MELANGKAH masuk ke The Danna Langkawi bagaikan memukau pandangan. Percutian ke vila mewah ini seperti berada jauh di sebuah pulau di tengah-tengah laut.
Keindahan pemandangan yang menakjubkan terus ke laut, desiran ombak, kecantikan panorama memberikan ketenangan pengunjung untuk menghayati alam menghijau dan kebiruan terbentang luas.
The Danna Langkawi, vila mewah yang menawarkan kolam renang peribadi yang paling luas dan terbesar di Langkawi, Kedah.
Ada 10 vila yang menyediakan akses terus ke pantai.
Ia menawarkan sembilan Princess Beach Villa iaitu unit kontemporari yang mempunyai satu bilik tidur luas dengan reka bentuk menarik dan sentuhan minimalis.
Juga dilengkapi dengan sundeck dan kerusi untuk berjemur di kolam renang serta terapi spa persendirian. Ruang dinding vila yang berkaca membolehkan pandangan terus ke laut dan menikmati kehijauan pokok di sekeliling.
Sementara itu, Empress Beach Villa satu-satunya unit yang menawarkan dua bilik dilengkapi dengan outdoor jacuzzi di bawah sinar matahari terus menikmati pemandangan merentasi pantai dan lautan biru.

Terdapat juga kolam renang persendirian luas sesuai untuk mereka yang inginkan suasana privasi sambil memanjakan diri di terapi spa peribadi. Vila mewah ini boleh memuatkan sehingga enam dewasa dan dua kanak-kanak.
Vila eksklusif yang diilhamkan oleh landskap pulau tropika ini terletak di Pantai Kok menghadap Laut Andaman turut menyediakan wangian mandian mewah, Lavish Salvatore Ferragamo Bath.
Tidak lengkap sekiranya terlepas merakamkan detik indah menikmati sarapan terapung.
Makanan yang didatangkan dalam dulang di atas permukaan kolam renang di vila masing-masing turut disediakan oleh The Danna Langkawi.
Pastinya mengingatkan suasana ala-ala bercuti di Maldives.
Minum petang mewah secara santai selepas puas berenang atau menikmati barbeku turut disediakan. Pemandangan tenang ke laut dan suasana yang segar membangkitkan mood romantis.
Lokasi ini turut menyediakan kemudahan resort tambahan termasuk kolam renang utama, kolam infiniti dengan jakuzi yang berasingan dan kolam kanak-kanak serta gimnasium serba lengkap menghadap ke pergunungan dan marina cukup untuk merehatkan minda dan ketenangan jiwa.
Banyak aktiviti boleh diterokai jika ke sini.
The Danna Langkawi akan menjadi percutian impian yang akan menjadi kenangan sukar dilupai.










