Pasti apabila kita mengingati pengalaman sepanjang Ramadan lalu, masing-masing akan tersenyum mengenangkan betapa gembiranya suasana beribadah sepanjang bulan termulia itu.
Puasa yang dilaksanakan sepanjang sebulan, solat malam yang didirikan sebagai penghias malam, al-Quran yang benar-benar dijadikan teman bicara dan kemanisan beriktikaf di masjid khususnya pada 10 malam terakhir pasti menggamit kerinduan terhadap Ramadan yang telah berlalu. Namun wajarkah keindahan beribadah pada bulan Ramadan terus dilenyapkan bermula Syawal sehingga akhir Syaaban nanti?
Pesta Ramadan Mesti Diteruskan
Sangat rugi sekiranya keunikan Ramadan terus lenyap dengan ketibaan bulan Syawal. Ramadan tujuannya adalah mencipta ketakwaan sedangkan ketakwaan adalah diperlukan pada setiap zaman kehidupan.
Maka sangat perlu untuk segala kesungguhan beribadah dalam Ramadan diteruskan selama 11 bulan sesudahnya sebelum kita direzekikan semula insya-Allah, Ramadan akan datang.
Menurut guru kami Fadhilat al-Syeikh Ali bin Jum’ah al-Syafi’iyy: Orang soleh terdahulu telah memberi panduan kepada kita dalam menuju kepada Allah dengan cara empat jalan iaitu mengurangkan makan, mengurangkan tidur, mengurangkan bercakap dan mengurangkan bergaul dengan manusia.
Maka jika diamati nukilan al-Syeikh Ali ini, dapati keempat-empat unsur ini jelas terpapar sepanjang ibadah Ramadan. Kurangkan makan dengan cara berpuasa. Kurangkan tidur dengan cara menghidupkan malam terlebih lagi pada 10 malam Ramadan terakhir.
Mengurangkan bicara dengan menyibukkan diri membaca al-Quran manakala mengurangkan bergaul dengan manusia adalah dengan beriktikaf di masjid khususnya pada 10 malam terakhir.
Sewajarnya keempat-empat unsur ini diteruskan pada 11 bulan selepas Ramadan agar ketakwaan terus dianugerahkan kepada para pencinta keredaan tuhan apatah lagi pada bulan Syawal ini yang kita masih lagi terbiasa dengan ibadah sepanjang Ramadan.
Puasa Sunat
Sekalipun tidak ada puasa wajib selain Ramadan, Nabi SAW menggesa agar kita memperbanyakkan puasa-puasa sunat. Antaranya adalah berpuasa sebanyak enam hari pada Syawal.
Al-Imam Muslim bin al-Hajjaj al-Naysaburiyy meriwayatkan melalui sanad beliau: daripada ‘Umar bin Thabit bin al-Harith al-Khozrojiyy, daripada Abu Ayyub al-Ansoriyy bahawa sesungguhnya beliau telah menceritakan kepadanya bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang telah berpuasa Ramadan, kemudian dia telah menyertakannya dengan (berpuasa pada) enam (hari) daripada bulan Syawal, nescaya puasa tersebut telah menjadi seperti puasa-puasa (yang dilakukan selama) setahun (secara penuh).
Maka ini adalah peluang keemasan pada baki bulan Syawal ini bagi mereka yang belum lagi berpuasa sunat. Bayangkan dengan berpuasa sepanjang Ramadan ditambah hanya dengan puasa enam hari pada Syawal akan menyebabkan seseorang dianugerahkan pahala berpuasa setiap hari tanpa henti sepanjang setahun!
Selain peluang istimewa di atas yang hanya ditawarkan pada bulan Syawal, Rasulullah SAW juga menggalakkan kita terus berpuasa sunat sekurang-kurangnya tiga hari setiap bulan.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Puasa tiga hari daripada setiap bulan dan (puasa) Ramadan ke Ramadan (yang berikutnya) adalah puasa sepanjang masa. (Riwayat Muslim).
