‘Hazieqrie anak istimewa di hati kami’

‘Hazieqrie anak istimewa di hati kami’

anak istimewa
Noor Hazieqrie Rasul disahkan autism pada usia empat tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Anak merupakan anugerah tidak ternilai dan menjadi idaman bagi setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga. Siapa tidak berkeinginan dikurniakan cahaya mata yang cukup sifat , sempurna dan sihat. Namun segala-gala ketentuan Allah. Rafidah reda memiliki anak istimewa.

Rafidah Shahsudzzaman, 40 berkata, ketika di awal kehamilan anak bongsunya, Hazieqrie dia tidak mengalami sebarang alahan teruk kecuali menghidap penyakit kencing manis sahaja. Malahan dia juga melahirkan anaknya secara normal.

Masih segar lagi ingatannya, sewaktu pertama kali menatap wajah pemata hati bersama suami, Muhammad Fauzey Hassan, 45, mereka berasa sungguh teruja melihat wajah comel Noor Hazieqrie Rasul.

“Namun kegembiraan tersebut tidak berpanjangan. Ketika Hazieqrie menginjak usia 3 tahun, sesuatu yang mencurigakan berlaku. Secara tiba-tiba seluruh badannya menjadi kejang. Tanpa berlengah, kami segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Menurut doktor yang merawatnya , Hazieqrie diserang sawan tarik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anak bongsu dari tiga beradik ini disahkan autisme pada usia empat tahun, hasil susulan beberapa siri ujian yang dilakukan oleh doktor terbabit ke atas diri anak kami.

“Pada mulanya kami mengakui agak sukar dan sedih setelah mengetahui hakikat yang sebenarnya. Saya dan suami duduk berbincang dari hati ke hati. Sepanjang perbincangan itu, saya beberapa kali menangis teresak esak seperti anak kecil.

“Saya seolah-olah hilang semangat dan mula menyalahkan diri sendiri. Suami memujuk saya supaya menerima ujian Allah ini dengan penuh redha. Kata suami, ‘Bukan semua pasangan ada anak syurga. Allah nak bagi kita pahala lebih. Sebab itulah Allah sayang keluarga kita’. Nasihat penuh hikmah yang suami diungkapkan suami, menyedarkan dan menginsafkan diri saya,” katanya.

PERWATAKAN AGRESIF

Hazieqrie berperwatakan agresif. Sedikit sebanyak menguji tahap kesabaran pasangan ini.

Sekiranya permintaanya tidak dipenuhi, dia akan membaling apa sahaja barang yang ada dihadapannya sehingga pecah atau rosak.

“Adakalanya kami tidak menuruti kehendaknya dan dia akan memberontak seperti kebiasaannya. Kami juga tidak terkecuali memukulnya dengan tujuan mengajar sekiranya dia sukar dikawal,” katanya.
Rafidah mengakui, sabar adalah kunci utama mendidik anak istimewa.

“Selain sabar, ikhlas dan semangat juang melayan kerenahnya yang tidak menentu masa itu amat perlu. “Kami cuba sedaya upaya memberikan kasih sayang sepenuhnya.

“Kami berkomunikasi dengan cara lemah lembut kepada Hazieqrie dan beliau akan memahami apa yang kami sampaikan dan mengapa kami bertindak sedemikian demi kebaikan dia juga. Lama kelamaan sifat agresif Hazieqrie mula berkurangan,” katanya berkongsi cerita.

TAK LAYAN TOMAHAN

Mengikut pandangannya, anak autisme seboleh-bolehnya jangan berkasar. Sebaliknya perlu ada cara untuk menyelami hatinya.

“Kami tidak pernah berasa malu berhadapan masyarakat sekeliling dengan membawanya bersama termasuk percutian ke luar negara.

“Saya faham Hazieqrie tidak betah duduk diam. Dalam istilah sekarang dia boleh dikatakan seorang hyper active. Saya mengambil pendekatan untuk tidak membawanya ke lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pusat membeli belah kecuali kedai runcit dan beberapa tempat tertentu sahaja.

“Lagi pun hanya kami boleh menilai sendiri keadaan sebenar dia. Terus terang saya katakan yang saya langsung tidak pernah mengambil pusing dengan segala kata tomahan yang berunsurkan negatif mengatakan saya mengurung anak,” katanya.

SERIK ANAK MASUK DAPUR

“Pernah terjadi apabila pada suatu ketika, kami membawanya menziarahi rumah seorang kenalan. Hazieqrie dengan selambanya memasuki bilik, dapur dan mengusik barang tuan rumah. Sejak itu saya nekad untuk tidak membawanya ke rumah orang lagi. Dibimbangi akan berlaku perkara yang boleh mendatangkan masalah kemudian hari. Biarlah saya bertindak awal sebagai langkah pencegahan,” katanya berkongsi pengalaman.

Rafidah memberitahu, daripada segi pendidikan mereka turut menghantarnya ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang merupakan sebuah sekolah khas untuk golongan itu yang terletak di Shah Alam, Selangor.

“Saya difahamkan oleh pihak tenaga pengajar yang Hazieqrie tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap sesi pembelajaran. Waima dari segi kehadiran beliau di sekolah boleh dibilang jari sahaja. Namun saya amat menghargai segala tunjuk ajar dan curahan ilmu oleh kesemua guru yang telah berusaha mendidik anak saya,” katanya.

Mengulas mengenai pembabitan dalam sukan, Rafidah berkata secara berterus terang, dia tidak menggalakkan Hazieqrie terbabit dalam aktiviti riadah dan sukan di sekolah kerana epilepsi.

“Penyakit itu pada biasa menyerang kalau Hazieqrie terlalu letih. Namun Hazieqrie ada ambil ubat untuk mengawal sawan dan mengikuti temujanji doktor di sebuah hospital,” katanya.

Selain Hazieqrie, 10, pasangan ini turut memiliki dua anak lelaki iaitu Noor Hafiezie, 17 dan Noor Haqiemie 13.

“Jika dibandingkan dengan abang abangnya, Hazieqrie tiada masalah cuma dia kurang bergaul sahaja,” katanya membicaranya mengenai permata hatinya.

Menetap di Petaling Jaya dan menjalankan perniagaan makanan bersama suami, Rafidah sambil menahan sebak memberitahu dia dengan suami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk anak istimewanya.

“Selepas solat, saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan kesembuhan untuk Hazieqrie membesar normal sama seperti anak anak yang lain. Adalah menjadi harapan dan impian kami untuk melihat dia boleh berdikari dengan sendirinya tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain.

“Berkat kesabaran kami saya kini boleh menarik nafas lega dan bersyukur kerana Hazieqrie boleh menguruskan keperluan asas dirinya. Dia ialah anak syurga bagi diri kami. Dia tetap istimewa di mata hati kami,” katanya.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, nasihat Rafidah supaya tidak berputus asa dan bersedih, sebaliknya berterima kasih atas kuniaan Allah.

“Mereka ini adalah anugerah yang tidak ternilai yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Permulaannya memang perit untuk ditelan.

“Tetapi dalam setiap ujian, kepayahan dan kesusahan pasti Allah SWT menjanjikan rezeki yang luas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya