fbpx

Empangan Timah Tasoh bukan lagi lokasi biasa-biasa

Pada asalnya tasik ini adalah sebuah kampung namun telah ditenggelamkan bagi mewujudkan sebuah empangan.

Empangan Timah Tasoh yang terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kangar hanyalah lokasi biasa yang menjadi empangan saliran terbesar di negeri ini.

Tasik tersebut pada asalnya menjadi pertemuan antara dua buah sungai iaitu Sungai Timah dan Tasoh dengan dasarnya sebelum itu adalah sebuah kampung namun telah ditenggelamkan bagi mewujudkan sebuah empangan.

Turut ditenggelamkan bersama kampung tersebut pada masa itu ialah masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan.

Kampung berkenaan terpaksa ditenggelamkan untuk membentuk takungan air.

Ia bagi menyediakan bekalan air domestik atau perindustrian. Di samping itu juga bagi memenuhi keperluan pengairan 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman padi dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.

Projek empangan menelan belanja sebanyak RM77 juta di bawah peruntukan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Malaysia (IADP itu dimulakan pada 1987 dan siap sepenuhnya pada
1992.

Sebelum ini, kawasan berkenaan agak terpencil dan terbiar dengan hanya menjadi tumpuan kaki-kaki pancing dan komuniti nelayan di situ.

Namun, kebelakangan ini, kawasan tersebut mula berubah wajah menjadi antara lokasi tarikan pelancongan paling popular di negeri ini yang menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh negara.

Siapa sangka lokasi berlatar belakangkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand di jalan menuju Padang Besar itu mampu menjadi tarikan baharu yang kerap kali tular di media-media sosial atas faktor keindahannya.

Perubahan tersebut adalah atas inisiatif Kelab Rekreaksi Timah Tasoh yang memperkenalkan pelbagai aktiviti menarik seperti kayak, bot pelancong dan tapak perkhemahan yang mampu menarik kunjungan ribuan pengunjung khususnya pada musim cuti.

Para pengunjung bakal disajikan 1,001 pengalaman berharga selepas menikmati keindahan alam sekitar dan panorama cukup menarik di kawasan berkenaan.

Setiausaha Kelab Rekreaksi Timah Tasoh, Zaidi Shafie yang mengusahakan aktiviti kayak berkata, pihaknya bersama komuniti di sini yang kebanyakkan dalam kalangan nelayan air tawar mengambil insiatif menyediakan pelbagai aktiviti menarik sejak enam bulan lalu.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik yang disediakan itu mendapat sokongan penuh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ujarnya, sejak aktiviti seperti kayak, bot pelancong dan lokasi perkhemahan disediakan, Timah Tasoh bertukar meriah selain membantu meningkat ekonomi penduduk setempat.

“Pada peringkat awal ini, saya sediakan enam biji kayak bagi memberi pengalaman baharu kepada pengunjung sambil menyaksikan keindahan alam semula jadi di kawasan berkenaan. Kos yang dikenakan adalah serendah RM10 bagi setiap 30 minit.

“Pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan kawasan sekitar. Sambutan yang diterima cukup memberansangkan khususnya pada cuti hujung minggu.

“Timah Tasoh sebelum ini terbiar dan terpencil dengan kaki-kaki pancing sahaja selalu datang namun kini berubah wajah sepenuhnya dan menjadi antara lokasi pelancongan paling popular di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, apabila kawasan tersebut mula menjadi tumpuan sekali gus turut membantu penjanaan ekonomi setempat yang menjalankan perniagaan di situ.

Kawasan menarik untuk melakukan aktivit riadah
Seorang pengusaha bot pelancong, Mohd. Muzamir Ismail,40, pula berkata, pengunjung akan dibawa meronda menikmati keindahan kawasan Timah Tasoh sambil merakam gambar.

Katanya, siapa sangka daripada kawasan dipenuhi semak samun kini berubah 100 peratus menjadi lokasi pelancongan paling popular sehingga menarik kunjungan pelancong dari seluruh negara.

“Bagi pengunjung yang menaiki bot, kami kenakan bayaran serendah RM50 bagi setiap 30 minit dengan enam penumpang setiap kali perjalanan. Kita turut bawa pengunjung ke lokasi-lokasi untuk merakam gambar dengan berlatar belakangkan bukit yang menyaksikan pemandangan cukup indah dan memukau,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Kuala Lumpur Eleena Abd. Rani,36, berkata, dia bersama suami dan anak-anak begitu teruja mengunjungi Timah Tasoh selepas tertarik dengan keindahan kawasan berkenaan yang sering kali tular di media-media sosial.

“Pemandangan di sini cukup indah berlatar belakangkan bukit membuatkan gambar yang dirakamkan sangat-sangat cantik. Malah, pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti kayak, bot pelancong serta lokasi perkhemahan memeriahkan suasana di sini,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!