GEORGE TOWN: UMNO digesa untuk melakukan anjakan baharu secara lebih jujur dan berani bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, UMNO yang lahir daripada semangat kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1946 kini berada pada titik penting apabila berdepan kemerosotan sokongan rakyat khususnya masyarakat Melayu yang suatu ketika dahulu menjadi tunjang kekuatan parti itu.
Menurutnya, orang Melayu bukan membenci UMNO sebagai sebuah wadah perjuangan, sebaliknya kecewa terhadap segelintir pemimpin yang didakwa telah tersasar daripada landasan perjuangan asal parti.
“Orang Melayu tidak benci UMNO tetapi benci kepada pemimpin-pemimpinnya yang ‘tergelincir’ daripada landasan perjuangan sebenar. Amalan rasuah dan salah guna kuasa yang semakin berleluasa juga menyebabkan UMNO dilihat semakin jauh daripada denyut nadi rakyat,” sempena ulang tahun UMNO ke-80, semalam.
Katanya, UMNO yang diasaskan hasil gabungan 41 pertubuhan Melayu dalam Kongres Melayu pada Februari 1946 dan dirasmikan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946 sepatutnya menjadi semakin matang selepas lapan dekad penubuhannya.
Namun, keputusan pilihan raya umum lalu membuktikan sokongan orang Melayu terhadap UMNO semakin merosot kerana parti itu tidak lagi diyakini sebagai pembela utama kepentingan Melayu dan Islam.
Mohd. Yussof berkata, tindakan segelintir bekas pemimpin UMNO yang pernah mendapat kedudukan dan nama besar melalui parti itu tetapi kemudian bertindak menyerang UMNO sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap perjuangan parti.
Katanya, sekiranya terdapat pemimpin yang menyeleweng daripada perjuangan asal UMNO, individu berkenaan sepatutnya disingkirkan tanpa perlu mengorbankan parti secara keseluruhan.
“Perlembagaan UMNO jelas mempunyai peruntukan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin yang melanggar disiplin atau perjuangan parti. Jangan kerana salah pemimpin, UMNO pula dihukum dan dikorbankan,” katanya.
Beliau berharap agar sambutan ulang tahun ke-80 UMNO menjadi titik permulaan kepada perubahan menyeluruh dan bukan sekadar retorik politik semata-mata. – UTUSAN










