fbpx

Harga barang: Suara pengguna tak laku?

Kadangkala tanpa sebab tertentupun harga barangan dinaikkan sesuka hati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Sepatutnya kerajaan tidak perlu umum gaji minimum. Bila umum saja tentu barang niak. Cuba buat diam-diam sahaja, tak delah naik,”.

Rungut seorang wanita membaca laporan Utusan Malaysia mengenai Harga barang melonjak 60 % Khamis lalu.

Namun pada saya, selalunya kalau tidak diumumkan pun harga berangan pengguna mesti naik juga.

Pemborong dan peniaga ni pun terlalu ikut perkembangan semasa.

Malangnya kadangkala, tanpa sebab tertentupun mereka boleh naikkan harga barangan sesuka hati.

Hari ini, kalau nak keluar rumah dengan duit RM50 dalam kocekpun, risau tak cukup.

Kalau ditanya kepada pakar-pakar kewangan pula, mereka selalu menyatakan pengguna perlu suarakan hak mereka.

Sebenarnya bukan tidak bersuara, tetapi tindakan terhadap aduan diberi pengguna kurang diambil peduli seolah-olah suara pengguna tidak laku. Sekurang-kurangnya war-warkankanlah dalam media sosial mengenai tindakan keatas peniaga supaya pengguna tahu.

Hakikatnya, kalau bab mengadu ini, tidak perlulah tunggu pengguna tulis surat rasmi. Medium media sosial dan tag kepada pihak berkaitan pun sudah lebih daripada memadai. Kenapa nak ambil jalan jauh, kalau aduan yang masuk ke dalam inbox sudah ada?

Kalau tiada tindakan, akhirnya suara pengguna yang ada akhirnya terpinggir dan kian mengecil. Banyak laporan akhbar mendedahkan mengenai kenaikan barangan tetapi hasil tidak nampak. Kita tetap terpaksa membayar pada harga yang mahal.

Kenaikan harga barangan bukan baru-baru ini sahaja tetapi sudah lama berlaku. Tetapi yang hairannya seolah-olah sudah menjadi aliran. Setiap tahun pasti isu ini ada. Apa yang tidak boleh diterima fikiran ialah mengenai parkir sekitar lokasi di ibu kota pun naik.

Lokasi parkir bukanlah istimewa, tengah panas dan tidak berbumbung.

Anak-anak kecil yang paling kesian. Disebabkan harga meningkat kadangkala membataskan ibu bapa membawa mereka bersiar-siar.

Selalunya kalau untuk bercuti dengan keluarga, pilihan terbaik adalah waktu cuti sekolah. Namun pada kebiasaanya waktu cuti sekolahlah harga melambung tinggi.

Sampai bila kita harus berkira-kira mengeluarkan belanja untuk keluarga?

Kalau sudah namanya Keluarga Malaysia seharusnya harga ditawarkan tidak membebankan. Saya kira ramai pengguna yang tidak kisah yang membuat tempahan awal untuk mendapatkan harga diskaun.

Tetapi lebih ramai yang tidak mampu menempah awal bukan kerana tiada perancangan tetapi tiada bajetpun yang menempah awal.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan salam takziah kepada lima keluarga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang terbabit kemalangan baru-baru ini. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

——-
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

POPULAR

KOSMO! TERKINI