Dilema isteri, enam tahun tak balik beraya - Utusan Malaysia

Dilema isteri, enam tahun tak balik beraya

Ramli juga terlalu ego dan tidak pernah menerima pendapat Mala dalam apa jua hal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bila berumahtangga, seseorang akan terikat dengan dua keluarga. Ini bermakna bermakna terdapat dua perasaan yang perlu dijaga iaitu keluarga sendiri dan keluarga pasangan.

Dalam hubungan ini, ketibaan Aidilfitri pasti menimbulkan dilema, sama ada hendak beraya di kampung sendiri atau kampung pasangan.

Raya tahun ini begitu ramai yang teruja dan merasakan raya paling istimewa.

Dibandingkan dengan hari raya dua tahun sebelum ini, kita hanya mampu beraya bersama ahli keluarga dalam rumah sahaja.

Ini semua akibat penularan Covid-19 yang memaksa kerajaan untuk menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Keterujaan untuk sama-sama meraikan Aidilfitri bersama ibu bapa dan adik beradik di kampung turut sama dirasai Mala (bukan nama sebenar).

Dia yang sudah hampir enam tahun tidak pulang beraya di kampung sendiri di Muar, Johor mengakui terlalu rindukan orang tua dan adik beradiknya.

Namun harapannya tidak kesampaian, apabila suaminya masih tidak membenarkannya pulang beraya bersama keluarganya di kampung pada tahun ini.

Suaminya, Ramli (bukan nama sebenar) masih menggunakan kuasa vetonya untuk beraya di kampungnya sendiri di Sitiawan, Perak dengan alasan ibunya sudah uzur.

Akui Mala, dia sering bertegang urat dengan suami setiap kali tiba hari lebaran.

Sejak berumah tangga hampir tujuh tahun, asyik suaminya sahaja yang ingin menang.

Jika mereka bergaduh, suami akan mengugut menamatkan sahaja perhubungan mereka jika dia berterusan mendesak untuk pulang ke kampung.

Cerita Mala, dia sanggup menerima lamaran Ramli walaupun tahu status lelaki itu merupakan anak ibu.

Biarpun hasrat menikah pada awalnya ditentang keras oleh kedua orang tuanya, namun sikap bersungguh-sungguh Ramli meleburkan tembok besi yang menghalang.

Mala mulai merasa suaminya terlalu mengongkong hidupnya sejak mereka mendirikan rumah tangga pada penghujung 2016 dan semakin ketara selepas dia melahirkan anak pertama setahun selepas itu.

Segala gerak gerinya dikawal. Hendak keluar ke mana pun tidak boleh. Buat apapun tidak boleh. Segalanya dikawal. Segala keputusan semuanya di tangan suami.

Mala menempuhi gelora perkahwinan apabila ibu mentuanya sering masuk campur dalam kehidupan rumah tangga mereka.

Daripada tahun pertama, kedua sehingga masuk tahun ke tujuh perkahwinan, ketetapan pulang ke kampung masih tidak berubah.

Sikap Ramli yang terlalu kuat mengongkong menyebabkan Mala terseksa.

Mala yang sebelum ini bekerja, terpaksa memilih untuk berhenti selepas diminta oleh suami.

Daripada anak sulung kini berusia lima tahun, sehinggalah anak kedua dan yang paling bongsu berusia enam bulan, peluang langsung tidak diberikan kepada Mala bertemu ibu bapanya.

Ini membuatkan Mala berasa tertekan.

Sepanjang tempoh berumahtangga, bukan Mala tidak pernah cuba menujuk Ramli, namun tidak pernah berjaya.

Mala yang merupakan anak sulung daripada enam beradik itu sering makan hati.

Jika dia dan suami bergaduh, suami akan sentiasa menyalahkan dirinya.

Paling menyedihkan tiada tolak ansur dalam hubungan mereka.

Ramli juga terlalu ego dan tidak pernah menerima pendapat Mala dalam apa jua hal.

Mala terpaksa menurut perintah suami dan harus menurut segala telunjuknya.

Mala mengakui, sebagai manusia biasa yang serba kekurangan ada kalanya rasa cinta terhadap suaminya semakin berkurang dengan berlalunya masa.

Tiga tahun pertama, dia merasakan Ramli adalah segala-galanya.

Tetapi tahun-tahun seterusnya, Mala sudah merasa hambar dan semakin bosan dengan rumah tangganya.

Sifat hatinya berbolak balik bersama masa.

Namun setiap kali perasaan itu muncul, Mala cuba bersikap positif dan sentiasa beristighfar.

Mala tahu dia perlu taat dan mengutamakan suami selagi tidak bertentangan dengan perintah Allah.

Bukan mahu memburukkan suami, Mala mengakui Ramli juga seorang panas baran dan suka naik tangan.

Pantang silap sedikit, dia akan dimaki. Lagi parah, kaki tangan cepat naik seolah-olah mahu menunjukkan kuasanya. Mala semakin tertekan.

Mala cuba sedaya upaya berbuat sehabis baik dalam menjaga hubungan rumah tangga dan semuanya tapi tetap tidak diendah dan tidak dihargai suami.

Mala sedar kunci kebahagiaannya dengan suami banyak bergantung dengan bagaimana hubungannya dengan ibu mentua.

Mungkin untuk pasangan lain, lainlah ceritanya.

Bagi Mala, Ramli tetap suaminya.

Akui Mala dia tidak akan boleh mengubah hubungan suami dengan ibunya. Apa yang boleh dilakukan, dia menerima takdir yang tertulis.

Mala mula faham yang kasih dan cinta suami bukan untuk dirinya sahaja. Walau macam mana pun sayangnya Mala kepada suaminya, ibunya lebih sayang kepadanya.

Pun begitu, Mala tidak pernah berhenti berdoa agar suatu hari nanti suaminya lembut hati untuk membenarkannya pulang ke kampung halaman bertemu kedua orang tuanya.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, maksudnya:
Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya,masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki (Riwayat Ibn Hibban, Hadis 4162, 471/9).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya