JOHOR BAHRU: Parti Bersama Malaysia (Bersama) kekal dengan pendirian untuk bergerak secara solo apabila menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang walaupun berdepan kemungkinan kehilangan deposit.
Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pendirian tersebut dibuat sebagai pilihan alternatif kepada rakyat di negeri ini yang sudah muak dengan permainan politik gabungan-gabungan parti sedia ada.
Sehubungan itu katanya, Bersama tidak akan mengadakan sebarang kerjasama politik dengan mana-mana pihak lain.
“Parti yang sudah lama pun ada bertanding dan hilang deposit, apatah lagi parti Bersama yang baharu ini.
“Jika tidak hilang deposit, maknanya benih yang kita tanam sudah mula tumbuh. Kalau hilang deposit pula, kita perlu kerja lebih keras dan nilai kelemahan yang ada,” katanya dalam sidang akhbar Jelajah Kancil di Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini malam tadi.
Tambah bekas Menteri Kewangan itu, jumlah kerusi yang akan ditandinginya dalam PRN Johor akan diumumkan minggu depan selepas pihaknya membuat penilaian peringkat akar umbi.
“Kami sudah kenal pasti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi, kami juga sudah ada angka awal tetapi perlu disemak semula berdasarkan sambutan diterima di lapangan dan kesediaan jentera.
“Bertanding sama ada 10, 12 atau 20 kerusi, kita tunggu pengumuman rasmi dibuat nanti,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan pihaknya tidak akan meletakkan calon ‘tangkap muat’ sebaliknya akan mempertaruhkan calon yang berkaliber dan mampu berkhidmat kepada rakyat.
“Calon kami akan terdiri daripada golongan tua dan muda bagi memenuhi aspirasi setiap golongan pengundi. Kita juga akan beri tumpuan kepada calon muda dan profesional.
“Ini kerana mereka inilah yang akan menerajui negara pada masa hadapan. Buat masa ini keahlian Bersama sudah hampir 24,000 orang.
Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan keluar PKR sebelum mengambil alih Bersama. – UTUSAN










