MUKADIMAH
TENANG dan bersahaja perenang maraton negara, Datuk Abdul Malik Mydin menceritakan pelbagai kisah dan pandangan beliau terhadap beberapa isu ketika pertemuan bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Sekalipun tidak lagi aktif berlatih dan berkecimpung dalam sukan sebagaimana 20 tahun lalu, jiwanya masih tersemat semangat atlet yang mahu melihat bidang ini terus berkembang.
Malah beliau berkongsi pandangannya terhadap keperluan pengurusan atlet dan sukan disamping perubahan terhadap sistem pendidikan.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI serta jurugambar FAISOL MUSTAFA, Abdul Malik menceritakan segalanya demi melihat kepada perubahan yang lebih baik.
MINGGUAN MALAYSIA: Selepas rekod sebelum ini, Datuk ada rancangan untuk mencipta rekod lain?
ABDUL MALIK: Tidak. Cukup sekali sahaja. Dulu ada rancangan untuk berenang mencipta rekod di Laut Bering. Akan tetapi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak benarkan sebab risau keselamatan.
Pada pandangan Datuk adakah penciptaan rekod dalam sesuatu bidang kini semakin pudar dan kurang mendapat tumpuan?
Saya cipta rekod dalam sukan renang. Tapi berenang ini adalah dari satu titik ke satu titik lain.Sebenarnya kalau generasi muda nak cipta rekod, mereka boleh buat lebih daripada itu. Kita perlu lihat will power (keazaman). Buat dengan bersungguh-sungguh. Kaji dan belajar betul-betul dahulu baru laksanakan. Tidak kira apa bidang sekalipun. Kita juga perlu tahu apa tujuan kita nak buat apa dan capai apa kehendak kita.
Adakah sebab kurangnya minat dalam kalangan generasi masa kini mencipta rekod sehingga tiada mampu mencabar kemampuan diri?
Mungkin generasi sekarang mahu buat perkara lain termasuk mahu mencabar diri lebih kepada bidang teknologi maklumat (IT). Tambahan pula masa sudah berubah, banyak dengan IT. Generasi muda boleh teroka cabaran yang boleh dibuat dan boleh bawa impak sosial.
Apa pun, ia terpulang kepada individu tersebut macam mana dia mahu mencabar kemampuan diri. Push your limits.
Bagaimana tahap kesedaran kepentingan asas berenang dalam kalangan ibu bapa?
Ia sebenarnya perlu dibudayakan. Apa sahaja sukan perlu jadi budaya dan impaknya banyak. Saya boleh kaitkan dengan penganjuran Le Tour Le De Langkawi (LTDL). Kalau awak lihat dulu basikal tidak menjadi satu trend. Sekarang apabila kita pergi ke mana-mana pun ada sahaja orang yang bawa basikal. Apabila kita membudayakan sukan, atlet-atlet baharu boleh dilahirkan. Ini kesannya dan kenapa pentingnya membudayakan sesuatu benda. Kita buat benda ini (acara) kerana kita nak membudayakan sukan.
Di Australia mereka boleh bangun pukul 4 pagi, mulakan latihan kemudian pukul 7 pagi sarapan serta terus ke tempat kerja. Kita belum sampai ke tahap itu (membudayakan sukan).
Adakah terdapat kekangan lain bagi usaha membudayakan sukan?
Kita masih lagi pada belajar, belajar dan belajar. Tapi apabila belajar banyak sangat pun akan jadi tekanan.Kita ada sekolah sukan tapi itulah kadang-kadang ada persepsi orang kita hanya melihat kepada satu sukan sahaja. Walau apa pun untuk peringkat awal apabila buat sesuatu itu memang ada kepincangan. Ia mengambil masa.
Bagaimana bakat-bakat renang di Malaysia?
Malaysia tidak sebesar mana pun. Jadi bila nak lahirkan atlet pasti akan mengambil masa, tidak seperti Amerika Syarikat (AS) atau China. Kita apabila seseorang atlet itu meningkat, tumpuan hanya diberikan kepada atlet itu seorang sahaja. Tapi saya percaya, kerajaan ada program dan perancangan sendiri. Sementara nak tunggu pelapis naik, kita perlu tunggu lagi disebabkan ada kekurangan (jumlah penduduk).
Sebagai contoh, jika ada 20,000 yang mengambil bahagian dalam satu-satu acara, 19,000 mungkin hanya sertai sebagai suka-suka dan 1,000 yang serius. Daripada jumlah tersebut berapa ramai pula yang akan ke pemilihan dan berapa pula yang tinggal dan layak? Jadi jumlah terlalu sikit.
Selain itu atlet di sana turut diarahkan untuk menceburi sukan tertentu berdasarkan sains. Macam saya, jurulatih pernah sarankan agar menceburi sukan larian. Tapi disebabkan saya sudah mendaftar sukan lain, niat tersebut dibatalkan.
Satu perkara lagi kita perlu ingat hendak lahirkan atlet bukan perkara mudah berbanding pegawai sukan kerana ia mengambil masa lama dan perlu melalui dari satu peringkat ke satu peringkat lain.
Bukan macam lantik pegawai sukan, mudah. Pergi ke pusat beli-belah kemudian tanya siapa yang mahu jadi (pegawai sukan). Atlet tidak begitu.
Adakah atlet bergantung sepenuhnya kepada latihan semata-mata tanpa perlukan bakat?
