Eh, awak tak banggakah popular? - Utusan Malaysia

Eh, awak tak banggakah popular?

Jamal kongsi kenangan bersama Ahmad Nawab dalam konsert.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI sebahagian daripada sejarah hidup dan kerjaya seninya yang telah tercipta sepanjang 49 tahun ini, Datuk Seri Ahmad Nawab merupakan antara insan yang istimewa buat figura bergelar Raja Pop tanah air ini.

Mungkin kerana itu jugalah, Datuk Jamal Abdillah, dengan rela hati menyatakan kesanggupannya untuk menerbitkan Konsert Tribute Seniman Negara khusus buat menghargai jasa dan pengorbanan ikon seni muzik tanah air ini pada 1 hingga 3 Julai depan di Istana Budaya.

Mendapat kerjasama penuh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), konsert tersebut adalah antara yang dinantikan oleh Jamal demi merealisasikan hasrat untuk melihat sebuah konsert berskala besar dapat dianjurkan khas buat mentornya itu.

Bagaikan enggan berasa ralat, bagi Jamal, seharusnya, ketika hayat komposer dan pemuzik bertaraf ikon negara ini masih adalah maka penghargaan seperti ini wajar dilakukan.

“Selagi dia masih ada. Sepatutnya begitulah, sebab dia dah banyak membesarkan kita dengan lagu-lagu dan karya-karyanya. Kalau 10 atau 16 tahun dulu, di radio pun tak ada main lagu instrumental lain. Pasti lagu dia saja.

“Jadi saya berpandangan, semasa dia masih ada inilah, kita wajar hargai dia dan menghadiahkannya satu kenangan manis menerusi penganjuran konsert tribute ini,” katanya.

Bagaimanapun, Jamal ada meluahkan rasa gusar mengenai tahap kesihatan mentornya itu yang sebelum ini dikatakan uzur.

Malah, ketika Jamal menyatakan hasrat untuk mengadakan konsert ini, Ahmad Nawab sendiri seakan tidak dapat berjanji sama ada dia boleh hadir untuk menjayakannya atau tidak.

“Tak dinafikan, hampir saja penganjuran konsert ini dibatalkan kerana dia seakan gusar untuk menjayakannya. Kalau pergi ziarah dia sebelum ini pun, memang dia nampak uzur.

“Kali terakhir saya ziarah dengan Ketua Pengarah JKKN. Tapi, saya kagum dengan semangatnya. Tak sangka dia akhirnya setuju untuk buat penampilan istimewa di konsert itu nanti.

“Tapi dengan keadaannya sekarang, saya rasa mungkin nanti dia akan buat persembahan secara duduk sambil bermain saksofon. Tapi, apa yang benar-benar saya harapkan ialah, dia sihat dan boleh tampil di konsert itu nanti,” katanya.

Ditanya sama ada Ahmad Nawab ada menyumbang idea atau cadangan untuk pembikinan konsert tribute kelak, kata Jamal, dia sangat terbuka dengan cadangan lelaki berusia 91 tahun itu.

“Tentu saja dia ada terlibat berikan idea. Kalau boleh dia nak pilih artis yang terlibat termasuk lagu yang akan dipersembahkan. Dia ada juga bertanya, kenapa saya pilih Wany Hasrita sebagai antara penyanyi jemputan pada malam konsert nanti?.

“Alasan saya, Wany adalah antara penyanyi muda yang boleh menyanyikan lagu-lagu dendangan asal Datuk Sharifah Aini dan Uji Rashid. Wany, juga boleh menarik ramai pendengar generasi muda, lalu Ahmad Nawab pun bersetuju,” katanya.

Selain Wany, konsert berkenaan turut dijayakan Datuk Khatijah Ibrahim, Ramlah Ram, Shidee dan Alif Nasir.

Namun ketiadaan wajah legenda seperti Hail Amir atau Uji Rashid yang pernah menyanyikan lagu ciptaan Ahmad Nawab menjadi tanda-tanya.

“Memang ramai tanya termasuk artis lama seperti Datuk DJ Dave. Bukan tak nak panggil sama, tetapi ia berbalik kepada isu bajet. Kalau nak habiskan RM200,000 saja pada artis, susah juga. Tak mencukupi. Selain bajet, saya fikir masa yang diambil juga akan jadi panjang.

“Jadi tak apalah, kita buat mana yang termampu dan setakat ini, cukup dengan kehadiran dan sokongan artis-artis yang dinamakan. Saya akan menyanyikan lagu duet dengan Wany, Taman Firdausi nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma.

“Beberapa buah lagu ciptaan Ahmad Nawab juga akan saya sampaikan pada tiga malam itu kelak. Begitu juga dengan artis lain yang akan terlibat dalam penganjuran konsert ini,”katanya.

Ahmad Nawab garang, tapi romantis
Mengalih perhatian dengan kisah lama sepanjang pernah bekerjasama dengan Ahmad Nawab, kata Jamal, lelaki hebat kelahiran Pulau Pinang itu amat diseganinya sehingga ke hari ini.

Kata Jamal, dari kaca matanya, Ahmad Nawab merupakan seorang individu yang memiliki sisi romantis dan ia diterjemahkan dalam karya-karya bernuansa cinta yang dihasilkannya selama ini.

“Lagu-lagu dia semua lagu cinta. Hatinya lembut dan sensitif, tetapi sangat teliti ketika bekerja. Kalau merakamkan lagu dengan dia, dapat saya lihat, dia seorang yang sangat berhati-hati.

“Saya pun dah lama bekerja dengan dia, memang dia seorang yang tekun dan tak main-main dalam berkarya. Wajahnya sentiasa nampak serius, dan tak dinafikan dia memang garang ketika bekerja,” katanya.

Mengimbau kenangan, kata Jamal, dia pernah bertengkar dengan legenda hidup itu ketika sedang merakamkan lagu berjudul Di Mana Bayanganmu gara-gara diminta berulang-ulang kali menyanyikan bait lirik lagu itu.

“Saya disuruh menyanyikan lagu itu berulang-ulang sampai saya rasa bosan dan tanya kenapa? Apa yang dia nak? Dia jawab, tak payah cakap banyak, nyanyi sajalah.

“Sampai saya jadi nak marah. Rupa-rupanya, emosi itulah yang dia mahukan dan menjadikan penyampaian kita dalam lagu itu lebih mengesankan dan sempurna. Itu yang dia nak rupanya untuk lagu itu.

“Kemudian, barulah saya faham cara kerja dia dan dari situ, saya lebih memahami apa itu maksud menyelami dan menjiwai lagu,” katanya.

Ahmad Nawab turut memiliki sisi lucu dan suka berjenaka.

Hal itu dikongsikan menerusi satu peristiwa saat mereka berada di Singapura dan Jamal sedang berencana untuk merekodkan sebuah lagu di sana.

“Masa itu kita pun masih muda lagi, 19 tahun. Masa itu, saya nak merakamkan lagu di sana. Tak faham lagi erti dikenali. Tak sangka kat sana ramai peminat wanita yang tahu kehadiran saya dan mereka bawa macam-macam hadiah termasuk kek. Sampai ada yang sanggup tunggu di hentian bas.

“Saya jadi segan. Dia tanya saya kenapa nak segan? Patut banggalah, hang popular, suara pun sedap! Saya rasa kelakar pun ada sebab masih tak tahu menahu dunia hiburan. Saya cakap, saya cuma sampaikan saja lagu itu sehabis baik, popular atau tak, saya buat kerja saja. Kita pun budak lagi.

“Itu antara perbualan yang saya masih ingat sampai sekarang. Antara kenangan saya bersama figura tersohor, Ahmad Nawab,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×