana rupanya yang comel dan beraneka warna.

Harga patung amigurumi yang dipasarkan bergantung kepada saiz, corak dan tahap kerumitan dalam menghasilkan setiap patung. Saiz kecil atau pemegang kunci, dijual pada harga RM5 sehingga RM20 setiap satu manakala patung saiz besar dijual bermula pada harga RM35 ke atas.

“Dalam tempoh empat tahun ini, mungkin sudah beratus patung dan amigurumi saya kait hasil tempahan daripada pembeli. Kebanyakannya dari dalam negara iaitu seperti Terengganu dan seluruh negara.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang tidak disangka ini malah hasil kait amigurumi semakin dikenali dan mendapat permintaan orang ramai. Sedikit sebanyak, hobi mengisi masa lapang ini mampu menampung keperluan hidup saya sehingga ke hari ini,” katanya yang turut dikenali sebagai Naq Amigurmi dalam media sosialnya.

IDEA BUAT PATUNG
Bagi menghasilkan amigurumi dan patung kait yang comel, Zainab sering membuat pemerhatian dan kajian dengan melayari internet untuk mendapatkan inspirasinya.

Bermula daripada lakaran dan diagram, Zainab akan mengolah semula bentuk patung dan saiz mengikut keinginannya. Zainab akan mereka sendiri corak mudah dan ringkas. Bagi corak yang rumit, dia akan membuat kajian menerusi pelbagai sumber lain.

“Saya selalu juga mendapat inspirasi daripada sahabat-sahabat mengait saya yang lain. Saya jadikan mereka sebagai idola dalam bidang ini. Ada juga pelanggan berkongsi idea mereka untuk menghasilkan patung yang mereka impikan. Mereka akan lakar gambar dan hantar kepada saya untuk dijadikan rujukan.

“Setakat ini kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan hasil kait saya malah saya tidak pernah lagi berdepan dengan pelanggan yang cerewet. Mereka sangat suka bila dapat hasil kait yang comel-comel malah yang berpangkat nenek pun suka dengan hasil kait yang dibuat dan membelinya untuk cucu masing-masing,” katanya.

Tempoh menyiapkan setiap patung mainan bergantung kepada saiz.

Bagi pemegang kunci yang kecil, dia mampu menyiapkan antara 10 sehingga 15 patung dalam sehari, manakala bagi patung amigurumi bersaiz besar pula, Zainab boleh menyiapkan satu patung dalam tempoh dua sehingga tiga hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN