Mohd. Izhar salahkan Muhyiddin - Utusan Malaysia

Mohd. Izhar salahkan Muhyiddin

MOHD. IZHAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad meletakkan kegagalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai punca beliau meninggalkan parti.

Beliau mendakwa, Muhyiddin bukan sahaja gagal membawa Bersatu ke tahap yang lebih baik bahkan tidak berusaha memulihkannya selepas berpisah dengan kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya membuat keputusan ini tanpa berbincang dengan sesiapa pun dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Sama seperti yang dilakukan Mazlan Bujang (bekas ADUN Puteri Wangsa). Ia berdasarkan kesedaran kami sendiri.

“Keputusan itu diambil dengan berat hati setelah parti hilang hala tuju dan gagal meneruskan perjuangan agenda penubuhan parti tersebut,’’ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor berkata, beliau juga tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin atau bertanding di mana-mana kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Katanya, keputusan itu akan membuka ruang kepada mana-mana parti untuk meletakkan calon muda dengan idea yang lebih segar dan berintegriti.

Mengulas hala tujunya dalam dunia politik, Mohd. Izhar memberitahu akan mengambil masa untuk menenangkan diri sebelum membuat keputusan berhubung parti yang akan disertai.

“Jika saya ingin terus berpolitik, parti yang akan disertai itu mestilah parti yang bagus dan mampu untuk membantu rakyat. Kita tunggu dan lihat,” katanya.

Sebelum ini, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang turut mengambil langkah yang sama meninggalkan Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×