Matahari terbenam Selat Melaka tarikan Ehsan Seaview - Utusan Malaysia

Matahari terbenam Selat Melaka tarikan Ehsan Seaview

Pantai di sini terkenal sebagai lokasi matahari terbenam paling indah di Port Dickson.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melangkah ke lobi Hotel Ehsan Seaview yang luas dan moden berlatar belakangkan Selat Melaka membuatkan pengunjung terlupa seketika dengan hiruk pikuk kota.

Laut yang terbentang menarik kaki anda segera keluar ke pantai untuk bermain-main ombak sambil menanti detik matahari terbenam. Pantai di situ sememangnya terkenal sebagai lokasi matahari terbenam paling indah di Port Dickson.

Suasana indah langit bertukar jingga dengan matahari perlahan-lahan ditelan di kaki langit itu boleh disaksikan menjelang senja kira-kira jam 7 hingga 7.30 petang setiap hari.

Masa terbaik datang ke sini adalah pada Sabtu kerana anda boleh menikmati pemandangan indah ini sambil duduk di Coffee House Ehsan yang menghadap terus ke pantai.

Pihak hotel menyediakan pakej Santai Sabtu yang mana pengujung boleh menikmati minum petang seperti teh tarik dengan hidangan kegemaran seperti cucur udang dan mi goreng sambil dihiburkan dengan muzik serta nyanyian band tempatan.

Bilik juga luas pada harga berpatutan. Sekiranya datang berkeluarga, anda boleh memilih bilik dengan katil untuk tiga orang iaitu katil bujang dan bersaiz queen.

Istimewanya, bilik ini menghadap ke Selat Melaka dan anda boleh menatap panorama matahari terbenam tanpa perlu keluar daripada bilik.

Anak anda pasti seronok bermain di kolam renang kanak-kanak yang dilengkapi gelungsur seakan mini taman air.

Terletak di bersebelahan lobi, ibu bapa boleh bersantai di sofa mewah berdinding cermin yang membolehkan anda memantau anak yang sedang bermain di kolam atau menikmati minuman atau makanan di Coffee House yang tidak jauh daripada kolam.

Di sebelah malam mungkin tidak banyak aktiviti boleh dilakukan tetapi anda juga boleh membawa keluarga ke Medan Ikan Bakar Majlis Perbandaran Seremban yang terletak hanya dua minit saja dari hotel ini.

Di sini anda boleh menikmati hidangan makanan laut yang segar seperti ikan jenahak, bawal, udang dan sotong pada harga berpatutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×