PETALING JAYA: Ahli UMNO perlu terus bersatu bagi memastikan parti itu kekal relevan dan terus memainkan peranan sebagai sebuah wadah perjuangan yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kesatuan dalam kalangan ahli menjadi tunjang utama bagi memastikan parti ini terus mendapat kekuatan dan sokongan di setiap peringkat, sama ada bahagian mahupun cawangan.
Katanya, kekuatan asas selama 80 tahun itu membolehkan UMNO terus bertahan merentasi pelbagai generasi walaupun parti ini melalui pelbagai fasa naik dan turun dari segi kekuatan politik.
“Kejayaan kita mengekalkan UMNO selama 80 tahun adalah hasil daripada perjuangan para pejuang terdahulu yang telah membina parti ini dengan asas dan fundamental yang sangat kuat,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook, hari ini.
Tambah Johari, beliau berasa berbangga menjadi seorang ahli UMNO, sebuah parti yang telah menjangkau usia 80 tahun.
Katanya, UMNO merupakan sebuah parti yang telah banyak berjasa dan sudah tentu, jasa UMNO kepada negara ini tidak terhitung.
“UMNO akan tetap kukuh, terus hidup dan wajar dibanggakan walaupun melalui pelbagai fasa naik turun dalam kekuatan politik sepanjang perjalanan 80 tahun,” katanya. – UTUSAN









