Melayukan nama-nama dengan akta, audit bahasa

Melayukan nama-nama dengan akta, audit bahasa

bahasa
AWANG SARIYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha menjenamakan semula semua nama tempat, jalan serta iklan kepada bahasa Melayu hanya boleh dilakukan menerusi pindaan akta dan audit bahasa.

Pengerusi Lembaga Pe­ngelola Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan menyifatkan, kedua-dua tindakan itu pen­ting dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu dikuatkuasakan terhadap semua pihak secara maksimum.

Sebab itu, katanya, apabila pindaan DBP 1959 diluluskan nanti, semua pihak berkuasa perlu memberi kerjasama penuh dalam usaha menguatkuasakan penggunaan bahasa Me­layu dalam semua perkara.

“Peranan DBP akhirnya dapat dilonjakkan, bukan sekadar jadi badan dakwah yang hanya boleh menasihati, menegur dan membimbing…tak ada kuasa. Bila ada kuasa, kita boleh memberikan penarafan kepada badan-badan tertentu, kita boleh lesenkan kepada pihak swasta dan persa­tuan yang menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.

“Akta DBP sudah sedia dipinda sejak 2006 tetapi banyak halangan. Dengan adanya isyarat daripada Perdana Menteri sendiri, saya harap pihak berkuasa, pejabat-pejabat kerajaan dapat membantu menguatkuasakan pindaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam, kerajaan disaran untuk menjenamakan semula semua nama tempat, jalan serta iklan kepada perkataan Melayu bagi mewujudkan persekitaran yang melambangkan identiti Malaysia di negara ini.

Hilang identiti

Ini kerana, kebanyakan lokasi di negara ini disifatkan sudah hilang identiti negara terma­suklah Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Awang menyifatkan, audit bahasa yang sudah dilaksanakan sejak 2012 terhadap perkhidmatan awam perlu diperluas ke sektor lain.

“Dalam soal audit bahasa, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan sokongan padu, cuma kita harap audit ini diperluas, bukan di jabatan kerajaan sahaja, tetapi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institut pengajian tinggi yang tidak melaksanakan bahasa kebangsaan, itu perlu dibuat audit bahasa.

“Setakat ini, hanya enam buah universiti yang buat audit bahasa, itupun sudah terhenti pada 2016. Malah, laporan audit yang dibuat tidak ada susulan atau penambahbaikan, sebab itu audit ini perlu menyeluruh.

“Ketua Pengarah JPA dalam kertasnya ada menyatakan baru 76 peratus jabatan yang menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Sudah 65 tahun merdeka sepatutnya pa­ling tidak 90 peratus, jadi ada lagi ruang penambahbaikan yang perlu dibuat, itu belum lagi soal kualiti dan mutu bahasa,” katanya.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali memberi jaminan bahawa resolusi Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu akan diteliti dan dilaksanakan secepat mungkin.

“Kita telah meneliti resolusi simposium ini dan kebanyakan idea boleh diketengahkan.

Jadi, jawatankuasa peringkat DBP dan saya akan meneliti semua dokumen itu, sebelum diangkat untuk pertimbangan jemaah menteri bagi melaksanakan resolusi dalam memperkasakan bahasa Melayu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN