The Assistant, sasar matlamat ke luar negara - Utusan Malaysia

The Assistant, sasar matlamat ke luar negara

Pembikinan filem The Assistant menelan belanja sebanyak RM6 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Adrian Teh rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Menjadi seorang penggiat filem tanah air yang disegani, Adrian, sebelum ini sudah membuktikan hasil air tangannya sentiasa mendapat perhatian penonton dan masyarakat.

Kita lihat sahaja, naskah garapannya menerusi filem seperti Paskal, Wira dan Pasal Kau misalnya, Adrian berjaya mencipta fenomenanya yang tersendiri sehingga ada yang berpendapat, jika seperti itulah naskah yang mampu industri tempatan kita sajikan, tidak mustahil Malaysia mampu berada setanding dengan industri seni di luar negara.

Kalau pun mungkin dilihat masih jauh perjalanannya untuk mengejar naskah-naskah seperti di luar negara, tetapi sekurang-kurangnya pengharapan kita sudah ada. Tinggal lagi untuk ia sentiasa digilap, diberi peluang selain disokong oleh dana yang dapat membantu melonjakan sesebuah filem bermutu itu.

Bercakap mengenai mutu, Adrian tidak menunggu lama untuk mengorak langkah baru. Menerusi buah tangan terbaru berjudul The Assistant, pengarah berusia 39 tahun ini tampil menyajikan penonton dengan sebuah lagi filem aksi dramatik namun memiliki suntikan berbeza pada skrip penceritaannya.

Bakal ditayangkan pada 10 Mac ini, The Assistant akan menjadi sebuah filem aksi tempatan pertama yang akan ditayangkan di pawagam sejak pembukaan semula panggung wayang sekitar September tahun lalu.

Karya sentuhan Adrian tersebut juga merupakan hasil gabungan pertama Act 2 Picture dengan studio Hollywood yang dijangka bakal memberi kesan kepada jiwa penonton.

Ketika berpeluang untuk menemu bual pengarah filem ini, Adrian memaklumkan, The Assistant secara keseluruhan pembikinannya menelan belanja sebanyak RM6 juta dan memiliki cabaran tertentu sepanjang proses penggambaran dilakukan.

“Ia adalah sebuah naskah berkisarkan dendam dan pembalasan. Sebenarnya, saya ini suka mencabar pasukan di belakang tabir untuk buat sesuatu yang belum dicuba dalam konteks filem aksi di Malaysia ini.

“Cabarannya sudah tentu ada. Ada antara babak yang memerlukan kami rakam pelakon aksi jatuh dari tingkat empat hingga ke lantai dan ia harus dilakukan secara ‘one take’. Tanpa suntingan.

“Kru kata saya ini gila. Rasanya, memang saya ini gila (ketawa). Selain itu, antara cabaran lain ialah bagaimana kami berminggu-minggu duduk berbincang hanya untuk buat satu babak saja. Banyak persediaan teknikal dan sebagainya.

“Kami semua perlu pastikan semua perancangan untuk filem ini berjalan dengan baik. Mungkin sebab inilah filem ini bagi saya sangat mahal. Bukan apa, memang hajat kami adalah untuk memastikan filem tempatan melonjak ke peringkat lain di mata dunia,” katanya.

Pemilihan pelakon
Berkongsi mengenai pemilihan pelakon, Adrian sebagaimana yang diketahui ramai, dilihat selesa bekerjasama dengan barisan pelakon yang pernah membintangi karya-karya garapannya sebelum ini.
Pendek kata wajah-wajah yang sama dan paling ketara, tentunya pelakon yang juga sahabatnya sendiri, Hairul Azreen.

Lalu timbul pertanyaan sama ada, sebenarnya naskah ini juga adalah dibuat khusus untuk Hairul yang sering diletakkan sebagai pemeran utama terutama bagi filem aksi arahannya.

“Tidak. Bukan begitu. Tak ada istilah saya buat filem hanya untuk pastikan Hairul adalah watak utama. Namun, ya, saya akui memang dah banyak kali bekerjasama dengan Hairul dan satu sebab utamanya adalah kerana dia seorang pelakon profesional.

“Hairul bagi saya sentiasa memberikan komitmen yang tak dapat dibuat oleh mana-mana pelakon lain. Sebab itu orang selalu nampak saya ambil dia. Tapi tak ada pula orang tanya kenapa saya ambil Henley Hii.

“Saya suka ambil pelakon yang pernah bekerjasama sebelum ini kerana sudah kenal mereka dengan sangat baik. Kepercayaan itu sudah ada dan mereka pun memang memberikan komitmen yang bagus.

“Saya perlukan pelakon yang boleh beraksi dan berlawan. Jadi inilah hasilnya untuk filem The Assistant,” katanya.

Bagaimanapun, ditanya mengenai pemilihan Iedil Dzuhrie untuk watak utama dalam filem ini, Adrian mengaku sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan pelakon tersebut.

Baginya, Eidil juga merupakan antara pelakon tempatan yang mempunyai bakat luar biasa.

“Saya suka dengan persembahannya dalam mana-mana naskah filem sebelum ini.Tapi untuk filem ini, tidaklah saya ambil secara membuta tuli. Uji bakat tetap diadakan. Bagi saya, Eidil sesuai untuk watak utama yang diberikan.

“Bila dah buat uji bakat itu, memang ternyata naluri saya betul. Watak itu memang untuk dia,” katanya.

Apa komen Hairul Azreen
Bagi pelakon ini, naskah The Assistant merupakan antara naskah yang paling dinanti-nantikannya kerana watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya adalah apa yang diidamkan selama ini.

Kata Hairul, meski sudah banyak kali terbabit dalam naskah filem aksi, The Assistant baginya memiliki suntikan berbeza.

“Ini adalah kerektor yang saya idam-idamkan. Malah, tak keterlaluan kalau saya katakan, ia paling seronok untuk dibawakan. Berlakon dengan barisan bintang lain juga memberikan banyak ilmu buat saya, pendek kata saya suka belajar benda baru,” katanya.

Selain itu, kata Hairul, tiada istilah malu untuk belajar dan terus memperbaiki kelemahan diri dan setiap daripada naskah filem yang pernah dibintanginya semestinya meninggalkan kesan dan ilmu buat dirinya.

“Saya suka perbaiki diri dan cuba benda yang saya tak tahu.Setiap kali berlakon dalam sesebuah naskah, saya akan cuba ubah cara dan gaya lakonan. Bukan sebab rasa diri bagus. Tapi sebab nak berikan yang terbaik.

“Sepanjang tempoh berada dalam industri seni ini, rasanya watak yang saya bawa ini adalah yang paling terbaik yang termampu saya bawakan.Bagi saya, kita kena buat yang terbaik untuk membuktikan Malaysia juga mampu pergi lebih jauh dalam bidang perfileman.

“Banyak orang luar yang saya jumpa, mereka masih tak kenal industri seni Malaysia.Rasanya, kalau bukan kita, siapa lagi yang nak buktikan yang Malaysia juga mampu dan sangat berpotensi dalam bidang ini?

“Mereka lebih kenal industri di Thailand dan Indonesia. Tapi mereka tak kenal filem kita. Kita sepatutnya lebih ke depan. Mana tahu menerusi The Assistant hasrat itu dapat direalisasi?,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×