Saya rasa bakat menyumbang 30 peratus kepada kebolehan atlet itu. Selebihnya adalah latihan untuk mengasah kemahiran.
Perlukah mencontohi negara lain bagi melaksanakan program pembangunan sukan dengan cara yang lebih keras?
Kita kalau buat sebegitu kosong kem latihan. Budak sekolah kena pukul pun mak ayah sudah datang. Sekarang nak berlatih sebegitu payah.
Saya untung sebab dapat lihat atlet penghujung 80-an dan 90-an. Kita boleh tengok rentak mereka sendiri. Saya masih ingat lagi di depan mata saya bagaimana pelumba basikal China jatuh dan patah tangan di velodrom. Jurulatih berkata, kalau fikir tangan patah, dia boleh balik. Esoknya atlet tersebut menang.
Dulu ada jurulatih Rusia untuk sukan karate. Jurulatih tersebut kata, dia tak boleh hendak latih orang kita dengan cara Rusia yang keras. Pada mereka do or die.
Pencapaian adalah segala-galanya. Pada saya zaman sekarang ini kalau kita kenal kekuatan seseorang itu, tidak perlu dengan cara yang keras. Australia contohnya. Mereka tiada pingat pun dalam Sukan Olimpik tahun 80-an. Tapi mereka mulakan program sehingga lahir atlet kelas dunia. Banyak penganjuran pertandingan peringkat tempatan sehingga tukar kepada pengurusan sukan lebih baik.
Bercakap mengenai pengurusan persatuan sukan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Pengurusan persatuan sukan di negara kita banyak merapu. Kalau saya kritik banyak yang marah. Politik dalaman persatuan ada yang kawal sampai jadi buruk.
Di Malaysia kalau tiada Majlis Sukan Negara (MSN) tidak nampak atlet yang boleh dilahirkan. Negara lain mereka tidak campurkan politik persatuan dalam sukan. Polisi dan dasar terus berjalan walaupun ada pertukaran pucuk pimpinan. Jika ada pun hanya penambah baikkan.
Apa penyelesaian persatuan merapu Datuk?
Kita perlu kenal pasti diri kita dulu. Mampu atau tidak mahu ‘pegang’ persatuan. Adakah kita mahu cari pendapatan kita di situ (persatuan) ? Kalau kita rasa boleh menyumbang tidak mengapa tapi kalau mahu cari pengaruh atau benda lain, persatuan tidak akan pergi jauh. Sebab itu, segelintir tokoh korporat tidak mahu terlibat dalam persatuan.
Di Malaysia jumlah kelab renang sedikit dan tandus untuk melahirkan bakat baharu. Adakah Datuk bersetuju dengan kenyataan tersebut?
Kelab renang sebenarnya banyak terutama di Pulau Pinang. Saya lebih pada kokurikulum berenang sebenarnya. Di sekolah perlu ada kelas renang yang dijadikan sebagai sebahagian daripada kokurikulum.
Sebab apa? Contoh apabila berlaku banjir. Kanak-kanak atau pelajar sekurang-kurangnya tahu perkara asas untuk selamatkan diri. Sekurang-kurangnya tahu apa nak buat.
Sudah banyak kali saya cakap sebelum ini. Kalau nak diceritakan berkenaan kemudahan, kita bukannya macam dulu. Sekarang boleh bina kolam kecil 25 meter. Lagipun kemudahan ada.
Macam kita tengok kalau kolam renang di Cheras berapa banyak kali kita digunakan? Orang ramai guna tapi tidaklah sentiasa penuh.
Sebab itu saya katakan, jadikan aktiviti ini sebagai kokurikulum di sekolah dengan dengan menggunakan kemudahan awam. Jadual boleh bincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kalau nak buat sebenarnya macam-macam cara.
Pernah Datuk cadangkan kepada kerajaan?
Biar Kementerian Pendidikan buat. Saya tidak mahu orang fikir saya ada kepentingan pula. Tapi saya boleh bantu. Apa yang penting will power.
Jangkaan Datuk dalam 10 tahun terhadap sukan renang dan sukan lain?
Kita akan lahirkan atlet kelas dunia. Kita sudah lain untuk 10 tahun akan datang dan sudah matang. Sukan ini sebenarnya adalah industri, bukan sekadar sukan.
Bila saya buat LTDL kita buatkan buat sukan sahaja. Kita sudah ada OB truck lagi. Apa sahaja kita boleh jual apabila industri ini bergerak.
Sebagai contoh, sukan bola sepak itu sendiri. Bermula dari tiket, hak penyiaran dan pengiklanan serta bermacam lagi. Kita sudah ada (industri sukan), tapi tidak pandai macam mana mahu kembangkan lagi.
Sebab itu kita perlu ambil pendekatan untuk uruskan sendiri walaupun ada kekangan. Bila ada kekangan akan ada perkembangan. Ia menghasilkan cetusan. Jangan jadikan budaya apabila marah kita tidak buat apa-apa. Bersaing dengan cara sihat.
MASUK POLITIK
Datuk tidak mahu bergiat dalam politik?
Tidak. Saya mahu berniaga. Cita-cita saya mahu berniaga, sesuatu yang anak muda boleh kuasai. Selepas saya lalui pelbagai perkara dalam hidup. Saya ada atau saya sudah tiada, generasi seterusnya boleh buat dan kuasai. – Mingguan Malaysia










