CUKUP pakej. Bukan sahaja bergelar model di pentas peragaan antarabangsa, tetapi Asyraf Dasley, 30, yang memiliki pakej lengkap ini bakal bergelar doktor falsafah (PhD) tidak lama lagi.
Asyraf mencipta sejarah sebagai model lelaki pertama yang melanjutkan pengajian PhD.
Asyraf mengharumkan nama negara selepas menjadi wakil tunggal Asia diumumkan naib juara pencarian model antarabangsa, Models Culture’s Next Top Model 2021 (MCNTM 2021) yang dianjurkan secara maya susulan pandemik Covid-19.
Malah pernah menang tempat ketiga pertandingan Face of Asia 2020 (FOA 2020) menewaskan 88 model dari 28 negara keseluruhannya.
Biarpun sudah bergelar model berjaya, bagi Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd. Dasli, pelajaran dan kerjaya perlu seiring.
“Jika di luar bidang peragaan, saya banyak terlibat dalam bidang pendidikan. Saya memang suka belajar dan sangat mementingkan pelajaran. Dalam masa suka berkongsi ilmu kepada orang lain. Saya masih bekerja sebagai model sepenuh masa dan dalam masa sama sebagai pelajar sepenuh masakerana dua-dua bidang ini saya minat.
“Sebab itulah, tamat sahaja belajar di peringkat ijazah sarjana kejuruteraan mekanikal, saya teruskan ke peringkat sarjana dan menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian PhD dalam bidang Reka Bentuk Teknologi Keusahawanan. Peluang yang diberi saya manfaatkan sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penerima Kelas Pertama (CGPA 3.95) Sarjana Reka Bentuk Teknologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini turut aktif dalam bidang kokurikulum, mewakili universiti untuk sukan bola tampar, pasukan beruniform dan persatuan di universiti serta diberi jawatan yang dipertua universiti serta fakulti.
Bijak membahagikan masa mengikut keutamaan antara kerjaya dan pelajaran, katanya dalam merealisasikan hasrat itu, disiplin dan fokus amat mustahak bagi memastikan yang dikendong tidak tercicir, yang dikejar tidak dapat.
PERNAH DIPERLEKEH
Bercerita mengenai pembabitan awalnya dalam dunia pentas peragaan sejak tujuh tahun lalu katanya, dia pernah diperlekeh kerana memiliki ‘muka biasa’.
“Segala-galanya bermula apabila ada rakan yang persoal, kau boleh jadi model ke Asyraf? Jadi, apabila tercabar, saya tunjukkan kepada mereka yang saya boleh.
“Walaupun kita muka Melayu tetapi sebenarnya modelling ini bukan setakat good looking sahaja tetapi perlu ada karakter dan ciri-ciri luar biasa,” katanya.
Selain dirinya, sepupu dan kakaknya turut terbabit dalam dunia glamour itu.
Photoshoot untuk akhbar tempatan pada 2015 menjadi titik tolak karier modelnya berkembang.
Beliau mengakui, tidak menyangka mempunyai ramai peminat yang menyokong bagi membolehkan dia berada di top 5 model antarabangsa termasuk pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil, Ratu Cantik Malaysia 1992, Erra Fazira dan penyanyi popular, Siti Nordiana.
Asyraf juga sebelum ini pernah ceburi bidang lakonan pada 2007 dan buat kali pertamanya melakonkan watak sampingan seorang doktor. Malah diterima baik oleh pengarah drama ketika itu kerana Asyraf sangat berbakat. Sehingga kini Asyraf telah membintangi lebih daripada 10 drama atas bakat lakonannya bukan kerana paras rupa.
Model perlu pandai tackle juri, audien
Disebabkan suka mengkaji dan mempelajari sesuatu yang baharu, Asyraf menggunakan kelebihan yang ada untuk dipraktikkan setiap kali photoshoot yang jarang model lain lakukan.
“Kalau masuk pertandingan setakat jual muka sahaja akan ada pelbagai jenis muka yang good looking, sempurna dan cantik. Tapi kalau kita rajin belajar atau buat kajian ekspresi wajah yang mahu kita tonjolkan dalam gambar, seiring dengan outfit yang dipakai, maka akan terhasillah sesuatu yang luar biasa.
“Itu yang membezakan kita dengan model-model lain. Mungkin model lain ada team atau profesional team yang urus baju, solekan, konsep dan sebagainya, tetapi jika model itu sendiri tidak mengkaji ekspresi wajah dan karakter setiap baju, disitulah akan ada sedikit kelemahan,” katanya yang gemar memberi aura berbeza pada setiap show.
Model katanya, bukan sahaja perlu cakna dalam hal ini tetapi perlu tahu cara untuk tarik perhatian juri dan audien.
Itu kelebihan yang ada bagaimana Asyraf ‘menangkap’ konsep pertandingan.
Anak kelima daripada tujuh beradik ini, mengakui pernah berasa takut untuk menerpa nama di luar negara pada tahun pertama dan kedua sertai modelling kerana bimbang dipukul dan dibuli namun sebaliknya terjadi pada dirinya.
“Apa yang yang terjadi sebaliknya. Apabila semakin hari semakin dewasa, kita akan lebih enjoy mengadakan show di luar negara. Berjumpa dengan model-model lain sebenarnya mewujudkan suasana yang sangat positif,” katanya. Kerjaya itu turut membawanya terbang ke pelbagai negara, antaranya Indonesia, Korea dan China.
Mengulas mengenai persepsi negatif dunia model, katanya tidak semua model lelaki mahupun wanita berkeinginan lembut atau berhubungan sejenis.
Namun katanya, selagi berpendirian tetap dan tidak terlibat dengan perkara yang bukan-bukan maka hal sebegitu boleh dielakkan.
“Paling penting niat perlu betul, urusan pasti akan jadi mudah,” katanya.










