AGAK lama menyepikan diri daripada bidang seni hiburan, pelakon, Diana Johor, mengaku, masanya lebih banyak terisi dengan kehidupan baharunya sebagai seorang isteri sejak mendirikan rumah tangga empat tahun lalu.
Pun begitu, ada nada tegas pada bait bicaranya tatkala ditanya kesudiannya untuk berkongsi cerita mengenai kehidupannya bersama keluarga.
Ini kerana, bagi pelakon drama Sembilu Kasih dan Gerak Khas ini, ada sebab mengapa dia memilih untuk tidak terlalu bercerita atau menjaja kisah peribadinya kepada umum lantaran mahu hidup lebih tenang.
“Kalau boleh, memang saya tak mahu sangat dedahkan cerita peribadi atau kisah rumah tangga. Biarlah orang tahu mengenai kerja saya sahaja.
“Bukan apa, saya tahu, selalunya sebagai selebriti kadang kala kehidupan peribadi inilah yang akan menganggu kerjaya kita berbanding orang nak fokus pada kerja kita.
“Terus-terang, saya tak nak keluarga rasa terkilan atau terkena tempias kalau ada sebarang cerita tidak enak dijaja orang,” katanya.
Tambah pelakon berusia 42 tahun ini, ketika zaman kegemilangannya sebelum ini juga dia sudah serik melayan kerenah dunia hiburan yang menyaksikan dirinya juga terpalit dengan kontroversi.
TOLAK KONTROVERSI
Menganggap zaman itu sudah berlaku, Diana mahu bersikap lebih matang apatah lagi mengenangkan tidak sanggup untuk melihat ibu bapa dan keluarga berdepan dengan situasi buruk.
“Tak naklah…ibu bapa saya pun sudah tua. Kalau boleh dah tak nak dah terpalit dengan cerita bukan-bukan. Serik pun iya,” katanya.
Sempat menitipkan kata nasihat rambang buat selebriti muda tempatan, Diana mengaku, dulu darah mudanya selesa untuk membenarkan glamor dan populariti itu dicipta menerusi kontroversi.
“Saya tahu, adakala ramai yang memilih jalan kontroversi untuk melariskan sesuatu, contohnya drama atau karya terbaru yang dijayakan. Bagi saya, ada banyak lagi cara lain yang boleh kita kongsikan dalam usaha nak menaikkan sesebuah karya yang dibintangi.
“Percayalah, kalau kontroversi itu dicipta, seseorang artis atau selebriti itu tak dinafikan akan cepat naik. Tapi harus diingat, boleh juga jatuh cepat. Biarlah tak ada cerita sensasi sangat pun, biarlah lambat naik, asalkan boleh terus bekerja dan kekal ada dalam industri.
“Tak perlu risau kalau orang ramai suka kita atau tidak, sebab itu sudah jadi lumrah anak seni. Yang penting, kita buat kerja dengan ikhlas dan jujur sahaja,” katanya.
Kembali berlakon
Berbicara lanjut, kata Diana, dia juga kini sudah bersedia untuk kembali dalam dunia lakonan setelah agak lama berehat.
Apalagi, produksi yang dimilikinya, Panthera Motion Pictures Sdn Bhd yang beroperasi sejak tahun 2014 masih sedia ada.
“Kali terakhir keluar dengan karya terbitan sendiri adalah menerusi telemovie Hantu Raya Balik Kampung pada 2019. Kemudian saya kahwin dan fokus pada rumah tangga.
“Kemudian nak teruskan juga, cuma masa itu pula negara sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi banyak juga kerja tertangguh. Cuma baru awal tahun ini saja kami bangkit usahakan semula di bawah produksi.
“Tak pernah lagi saya katakan enggan terlibat dalam bidang lakonan atau bidang seni ini, Jangan risau. Seni itu sudah jadi darah daging saya,” katanya.
Dalam pada itu, kata Diana, dia juga kini sedang sibuk mengusahakan dan melebarkan kerjaya perniagannya kepada dunia rawatan estetik bersama rakan kongsinya.
Membuka sebuah pusat rawatan kecantikan di Menara Faber yang terletak di Taman Desa di ibu negara, Diana percaya, sebagai seorang usahawan, dia perlu bijak mencari peluang dalam pelbagai bidang.
“Cabang baru ini saya terokai sejak dua bulan lalu. Masih baru. Selain itu, saya selitkan juga dengan perniagaan menjual jamu dibawah jenama Lady D.
“Pendek kata, memang saya mahu sibukkan diri dalam menyeimbangkan kerjaya lakonan, penerbitan drama selain kini dengan bisnes ini pula,” katanya. – UTUSAN










