Pucuk daun palas sukar dicari - Utusan Malaysia

Pucuk daun palas sukar dicari

Noor Heilrina Nazilah Othman menjual daun palas secara pukal kepada peniaga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik keenakan menikmati ketupat palas, pernah tak kita terfikir bagaimana kesukarannya untuk mendapat sumber kelongsong ketupat iaitu daun palas?

Ada beberapa jenis pokok palas yang terdiri daripada keluarga palma tumbuh di negara ini, namun hanya palas duri atau nama saintifiknya Licuala Spinosa menjadi tumpuan kerana pucuknya sesuai diambil untuk dijadikan ketupat.

Seorang pencari pucuk palas, Noor Heilrina Nazilah Othman, 33, yang menetap di Kampung Ulu Pauh, Arau, berkata, pencarian daun palas menuntut kesabaran yang tinggi selain sering berdepan dengan serangan serangga.

“Saya terpaksa masuk ke dalam kawasan lembab seperti kebun getah atau kelapa sawit dan kadang kala sering diserang penyengat hutan. Kita juga terpaksa membawa ubat nyamuk yang diikat pada pinggang bagi menghalau nyamuk.

“Terdedah dengan risiko serangan haiwan liar seperti babi hutan antara cabaran perlu dihadapi pencari pucuk daun palas. Sebab itu kita perlu sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan bertembung dengan haiwan berbisa seperti ular,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kalau tersalah langkah anggota badan pasti terluka tertusuk duri pelepah palas tua yang akan jatuh bersama ketika kerja-kerja mengait pucuknya menggunakan peralatan seperti sabit.

Tangan pula akan terasa gatal-gatal akibat miang tumbuhan tersebut.

Begitupun, cabaran itu bukanlah halangan baginya mendapatkan pucuk palas yang mendapat permintaan tinggi terutama ketika musim perayaan ini.

“Saya mula mencari pucuk palas kira-kira empat tahun lalu selepas melihat potensi daun berkenaan dalam menjana pendapatan. Permintaan pucuk palas tahun ini agak tinggi malah pada minggu ketiga puasa dulu, saya mengutip kira-kira 6,000 pucuk berbanding sekitar 2,500 pucuk,” katanya.

Wanita asal Sungai Buloh, Selangor ini berhijrah ke Perlis selepas berkahwin dan sering mencari daun palas bersama anak lelaki serta perempuannya.

Daun palas dijual kepada peniaga secara pukal pada harga RM0.60 satu pucuk tanpa mengira saiz kecil atau besar.

“Pokok palas masih banyak terdapat di sekitar kawasan Ulu Pauh ini. Di sekitar kawasan rumah saya juga terdapat lebih daripada 150 rumpun pokok palas yang mana setiap satunya mempunyai sekurang-kurangnya lima hingga tujuh batang pokok tua bergantung kepada saiz rumpun yang membekalkan pucuk berkualiti.

“Sekiranya tiada pucuk baharu, saya akan keluar ke beberapa lokasi lain berdekatan rumah bagi mendapatkan bekalan baharu bagi memenuhi permintaan pelanggan,” ujarnya.

Katanya untuk musim perayaan kali ini, dia terpaksa meminta bantuan beberapa pencari pucuk palas lain bagi memenuhi permintaan luar biasa pelanggan.

“Pucuk palas mampu bertahan lebih seminggu jika tidak terdedah kepada cahaya matahari dan disimpan di tempat lembab,” katanya yang turut menjual menerusi platform dalam talian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×