Membersihkan ayam dan daging mentah tidak digalakkan kerana banyak kajian menunjukkan ia tidak dapat membunuh patogen bakteria malah perbuatan itu dikhuatiri boleh meningkatkan risiko pencemaran silang.
Kajian menunjukkan bakteria dalam ayam dan daging mentah seperti Camphylobacter mampu bertahan selama empat jam manakala Salmonella selama 32 jam di permukaan dapur.
Memerap ayam atau daging mentah juga tidak dapat mengurangkan bilangan pathogen. Begitu juga perapan dengan asid, tidak dapat membunuh bakteria pada ayam dan daging yang telah diperap.
Patogen bawaan makanan tidak dapat dibunuh dengan hanya mencuci ayam atau daging mentah dengan air. Sebaliknya ia hanya boleh dibunuh melalui aktiviti memasak daging pada suhu yang tinggi.
Salmonella contohnya, hanya dapat dibunuh pada suhu 165°F (74°C) atau ke atas.
Agensi bahagian Keselamatan Makanan dan Servis Pemeriksaan, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), mendedahkan ayam dan daging mentah tidak perlu dicuci kerana ia telah dicuci semasa pemprosesan untuk membersihkan kotoran, darah, lemak dan lendir.
Pensyarah Kanan, Makmal Parasitologi, Jabatan Patologi & Mikrobiologi Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr. Nur Mahiza Md. Isa berkata, bagi mengeluarkan lelehan cecair pada ayam atau daging, sebaiknya cukup dengan hanya tekap dengan kain kering.

Sebaliknya katanya, mencuci ayam atau daging mentah di singki boleh meningkatkan risiko penyebaran penyakit bawaan makanan bakteria.
“Air yang kita gunakan mencuci ayam, mungkin akan dicemari dengan bakteria. Semasa mencuci ayam, kemungkinan besar, air tersebut akan memercik di permukaan lain, makanan dan perkakas yang berdekatan dengan singki.
“Ia boleh menyebabkan barang-barang berkenaan dicemari patogen berbahaya. Daripada kita membasuh ayam atau daging mentah sebelum memasak, adalah disarankan untuk memilih kaedah masak yang betul. Perhatian perlu diberikan untuk mengelakkan berlakunya kondisi kontaminasi silang,” katanya.
Perkakas dan papan pemotong bersih selain memastikan tempat menyediakan ayam atau daging mentah disanitasi terlebih dahulu dapat mengurangkan risiko pencemaran.
Cara dan kaedah cucian yang bersih
Orang ramai disarankan membeli ayam atau daging mentah daripada sumber pemprosesan yang dipercayai seperti ayam atau daging mentah yang mendapat pengiktirafan.
Ini boleh dikenalpasti menerusi logo Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) dan Veterinary Health Mark (VHM) yang dipaparkan pada bungkusan ayam.
Logo-logo berkenaan menunjukkan syarikat yang terlibat dalam penyediaan dan pemprosesan daging ayam atau daging mentah, telah akur sepenuhnya kepada syarat minima keselamatan makanan.
Jika orang ramai membeli ayam dan daging yang mempunyai logo tersebut, boleh terus dimasak tanpa aktiviti mencuci ayam atau daging mentah di rumah.
Bagaimanapun, Dr. Nur Mahiza berkata, ayam dan daging mentah perlu dicuci sekiranya ia dibeli daripada sumber pemprosesan yang kita tidak yakin akan kebersihannya.
KAEDAH CUCI BETUL
Pihak Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease Control and Prevention atau CDC) menyarankan mencuci tangan secara betul iaitu dengan mencuci dan menyental tangan dengan air mengalir berserta sabun selama 20 saat.
Berikut beberapa langkah boleh diambil bagi mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan:
* Menyediakan makanan yang tidak dimasak atau sedia makan terlebih dahulu seperti sayur atau salad, sebelum kita memegang atau mencuci ayam dan daging mentah. Kajian membuktikan singki yang digunakan untuk membasuh daging mentah, didapati tercemar dengan bakteria pada singki berkenaan.
* Jika mencuci ayam dan daging mentah dahulu, ini boleh meningkatkan risiko percikan kuman ke atas makanan yang sedia dimakan seperti salad. Sudah semestinya salad tersebut akan dimakan tanpa diketahui ia sudah tercemar dengan bakteria.
* Pastikan mencuci dan sanitasi permukaan yang berpotensi tercemar dengan ayam atau daging mentah yang kita kendalikan.
* Bagi mengelakkan kontaminasi silang, cuci bahagian dalam, permukaan singki menggunakan air panas dan guna sanitasi atau disinfektan, terutamanya pada bahagian singki dalaman, para singki, pisau dan papan pemotong atau mana-mana tempat yang anda telah letak daging mentah dan pembungkusannya.
* Pastikan produk digunakan juga adalah dibenarkan untuk digunakan bagi permukaan kontak makanan. Gunakan mengikut arahan pengilang atau pengeluar. Selain daripada itu, aktiviti mencuci tangan selepas mengendalikan ayam dan daging mentah adalah perlu.
Risiko penyakit berjangkit
Ayam dan daging mentah akan tercemar dengan bakteria sama ada ia dibersihkan atau tidak dibersihkan.
Ini kerana bakteria hanya boleh dibunuh dengan memasak pada suhu yang tinggi.
Manusia boleh dijangkiti penyakit melalui kemasukan bakteria patogenik melalui ayam dan daging dicuci atau tidak dicuci dengan bersih.
“Antara kesan jangkitan infeksi bakteria Campylobacter, Salmonella, Escherichia coli dan lain-lain, termasuk muntah, sakit perut, pening, cirit-birit dan dehidrasi yang boleh menyebabkan kematian.
“Aktiviti mencuci tidak dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit bakteria yang disebutkan tadi. Apa yang penting adalah mengelakkan kontaminasi silang kerana bakteria yang disebutkan boleh melekat pada permukaan pada masa yang lama,” kata Dr. Nur Mahiza
Cara Simpan bahan mentah
Ayam dan daging mentah perlu disimpan berasingan dengan makanan yang dimasak. Simpan ayam dan daging mentah ini di bahagian berbeza dengan makanan yang sudah dimasak di dalam peti sejuk.
Daging mentah ini juga perlu dimasukkan ke dalam bekas yang bersesuaian dan tidak bocor.
Ini memastikan ayam dan daging mentah tersebut tidak mencemarkan makanan yang telah dimasak dengan bakteria.
Busuk tanda rosak
Dr. Nur Mahiza berkata, sekiranya ingin membeli ayam atau daging mentah, pastikan ia masih segar dan baharu.
Beritahu penjual anda mahukan ayam atau daging yang baharu di proses.
“Jika ada mendapati ayam dan daging telah busuk, anda dinasihati untuk tidak membeli kerana ianya mengundang risiko yang boleh membahayakan nyawa disebabkan oleh penyakit bawaan makanan,” katanya.
Ayam dan daging busuk dapat dikenalpasti dengan meneliti ayam dan daging sebelum membeli. Selain berbau busuk, ia juga berlendir, kelihatan lebam, kehijauan dan agak berbau (bau daging mereput).










