MUKADIMAH
PERWATAKAN dan ketegasan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjadi cerminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menentang penyalahgunaan dadah.
Ini termasuk ketum dan ganja yang menimbulkan polemik kebelakangan ini ekoran desakan segelintir pihak yang mahukan ia dihalalkan dengan alasan tujuan perubatan.
Perdebatan kedua-dua bahan ini terus hangat diperkatakan susulan penangkapan beberapa individu tersohor termasuk artis terkenal.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan NURAINA HANIS ABD. HALIM menemu bual beliau bagi mendapatkan perspektifnya terhadap isu yang sering kali diperkatakan. Turut membantu jurufoto MUHAMMMAD FARIZ RUSADIO.
MINGGUAN MALAYSIA: Ada segelintir pihak yang mahu ketum dan ganja dihalalkan. Komen Datuk?
AYOB KHAN: Pertama, ketum ini masih lagi tersenarai dalam Akta Racun 1952. Memiliki atau menggunakan memang jadi satu kesalahan. Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita akan mengambil tindakan kepada sesiapa yang didapati menyalahgunakannya. Akan tetapi sama ada ia mahu dihalalkan atau tidak, kita serah kepada kerajaan.
Begitu juga dengan ganja yang diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Kita perlu faham kedua-dua jenis dadah ini masih lagi tersenarai di bawah undang-undang yang saya sebutkan tadi dan mengandungi bahan mengkhayalkan.
Setakat ini belum ada kajian terperinci. Ada orang kata ketum mempunyai elemen perubatan. Sejauh mana ia telah dibuktikan? Setahu saya tiada lagi. Kalau ada yang cakap ketum boleh turunkan darah tinggi atau kencing manis, ia sekadar testimoni. Belum ada kajian. Sama juga dengan ganja.
TANAM GANJA
Banyak pendedahan berkenaan penanaman pokok ganja termasuk kes membabitkan bekas diplomat. Adakah bekalan anak benih mudah dapat?
Saya rasa tanam ganja ini bukan benda baharu. Tapi mungkin sebab individu yang ditangkap orang tersohor. Sebelum ini pun kita ada tangkap kesalahan yang sama.
Untuk bekalan seperti anak benih, ada pelbagai kaedah sebenarnya termasuk penjualan menerusi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp disamping menggunakan syarikat kurier untuk penghantaran. Ia bukan sahaja dadah, tapi benda haram lain turut menggunakan kaedah sama.
Adakah Malaysia mampu memerangi dadah sehingga menjadi sifar?
Tiada satu negara pun ada yang sifar dadah. Apa yang kita fokuskan adalah mahu kurangkan jumlah 130,000 penagih yang ada pada masa ini.
Kalau kita nak capai tahap sifar dadah mustahil. Sebab apa? Kerana perniagaan dadah ini memberi pulangan keuntungan yang amat tinggi. Jika syabu di Malaysia harga sekilo RM36,000. Tapi kalau dieksport ke Indonesia harganya mencecah RM100,000 dan Australia pula harga sekilo adalah RM300,000.
Buatlah hukuman apa pun, pulangan yang dijanjikan lumayan. Yang kedua, kita perlu ingat Malaysia ini kedudukan geografinya terletak di tengah-tengah. Di sebelah utara, kita berhampiran dengan segitiga emas dadah. Dadah yang dibawa masuk ada untuk kegunaan dalam negara dan ada untuk dieksport ke negara lain.
Selain itu, kita kesan ada dadah yang masuk ke negara ini dari Asia Selatan dan Asia Barat sebelum dihantar ke negara lain. Hakikatnya, lokasi Malaysia ini strategik selain kemudahan yang baik. Kita ada pelabuhan, sistem kewangan dan komunikasi yang berfungsi baik.
Jadi adakah berlaku peningkatan eksport dadah ke luar negara pada masa ini?
Kalau ikut trend rampasan, ia naik menggila. Tahun 2020, nilai rampasan dicatatkan adalah RM 458 juta. Pada tahun lalu ia naik sehingga mencecah RM965 juta. Begitu juga jumlah rampasan daripada 13 tan kepada 27 tan tahun lalu. Baru-baru ini pun ada laporan mengatakan rampasan di rantau Asia Tenggara mencecah 1 bilion.
