Sindiket tipu online di Johor `untung’ RM4 bilion - Utusan Malaysia

Sindiket tipu online di Johor `untung’ RM4 bilion

Kebocoran data peribadi rakyat Malaysia perlu diberi perhatian serius.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah sindiket penipuan dalam talian dianggotai rakyat tempatan dikesan menjadikan kawasan sekitar Mount Austin di Johor Bahru sebagai `rumah perlindungan’ atau safe house untuk mereka mencari mangsa-mangsa untuk ditipu.

Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, pengintipan dan risikan pasukan keselamatan mendapati sindiket tersebut sudah aktif lima tahun lalu dan dalam tempoh itu dipercayai sudah mengaut keuntungan hasil penipuan lebih RM4 bilion.

Anggota sindiket ini didapati merekrut dalam kalangan anak muda berumur 20 hingga 30 tahun untuk mencari mangsa-mangsa dari serata dunia termasuk Malaysia.

Sumber itu berkata, antara modus operandi sindiket seperti memperdayakan mangsa untuk melakukan pelaburan menerusi skim pelaburan bitcoin dan pelaburan berkaitan matawang digital lain yang popular.

“Sindiket tersebut dikesan berpusat di sebuah lokasi antara Kulai dengan bandar Johor Bahru, termasuk di Mount Austin. Di sepanjang lokasi itu, sindiket itu disyaki ada beberapa buah rumah dijadikan tempat perlindungan dengan setiap sebuah rumah ada kira-kira 10 anggota, semuanya muda-muda dalam 20 ke 30 tahun.

“Siasatan dan intipan pasukan keselamatan mendapati ada beberapa mangsa sindiket ini mengalami kerugian berjumlah lebih RM4 bilion,” kata sumber di sini, semalam.

Tangkapan

Bagaimanapun, katanya, isu yang mengekang pihak berkuasa membuat tangkapan terhadap ahli sindiket tersebut kerana polis tidak mempunyai akta khusus untuk menyabitkan ahli sindiket itu kecuali Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).

“Masalahnya, sindiket itu tidak membuat kesalahan yang boleh disabitkan di bawah undang-undang AMLA. Mereka tidak ada kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram, mereka juga tidak melakukan kegiatan bersifat keganasan. Jadi, di sini timbul kesukaran untuk melakukan tangkapan,” kata sumber itu.

Jelas sumber itu, kesukaran mengaitkan kegiatan sindiket ini dengan aktiviti haram seperti tertakluk di bawah AMLA, kerana mereka tidak menjalankan aktiviti yang ada konotasi dengan kegiatan haram seperti dadah, pelacuran dan pemerdagangan manusia.

Bagi perkembangan berkaitan, sumber berkata, pusat utama operasi sindiket di Johor Bahru itu bagi menjalankan modus operandi berskala global bertempat di Sihanoukville, Kemboja.

Sohor

Malah, kata sumber kegiatan sindiket itu didakwa menjadi `sohor’ dalam kalangan segelintir penduduk tempatan di Sihanoukville, sebagai lokasi menempatkan ahli sindiket dalam kalangan warga Malaysia untuk melakukan penipuan dalam talian.

“Di Sihanoukville, ada perkampungan di situ sudah macam kampung di Malaysia, penuh dengan warga negara Malaysia.

“Majoriti di kampung-kampung itu semuanya anggota sindiket dari kalangan anak-anak muda Malaysia, sama ada yang terpedaya atau yang merupakan ketua sindiket. Mereka membangunkan perkampungan yang penuh dengan call center bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.

“Sekarang, mereka sedang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga negara Brunei dan Arab Saudi, namun pada masa sama masih tetap menipu mangsa dari seluruh dunia, terutama yang tamak dan mahu cepat kaya dengan melabur dalam skim-skim matawang digital ini,” katanya.

Sebagai rekod, Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rozeni Ismail berkata, sehingga Mac tahun ini, JSJK pmerekodkan menerima sebanyak 98,607 kes penipuan dalam talian yang membabitkan kerugian berjumlah RM3.3 bilion di seluruh negara dari 2017 hingga 2021.

Susulan itu, seramai 30,000 suspek ditahan dengan 25,000 daripadanya didakwa di mahkamah.

Kes-kes penipuan dalam talian terus berlaku dengan di Malaysia direkodkan dalam tempoh seminit terdapat antara lima hingga 10 kes mangsa sedang ditipu.

Jenayah tersebut jika tidak dibendung mampu menjejaskan ekonomi negara kerana wang yang ditipu sindiket disyaki disalurkan ke luar negara dan ditukar dengan mata wang asing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN