Biasanya ayam atau daging lebih popular dijadikan bahan untuk rendang. Apa kata anda cuba tukar bahan menggunakan udang pula.
Sebaiknya udang yang digunakan adalah udang harimau atau udang sungai kerana kulitnya lebih keras dan tidak mudah hancur berbanding udang biasa.
Memang sedap rendang udang ini terutama bila dimakan bersama nasi himpit atau ketupat apatah lagi bila dimakan bersama nasi.
Cara memasaknya tidak jauh beza dengan menyediakan rendang ayam, daging atau kerang. Boleh memilih untuk memasak tanpa minyak dengan memasukkan semua bahan sekaligus atau menumis untuk menikmati rasa cili yang lebih garing. Terima kasih Nur Wahida Nurdin.
Bahan-bahan
500 gram udang harimau atau udang sungai
4 sudu besar kerisik
2 helai daun salam
3 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit (dihiris)
1 sudu besar gula melaka
2 sudu besar minyak masak
1 cawan santan
Bahan untuk dikisar:
5 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
1 cm lengkuas
1 batang serai
1 cm kunyit hidup
5 sudu besar pes cili kering
Cara membuatnya:
1) Bersihkan udang dan biarkan dulu.
2) Hiris bawang putih, bawang merah, serai, lengkuas, kunyit dan halia dan kisar kesemuanya.
3) Panaskan minyak masak dalam kuali dan tumis bahan yang dikisar tadi bersama pes cili kering sehingga naik minyak.
4) Apabila kelihatan garing, masukkan udang dan gaul sehingga sebati.
5) Apabila udang masak dan membengkok, masukkan air dan garam.
6) Masukkan gula Melaka, daun salam, daun limau purut serta daun kunyit yang sudah dihiris.
7) Masukkan santan dan kerisik. Biarkan ia sebati dan kuahnya sedikit kering.
8 Angkat dan hidangkan dengan nasi atau nasi impit.
Selamat mencuba.