Justeru, kita semua ada peranan masing-masing. Jabatan Kastam Diraja (JKDM), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) banyak yang bertindak buat rampasan. Di pintu-pintu masuk sama ada laut, darat dan udara semuanya ada pemantauan.
Lagipun mesin pengimbas bukannya boleh kesan dadah. Hanya boleh kesan bahan letupan atau bahan seludup sahaja. Hanya bergantung kepada kepakaran anggota bertugas atau gunakan mesin pengimbas di tangan.
KES ANAK AHLI PERNIAGAAN
Kes rampasan dadah membabitkan anak ahli perniagaan yang dikurangkan pertuduhan. Komen Datuk?
Kita perlu faham PDRM adalah agensi penguatkuasaan undang-undang. Kita siasat, tangkap dan serahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara. Inilah dinamakan konsep pengasingan kuasa.
Di bawah artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa pada Peguam Negara sama ada mahu pinda atau bawa kes atau apa sahaja. Kalau ikutkan memanglah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Apabila sampai ke sana (peringkat pendakwaan ), kita tidak campur. Jadi, masyarakat perlu faham. Begitu juga kalau jatuhkan hukuman. Memberi jaminan atau tidak bukan kami, majistret yang beri.
MENAMBAH TARING PDRM
Perlukah Pasukan Tindakan Khas Judi (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) ditubuhkan semula untuk menambah taring PDRM?
Tidak perlu banyak sangat pasukan atau tambah unit yang sedia ada.Mengapa perlukan satu unit lain untuk jalankan tugas yang sama. Kita pun ada unit strike khas. Nanti orang keliru dan tidak tahu mana satu yang betul (unit). Jadi kita perlu mantapkan sahaja apa yang ada.
Contohnya, peralatan baharu yang lebih canggih, jumlah anggota dan sebagainya. Sindiket-sindiket ini sudah kaji cara kita dalam sesebuah operasi.Sebab itu peralatan penting dan tidak boleh bergantung kepada tenaga manusia semata-mata. Peralatan bantu kita banyak operasi dan siasatan.
Untuk perjawatan anggota pula, kalau kita tengok sejarah penubuhan JSJN pada tahun 1977, kita ada 69 perjawatan sahaja. Kemudian pengambilan anggota ditingkatkan pada 2006 menerusi penjenamaan semula dengan pertambahan kepada 3,918. Sekarang perjawatan kita 5,973. Itupun tidak banyak jika dibandingkan dengan kekuatan keseluruhan PDRM iaitu 137,594 .
JSJN ini unit yang kecil. Ada 13 daerah yang tiada ketua narkotik. Kita memang dari semasa ke semasa buat permohonan untuk pertambahan anggota. Awak bayangkan kalau ikut nisbah satu pegawai JSJN bersamaan 6,076 penduduk. Kita mahu kecilkan jadi seorang pegawai bersamaan dengan 1,561 penduduk untuk tempoh 10 tahun akan datang. Sebenarnya kalau ikut Interpol seorang pegawai menjaga 200 orang sahaja.
Sehingga kini berapa ramai rakyat Malaysia ditangkap di luar negara dan dikenakan hukuman mati?
Setakat tahun ini sebanyak 12 kes tangkapan dicatatkan iaitu tujuh di Singapura, empat di Brunei dan seorang di Brazil.
DESAK TANGGUH HUKUMAN MATI
Ada pihak mendesak agar hukuman mati ditangguhkan. Komen Datuk?
Ambil contoh di Singapura. Mereka tegas dalam pelaksanaan undang-undang. Kalau kata ‘A’ maka ‘A’ lah tanpa mengira siapa pun. Negara kita juga negara berdaulat. Justeru, penting untuk kita pastikan hak asasi dan keselamatan seimbang.
Bagi saya, hukuman mati dapat menggerunkan sesiapa sahaja yang cuba terlibat dengan dadah. Ia juga satu peringatan termasuk orang luar. Rakyat negara lain pun telah diberi peringatan ketika masih berada dalam kapal terbang lagi sebelum mendarat. Jadi tiada alasan.
Sama ada orang itu mengambil tahu, tidak mahu mengambil tahu atau buat-buat tidak tahu, ia bukanlah satu hujah pembelaan. Kita ada undang-undang dan hormati undang-undang itu. Undang-undang bukan dibuat di tepi jalan. Selagi mana tidak dipinda, setiap kesalahan yang dilakukan akan dikenakan tindakan.
