SIKAP puji-memuji ini boleh kita ambil sebagai panduan dan amalan untuk kehidupan seharian.
Pendakwah, Nur Hidayu Mohd. Kamil berkata, pujian dianggap kata yang mudah diungkap dan dilontarkan namun kaedah memuji yang betul dapat memberi kesan luar biasa terhadap mental, emosi dan psikologi yang baik.
Mengambil pendekatan oleh baginda Nabi SAW dalam memuji para sahabat. Baginda tidak memuji fizikal, keturunan dan kehebatan mereka sebaliknya yang dipuji oleh Rasulullah adalah sifat, ciri-ciri dan perbuatan para sahabat.
“Sebagai ibu bapa, penting untuk puji anak, jadi isteri atau suami penting puji pasangan. Cara inilah yang akan memeriahkan dan memberi rencah lebih manis dalam perhubungan rumah tangga pada setiap keluarga,” katanya. Berikut tips memuji:
1) Segerakan pujian
Jangan berlengah dan bertangguh. Contohnya, menyegerakan pujian selepas selesai solat dengan menyuarakan kekaguman. Jika kita nampak anak berbuat baik, terus sahaja memuji ‘Alhamdulillah, baik dan rajinnya abang tolong kemas mainan, ringankan kerja umi dapat pahala’. Ini supaya dia tahu perbuatan yang dilakukan itu berhak mendapat pujian dan akan terus-menerus melakukan tanpa disuruh.
2) Puji secara terperinci
Contohnya, suami isteri saling bantu-membantu. Luahkan atau zahirkan kata-kata kecintaan atau yang boleh terdetik di hati dia untuk suka atau ringan tulang membantu. Contohnya, ‘bagusnya sayang tolong susun kasut hari ini’ atau ‘ringan kerja saya bila sayang turut membantu sama’. Maka pasangan akan berasa selesa atas pertolongan yang diberi. Secara tidak langsung, asbab dia akan gembira dan pasti akan mengulangi perbuatan yang baik.
3) Menghadirkan emosi dan perasaan
Nabi SAW sering menyebut dan menggambarkan kekaguman baginda apabila melihat atau mendengar sesuatu. Baginda pernah bertanya, siapakah yang menyebut kalimah atau kata-kata yang membuatkannya kagum kerana pintu langit terbuka maka kekaguman itu diluahkan. ‘Saya suka, saya hargai’. Jadi, orang yang mendengar tahu apa yang baginda sedang rasai. Kesan positif mendapat pujian dan orang yang membuat kebaikan adalah mereka akan berasa seronok serta melahirkan emosi gembira.