Menerusi hadis ini, orang yang berpuasa sepanjang Ramadan seterusnya berpuasa juga pada bulan-bulan yang lain sebanyak tiga hari, dia akan dianugerahkan pahala melaksanakan ibadah puasa setiap hari tanpa henti selama setahun.
Sebabnya, apabila seseorang berpuasa tiga hari, ia akan digandakan sebanyak 10 kali ganda lalu tiga hari berpuasa akan menjadi 30 hari berpuasa.
Menghafaz Al-Quran
Sebagaimana yang disebutkan, mengurangkan berbicara dengan manusia adalah salah satu cara mencapai ketakwaan. Maka sangat perlu untuk seseorang membanyakkan bacaan al-Quran.
Amat menyedihkan jika umat Islam hanya mengambil berat dengan bacaan al-Quran sepanjang Ramadan sebaliknya terus melupakan al-Quran pada 11 bulan yang berbaki.
Jika diperhatikan, orang yang sentiasa mengambil berat terhadap bacaan al-Quran adalah mereka yang menghafaz al-Quran berbanding mereka yang tidak menghafaz al-Quran.
Bagi yang menghafaz al-Quran, mereka akan sentiasa mengulang-ulang bacaan al-Quran mereka di samping menambah lagi hafalan yang baru bagi yang belum lagi menyudahkan hafalan 30 juzuk al-Quran.
Secara konsepnya; jika masyarakat Islam mula berusaha untuk menghafaz al-Quran, maka umat Islam akan sentiasa sibuk dengan bacaan al-Quran setiap hari.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang telah membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebaikan disebabkan satu huruf tersebut. Satu kebaikan (pula) adalah (bersamaan) dengan 10 kebaikan seumpamanya. Saya tidak mengatakan: Alif Lam Mim adalah satu huruf. Bahkan alif adalah satu huruf, lam adalah satu huruf dan mim adalah satu huruf”. (Riwayat Tirmidzi)
Mungkin akan ada yang mempersoalkan: “Mampukah saya menghafaz al-Quran sedangkan saya sudah berumur 60 tahun. Sempatkah”?
Soalan begini akan singgah di pemikiran umat Islam secara umum apabila mereka diajak menghafaz al-Quran. Akhirnya mereka akan terus melupakan hasrat itu kerana menganggap sudah terlambat.
Namun kalau dicongak secara mudah, seseorang sebenarnya sangat mampu untuk menghafaz sejuzuk al-Quran dalam tempoh setahun.
Sekalipun menggunakan congakan ini memerlukan masa sekitar 30 tahun untuk menghafaz al-Quran sedangkan ada ahli jemaah yang sudah berusia 60 tahun, namun mana tahu kalau dia dipanjangkan usia lalu dia sempat menghafaz beberapa juzuk al-Quran sebelum hari kematiannya.
Saya telah menyatakan perkara ini sekitar seminggu yang lepas kepada ahli jemaah surau di Taman Seroja, Kuala Kangsar. Saya menyatakan kepada ahli Surau As-Siraj, Taman Seroja, Kuala Kangsar:
“Kalau selama sebulan kita hanya menumpukan hafalan dua muka surat al-Quran, dalam tempoh setahun kita sudah dapat menghafaz sejuzuk al-Quran”. Ini kerana sejuzuk al-Quran adalah sekitar 21 muka surat sahaja.
Caranya mudah iaitu setiap kali lepas solat, kami akan membaca beberapa ayat dengan diulang-ulang sekitar 15 minit dengan sasaran setiap dua minggu akan dihafaz satu muka surat.
Bayangkan dua minggu setiap selesai solat fardu akan diulang-ulang bacaan satu muka surat, pasti ayat-ayat tersebut akan mudah untuk lekat di hafalan setiap ahli jemaah tanpa sebarang tekanan.
Jika ini berjalan lancar, ahli jemaah surau saya di Kuala Kangsar dapat menghafaz juzuk yang pertama sebelum kami bertemu semula dengan Ramadan tahun depan insya-Allah.
——–
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