Berapakah jumlah keseluruhan dadah sintetik yang dikenal pasti PDRM?
Dadah sintetik kalau ikut yang terbaru di bawah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) ada lebih 900 jenis. Daripada jumlah tersebut yang kita warta adalah 66 sahaja dan boleh diambil tindakan. Ini bermakna ada lebih 800 masih belum diwartakan.
Ia mengambil masa dan kita tidak boleh ambil tindakan sewenang-wenangnya kalau kemunculan dadah baharu itu tidak diwartakan. Kita perlu ingat dadah ini sentiasa direvolusikan.
JUMLAH SINDIKET DADAH
Berapa banyak sindiket dadah yang ada di negara ini?
Saya tidak boleh ceritakan, nanti habis lari (ketawa). Paling penting kerja-kerja siasatan secara terperinci terus dijalankan kerana modus operandi mereka berubah-ubah.
Satu lagi perkara yang kita perlu ingat, untuk tangkap dan tuduh seseorang bukannya mudah. Ia memerlukan tiga elemen. Pertama custody, control dan knowledge. Saya bagi contoh JSJN rampas dadah dalam kereta seseorang. Tapi ketika ditangkap kereta berada di luar dan tidak dikunci. Mungkin yang ditangkap boleh cakap ada orang letak dadah dalam kereta. Beban pembuktian itu cukup tinggi pada polis lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Di samping itu, untuk mengesan transaksi juga bukan mudah. Boleh jadi transaksi menggunakan mata wang kripto atau bitcoin. Jual beli dadah bukannya ada resit.
Adakah ketua-ketua sindiket ini tinggal di luar negara?
Tunggulah. Ada nanti kita tangkap. Sebelum ini kes tangkapan dadah di Pulau Pinang, ketua sindiketnya dipercayai di luar negara.
Apa yang penting, kita perlu sentiasa gunakan pendekatan baharu kerana mereka ini sindiket dan mempunyai rangkaian besar dan duit yang banyak.Bukannya kucing kurap. Mereka juga ada perniagaan yang besar-besar.
Negeri yang mencatatkan tangkapan dadah terbesar setakat ini?
Setakat April lalu, Selangor mencatatkan tangkapan paling tinggi iaitu 8,212 diikuti Kelantan (4,963); Johor (4,745);Kuala Lumpur ( 4,610); Sabah (4,533);Kedah (4,518);Pulau Pinang (4,278); Pahang (4,208); Terengganu ( 3,528); Sarawak (3,032) ; Negeri Sembilan (2,182); Melaka (1,496) dan Perlis (806).
IKON MASYARAKAT
Datuk dilihat sebagai ikon dalam kalangan masyarakat dengan sikap tegas. Bagaimana ia diterapkan dalam PDRM?
Saya bukan bawa karakter dalam PDRM. Bagi saya apabila diberi amanah, tak kira pangkat, kita perlu laksanakan dengan penuh tanggungjawab. Bukan pakai bintang tiga dengan keris bersilang (pangkat) tapi apa yang diamanahkan tidak ditunaikan.
Tambahan pula pada lambang polis ada tertera kalimah Allah SWT. Ia bukan diletak secara suka-suka. Ia menunjukkan betapa tingginya Islam agama rasmi. Malahan agama lain dalam masa sama juga tidak menyuruh penganutnya melanggar amanah yang diberikan. Jangan jadi polis setakat pakai lambang tapi tidak dihayati dan tiada dalam sanubari. Saya nak kongsikan sedikit semasa perjumpaan dengan bekas pensyarah saya baru-baru ini.
Dia kata kalau kita takut pada Allah SWT, automatik kita tidak akan buat perkara yang bukan-bukan. Lagi satu dia pesan jangan aniaya dan jangan takut pada orang. Zaman sekarang tidak perlu cakap berapi-api.
Apa yang kita buat orang boleh lihat terutama dengan penggunaan telefon pintar yang meluas. Semuanya boleh dirakam. Kalau orang hendak melihat saya sebagai ikon, saya tak ambil pusing. Cakaplah apa sahaja saya tidak kisah. Janji buat kerja ikut undang-undang dan berpegang pada amanah. – MINGGUAN MALAYSIA










