Agrobank turun padang dekati penjaja, usahawan mikro

Agrobank turun padang dekati penjaja, usahawan mikro

AMIR Hamzah Azizan (kanan) beramah mesra dengan peniaga ayam segar pada Program Lawatan Pasar Tani di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, semalam. Turut serta Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (tiga dari kiri). – MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi kebanyakan penjaja dan peniaga kecil, akses kepada modal menjadi antara faktor penting untuk memastikan perniagaan yang dijalankan dapat bertahan dan berkembang walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Menyedari keperluan itu, Agrobank mengambil pendekatan turun padang dengan mendekati komuniti penjaja dan usahawan mikro di Pasar Tani Kelana Jaya, di sini, bagi menawarkan maklumat pembiayaan, khidmat nasihat serta sokongan perniagaan secara langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pendekatan itu bukan sahaja membolehkan Agrobank mendekati peniaga di lokasi mereka berniaga, malah memberi ruang kepada pihak bank memahami keperluan sebenar usahawan mikro di lapangan.

“Pasar tani bukan sahaja menjadi platform jualan kepada peniaga kecil, tetapi juga sebahagian daripada ekosistem ekonomi setempat.

“Usaha Agrobank turun padang seperti ini penting bagi memastikan peniaga mendapat maklumat yang jelas mengenai kemudahan yang tersedia dan membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih baik untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kelana Jaya, di sini semalam.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, Agrobank tidak hanya menunggu pelanggan hadir ke cawangan, sebaliknya mahu mendekati peniaga secara langsung bagi menawarkan sokongan yang praktikal dan bersesuaian dengan skala perniagaan mereka.

“Melalui produk dan penyelesaian kewangan yang ditawarkan, kami mahu mendekati peniaga di lokasi mereka berniaga, memahami keperluan mereka dan menawarkan sokongan yang praktikal serta bersesuaian dengan skala perniagaan.

“Usaha ini penting bagi membantu penjaja mengurus aliran tunai, mengadaptasi pendigitalan dalam urusan perniagaan serta membina perniagaan yang lebih mampan,” katanya.

Bagi peniaga ikan laut dari Sabak Bernam, Roslin Mohd. Anuar, 52, kemudahan pembiayaan Agrobank banyak membantunya mendapatkan modal pusingan untuk membeli bekalan perniagaan.

Katanya, sepanjang 25 tahun berniaga, cabaran utama yang dihadapi ialah mendapatkan modal sendiri, terutama ketika perniagaan berdepan keadaan mencabar seperti semasa pandemik Covid-19.

“Saya menerima pembiayaan sebanyak RM30,000 daripada Agrobank dan ia banyak membantu dari segi modal untuk membeli barang perniagaan.

“Struktur pembayaran juga tidak membebankan. Saya memang menyimpan dengan Agrobank dan alhamdulillah urusannya mudah,” katanya.

Sementara itu, peniaga makanan ringan dan kerepek, Amirul Hizzan Sakimat, 23, berkata, pembiayaan Agrobank membantunya mengembangkan perniagaan keluarga yang sebelum ini bergantung kepada modal sendiri.

“Saya tahu mengenai Agrobank melalui kawan dan kenalan. Sebelum ini ayah berniaga menggunakan modal sendiri, tetapi apabila mahu membesarkan perniagaan, kita perlukan modal yang lebih kukuh.

“Manfaat pembiayaan ini jelas kerana saya dapat gunakan modal untuk mengembangkan bisnes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN