Wanita haid dan umrah - Utusan Malaysia

Wanita haid dan umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara persoalan sering timbul adalah isu wanita yang ingin melaksanakan umrah sedangkan dia sedang didatangi darah haid. Umum mengetahui bahawa tawaf adalah merupakan salah satu rukun bagi umrah. Selain itu seseorang yang ingin melaksanakan tawaf hendaklah suci daripada sebarang hadas dan najis.

Maka apabila seseorang melaksanakan tawaf sedangkan dia menanggung najis dan berhadas besar, maka tawafnya tidak sah. Maka bagaimana pula hal keadaan wanita yang telah bertolak ke Mekah untuk tujuan menunaikan ibadah umrah sedangkan dia telah didatangi oleh darah haid?

Boleh Berihram (Berniat Umrah)
Seseorang wanita yang sedang didatangi haid tidak dihalang daripada berihram di tempat berniat umrah (Miqat). Maka niat ihramnya adalah sah sekalipun dia sedang didatangi haid.

Selain itu apabila seseorang wanita yang telah berniat umrah sedangkan dia ketika itu dalam keadaan suci, sekiranya dia telah didatangi haid selepas itu, ini tidak membatalkan niat umrahnya.

Selain itu orang yang ingin berihram sama ada lelaki atau perempuan termasuk wanita yang didatangi haid disunatkan untuk mandi sebelum berihram dan sebelum memasuki kota Mekah.

Niat Umrah Bersyarat
Wanita yang didatangi haid boleh berniat umrah secara bersyarat. Ada dua situasi bagi pensyaratan ini.

Situasi Pertama:
Jika wanita itu ketika berihram di Miqat telah mengucapkan: “Saya telah berniat ihram untuk melakukan umrah. Sekiranya saya didatangi haid, maka saya telah terbebas daripada ihram,” maka jika wanita tersebut didatangi haid setelah berniat umrah dan dia menghilangkan minimum tiga helai rambutnya dengan niat untuk bebas daripada ihram, maka wanita tersebut telah bebas daripada ibadah umrah.

Jika dia menghilangkan tiga helai rambutnya tetapi dia tidak berniat untuk bebas daripada ihram, maka dia tidak bebas daripada ibadah umrah. Malah akan dikenakan hukuman menggugurkan rambut semasa sedang berihram. Sekiranya dia tidak menghilangkan tiga helai rambutnya sama sekali, maka wanita tersebut tidak terbebas daripada ibadah umrah walaupun dia berniat untuk keluar daripada ibadah umrah apabila didatangi haid.

Situasi Kedua:
Jika wanita tersebut ketika berihram di Miqat telah mengucapkan: “Saya telah berniat ihram untuk melakukan umrah. Sekiranya saya didatangi haid, maka saya adalah orang yang halal”, maka jika wanita tersebut datang haid setelah berniat umrah, dia serta-merta akan terbebas daripada ibadah umrah.

Maka dalam situasi kedua ini, dia tidak perlu menghilangkan tiga helai rambut kepalanya dan dia juga tidak perlu berniat untuk bebas daripada ihram.

Menurut mazhab al-Shafi‘e, wanita yang didatangi haid tidak boleh melaksanakan ibadah tawaf kerana antara syarat sah tawaf adalah suci daripada hadas besar, hadas kecil dan sebarang najis. Maka wanita itu wajib menunggu sehingga dia suci daripada haid dan selesai mandi wajib.

Setelah itu barulah dia boleh melakukan tawaf. Maka sepanjang dia menunggu darah haidnya berhenti, dia hendaklah menjaga segala pantang larang ihram kerana dia masih dalam keadaan berihram.

Perlu diingatkan bahawa apabila darah haid sudah berhenti, wanita yang terbabit seeloknya menunggu dahulu bagi memastikan bahawa haidnya benar-benar berhenti.

Sebabnya jika wanita tersebut terus melaksanakan tawaf, sai dan memotong rambut sejurus sahaja darah haidnya berhenti lalu tiba-tiba darah haidnya datang kembali, ini bermakna wanita tersebut masih dalam keadaan berihram manakala ibadah tawaf, saie dan memotong rambut yang telah dilakukannya sebelum ini adalah tidak sah. Sebabnya, tawaf yang dilakukannya tersebut rupa-rupanya semasa dia masih lagi belum suci daripada haid.

Dalam situasi ini, wanita itu wajib menunggu sehingga darah haidnya benar-benar sudah berhenti. Setelah darahnya benar-benar sudah berhenti, baru boleh melaksanakan kembali ibadah tawaf, saie dan memotong rambut.

Adapun tindakannya sebelum ini iaitu memotong rambut dengan sangkaan dia ketika itu telah selesai melaksanakan umrah, tindakannya tidaklah berdosa kerana ia dilakukan tanpa sengaja. Namun dia wajib membayar fidyah orang yang telah menghilangkan tiga helai rambut secara serentak seperti yang diterangkan oleh ulama pada tajuk pantang larang ihram.

Haid Tidak Berhenti
Masalah akan timbul apabila wanita tersebut masih tetap haid sedangkan waktu bermusafir keluar dari Mekah sudah kunjung tiba. Maka dalam situasi ini, Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah) telah berfatwa bahawa wanita itu dibenar melakukan tawaf kerana dia mempunyai keuzuran iaitu waktu bermusafir sudah dekat.

Maka wanita itu wajib memakai tuala wanita atau seumpamanya bagi memastikan darah haidnya tidak akan mengotorkan kawasan al-Masjidilharam. Setelah selesai bertawaf, dia hendaklah melakukan baki rukun umrah iaitu melakukan saie seterusnya menghilangkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut.

Wanita yang telah melakukan umrah dalam keadaan didatangi haid disunatkan menyembelih seekor unta. Dia juga dibolehkan menyembelih seekor kambing. Namun jika sembelihan unta atau kambing adalah sukar baginya atas faktor kewangan, maka tidak mengapa jika tidak menyembelih unta atau kambing sama sekali.

Tawaf Wada’ wajib?
Apabila seseorang wanita yang akan keluar meninggalkan kota Mekah didatangi haid, dia boleh keluar dari kota Mekah tanpa diwajibkan melakukan Tawaf Wada’ (perpisahan). Malah dia juga tidak dikenakan sebarang hukuman kerana tidak melakukan tawaf tersebut.

Bagaimanapun, jika wanita tersebut suci daripada haid sebelum dia sempat melepasi Mekah, maka wanita tersebut diwajibkan kembali semula ke Masjidilharam untuk melakukan Tawaf Perpisahan.

Peringatan: Pandangan di atas adalah pandangan yang kuat di dalam mazhab al-Imam al-Shafi‘e yang mewajibkan wanita itu berpatah balik untuk menunaikan Tawaf Perpisahan jika darah haidnya berhenti sebelum dia melepasi bangunan terakhir kota Mekah.

Namun, kebiasaan para jemaah umrah yang datang dari jauh akan pulang bersama-sama dalam satu rombongan lalu tindakan berpatah balik melaksanakan Tawaf Perpisahan akan mengganggu jadual perjalanan pulang yang mungkin akan menyebabkan kesulitan yang berat.

Maka dalam suasana ini, wanita terbabit bolehlah berpegang dengan pandangan kedua di dalam mazhab al-Shafi‘e yang menyatakan melaksanakan Tawaf Perpisahan adalah sunat dan bukannya wajib.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN