PETALING JAYA: Setiap pembangunan dan projek perumahan disaran memperuntukkan kuota rumah mampu milik untuk golongan B40 bagi memastikan kumpulan tersebut mampu memiliki kediaman sendiri.
Kuota ini harus menjadi garis panduan yang dikeluarkan kerajaan kepada pihak pemaju untuk menyediakan perumahan kepada golongan tidak mampu tanpa mengira lokasi di bandar atau pedalaman bagi merapatkan jurang sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, kuota-kuota rumah mampu milik tersebut perlu terus diperkasakan membabitkan semua projek perumahan di seluruh negara.
“Misalnya, setiap pemaju perumahan yang memohon lesen pembangunan di sesuatu kawasan mestilah disyaratkan sejumlah atau berapa peratus kuota daripada projek itu untuk golongan B40.
“Daripada pemerkasaan kuota itu pula kerajaan boleh mengadakan sistem cabutan bagi menentukan siapa yang benar-benar layak untuk mendapatkan rumah tersebut. Sebelum ini kuota itu pernah wujud tetapi kenapa sekarang didiamkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, syarat-syarat tersebut bagi memastikan golongan B40 tidak ‘dipisahkan’ mengikut kawasan dan pemilikan rumah.
Semalam, akhbar ini melaporkan harga rumah dijangka terus meningkat sehingga 10 peratus setahun, sekali gus kemungkinan tiada lagi rumah berharga RM200,000 dan ke bawah menjelang 2025.
Pemulihan ekonomi
Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail yang memberitahu, peningkatan tersebut akan terus berlaku mengikut rentak pemulihan ekonomi selain pertambahan peluang pekerjaan yang mendorong kepada permintaan.
Utusan Malaysia sebelum ini turut melaporkan, harga semua bahan binaan mencatatkan peningkatan berbanding setahun lalu dan akan kekal tinggi dalam jangka sederhana berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan permintaan yang tidak selari dengan pengeluaran.
Mengulas lanjut, Samsudin berkata, kenaikan harga rumah tidak boleh dihalang menerusi polisi, tindakan dan kawalan kerajaan kerana harga rumah dipengaruhi denganpeningkatan harga bahan binaan seperti simen, besi dan batu-bata.
“Apabila kos tenaga buruh meningkat, sudah tentu harga bahan binaan juga meningkat. Kita tidak boleh meletakkan semua harga rumah pada harga siling semata-mata untuk meringankan beban rakyat.
“Jika dihalang, ia berkemungkinan akan menyebabkan pihak pemaju gulung tikar, projek perumahan terbengkalai dan pembangunan negara terbantut sekali gus merugikan kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang, berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan mengambil langkah lebih positif untuk membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah seperti menerusi pemberian subsidi.
“Kerajaan juga digesa memantau dan mengawal kenaikan harga rumah dengan kadar yang lebih munasabah bagi memastikan golongan itu tidak terbeban untuk membeli rumah lagi-lagi rumah pertama.
“Tindakan juga wajib diambil terhadap pemaju atau pihak tertentu jika mereka tidak mematuhi garis panduan, terutama mengenakan harga jualan yang tinggi bagi rumah kos rendah,” katanya. – UTUSAN










