KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan pemain senior atau junior yang bernaung dibawah badan induk itu jika mereka masih terlibat dengan isu disiplin.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, badan induk itu telah mengeluarkan amaran terakhir kepada pemain terlibat sebelum ini, dan setakat ini tiada lagi insiden disiplin baharu dilaporkan selepas sesi perbincangan bersama jurulatih serta Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei.
“Namun, jika ia berlaku lagi, kami mungkin terpaksa menggugurkan pemain tersebut daripada persatuan,” kata Zafrul selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Zafrul bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain yang terlibat dengan masalah disiplin, namun beliau berkata, identiti mereka boleh diketahui jika tidak disenaraikan dalam kejohanan yang disertai.
“Tindakan yang diambil adalah berdasarkan cadangan daripada Jawatankuasa Prestasi. Salah satu cadangannya ialah tidak membenarkan pemain menyertai kejohanan (antarabangsa).
“Kami mahu menetapkan contoh dan teladan, bukan sekadar hukuman, kepada pemain lain. Ini terpakai untuk kedua-dua peringkat, junior dan senior,” katanya.
Menurut Zafrul lagi, antara peraturan ketat yang dikuatkuasakan termasuk kewajipan pemain belum berkahwin untuk tinggal di asrama Akademi BAM, kecuali atas alasan kukuh seperti masalah kesihatan atau tanggungjawab keluarga.
“Jika ada pemain yang enggan tinggal di asrama tanpa alasan yang sangat kukuh (seperti masalah perubatan atau perlu menjaga ibu bapa yang sakit), mereka tidak akan dibenarkan mewakili BAM.
“Kita harus ingat, pemain seperti Chong Wei sendiri tinggal di asrama sehingga beliau bersara. Ini soal disiplin dan fokus,” katanya.
Sementara itu, Chong Wei menyambut baik ketegasan badan induk itu untuk menggugurkan mana-mana pemain yang berdepan masalah.
“Untuk saya memang… saya dan jawatankuasa BAM selalu katakan, disiplin adalah nombor satu. Ia sangat penting untuk atlet kita. Masa Terbuka Malaysia lepas pun saya ada buat satu kenyataan,” katanya.
Chong Wei turut berkata, pemain senior perlu memainkan peranan sebagai contoh terbaik kepada generasi muda yang sedang meningkat naik dalam arena badminton negara.
“Jangan buat contoh yang tak berdisiplin. Generasi muda akan tengok pemain senior sekarang. Tak kira pemain negeri, junior atau simpanan, semua tengok pemain senior ini. Apa sahaja yang senior buat, mereka akan ikut,” katanya.-UTUSAN










