TUGAS seorang bapa bukan mudah. Mereka perlu fokus dan berkorban dalam memenuhi keperluan fizikal dan psikologi agar keluarga dapat hidup dengan sejahtera.
Sebab itu, pentingnya bapa atau ketua keluarga mempelajari bagaimana cara menguatkan ketahanan jiwanya dalam menghadapi cabaran kekeluargaan hari ini.
Ulas Perunding Kekeluargaan, Ahmad Shafiai Uda Jaafar atau lebih dikenali sebagai Pak Utih, tiga asas penting perlu ada dalam diri seorang lelaki bergelar bapa adalah sabar, memaafkan dan berdoa untuk anak-anak.
“Menjadi seorang bapa tugasnya adalah cukup berat. Sifat utama untuk menjadi ayah yang mantap dan hebat adalah perlu bersabar. Ketahanan jiwa bapa inilah dinilai melalui sabar.
“Jika seorang bapa menyatakan dia bersabar tetapi ada hadnya bermakna itu belum sampai tahap sabar yang sebenar. Sabar yang dimaksudkan ini adalah tiada penghujung. Sabar yang menahan marah.
“Contohnya, apabila berdepan dengan anak-anak yang nakal atau tidak mendengar kata dan nasihat,” katanya pada sesi Forum Membina Ketahanan Bapa dan Keluarga Berlandaskan Kesejahteraan Mental anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia dan Better Dads Malaysia baru-baru ini.
Jelasnya, kesabaran seorang bapa ini akan dibalas pada pengakhirannya sama ada di dunia mahupun akhirat.
“Ada satu kisah benar, anaknya mencuri duit si bapa. Tetapi bapanya tidak pernah marah, tetap bersabar dan hanya memberi nasihat demi nasihat.
“Suatu hari, anak sudah dewasa dan bekerja, tanpa disangka anak telah berjumpa si bapa dan meminta maaf lalu membayar semula duit yang pernah dicuri dan diambilnya dengan gaji pertama bekerja.
Didikan hebat seorang bapa melalui kesabaran ini menjadikan anak mudah meminta maaf dan berjasa kepada mereka,” katanya.
Selain itu, bapa juga perlu memaafkan kesilapan anak-anak dan tidak memarahi sehingga anak hilang rasa hormat, sayang dan sebagainya terhadap bapa.
“Bapa tidak boleh begitu marah dan memaki hamun anak-anak. Ini kerana apabila anak-anak sering dimarahi, sukar untuk mereka meminta maaf kepada bapa. Ia sering menjadi kesilapan seorang ayah yang kerap memarahi anak-anak,” katanya yang mengingatkan bapa untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk mengampunkan dosa anak-anak mereka.
“Jika bapa mengamalkan ketiga-ketiga tips atau menerapkan asas ini dalam diri, akhirnya mudah untuk anak-anak menerima pengajaran sekaligus memberi impak yang besar dalam kesejahteraan keluarga,” katanya.










