Satu lagi inovasi baharu berjaya dihasilkan oleh penyelidik tempatan sekali gus meletakkan negara di tahap setanding dengan negara maju.
Ia dibuktikan apabila penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menghasilkan antena tampalan gandaan tinggi untuk komunikasi jalur C yang telah dilancarkan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Ia merupakan inisiatif pertama dilakukan oleh universiti tempatan membangunkan antena bersaiz kompak bagi jalur C dengan struktur yang ringkas dan padat pada satelit kiub (CubeSat) atau nano satelit KITSUNE.
Ketua Penyelidik, Prof. Dr. Mohammad Tariqul Islam berkata, projek yang dijalankan sejak tahun 2019 itu bertujuan untuk mencapai kelajuan pautan bawah sehingga 1Mbps melalui jalur-C untuk stesen bumi bergerak.
“Stesen bumi bergerak akan menggunakan frekuensi sama dengan stesen bumi utama.
“Kami mengambil kira-kira setahun untuk menyiapkan antena berkenaan yang kemudian dipasang pada satelit KITSUNE dan dilancarkan dari ISS pada 24 Mac lalu, pukul 9.10 malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, antena itu sesuai dipasang pada CubeSat KITSUNE kerana saiznya yang kecil iaitu 30 x 30 x 1 mm3.
“Satelit KITSUNE merupakan CubeSat 6U yang berbentuk segiempat tepat dengan sisi 10 x 20 x 30 cm justeru, antena bersaiz kompak, ringan dan stabil diperlukan untuk kelancaran misi satelit nano ini,” katanya lagi.
Komunikasi lebih baik
Selain itu, komunikasi antara Cubesat dan bumi amat bergantung kepada sistem antena.
Oleh itu, ciri antena yang dibangunkan itu unik kerana ia tidak menganggu isyarat lain dari sistem satelit bagi memastikan komunikasi yang lebih baik kepada pengguna.
“Penghasilan antena yang berstruktur ringkas dan padat ini mampu beroperasi dalam aplikasi transmisi jalur C (5.66 GHz dan 5.84 GHz) dengan radiasi terpolarisasi membulat.
“Polarisasi antena CP yang sentiasa sejajar akan menyebabkan isyarat komunikasi yang diterima dan dihantar memuaskan dan tidak terputus,” jelasnya.
Kerjasama luar
Inovasi unggul yang dihasilkan itu merupakan kerjasama dengan Institut Teknologi Kyushu, Jepun (Kyutech).
“Projek penyelidikan ini adalah sebuah pengiktirafan yang membuktikan bahawa kepakaran penyelidik dan universiti tempatan dalam bidang teknologi diakui di peringkat antarabangsa.
“Malah, ciptaan ini juga menunjukkan keupayaan kami menghasilkan antena untuk sebarang keperluan yang mencabar. Ini mungkin menggalakkan industri tempatan melakukan projek yang lebih mencabar,” ujarnya.
Tiga lagi penyelidik yang terbabit dalam projek berkenaan adalah Prof. Dr. Norbahiah Misran, Prof Ir. Dr. Mandeep Singh dan Dr. Md. Samsuzaaman.
Sementara itu, Prof Norbahiah berkata, pencapaian berkenaan membuktikan negara mempunyai kepakaran yang mampu menyumbang untuk projek satelit negara.
“Negara kita mempunyai misi menerokai angkasa dan melalui kejayaan ini, ia memberi keyakinan kita mampu pergi jauh dengan memanfaatkan kajian tenaga pakar dari universiti tempatan,” katanya.










