Hadi dakwa ‘DNA’ khianat lebih sinonim dengan UMNO

Hadi dakwa ‘DNA’ khianat lebih sinonim dengan UMNO

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menyangkal dakwaan bahawa parti itu mempunyai ‘DNA’ khianat hingga menyukarkan untuk menjalin kerjasama, sebaliknya mengatakan bahawa sifat itu lebih sinonim dengan UMNO.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Pas mempunyai ‘DNA’ khianat adalah tanpa bukti yang benar.

Beliau berkata, UMNO pula ada kaitan dengan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) yang nyata hingga mengepung parti itu untuk bekerjasama dengan DAP, namun ia tidak menjadi halangan kepada usaha perpaduan umat.

“DNA yang dikatakan kepada Pas ialah molekul pembawa maklumat genetik dalam hampir semua organisma hidup, berfungsi sebagai ‘buku resipi’ yang mengandungi arahan untuk pertumbuhan, perkembangan, dan fungsi sel.

“DNA berbentuk heliks ganda dua dan menyimpan kod genetik menggunakan empat bes kimia, iaitu adenina, sitosina, guanina, dan timina,” katanya menerusi hantaran minda Presiden Pas di Facebook, hari ini.

Sebelum ini,, Ahmad Zahid dilaporkan mendakwa unsur khianat dalam kalangan pemimpin Pas, menjadi penghalang utama untuk sebarang pertimbangan kerjasama politik semula antara UMNO dan parti itu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pengalaman lepas ketika pembentukan Muafakat Nasional (MN), memperlihatkan wujudnya sikap sedemikian dalam Pas, sekali gus menyebabkan hubungan antara kedua-dua parti tidak dapat diteruskan.

Abdul Hadi berkata, Pas berpegang pada konsep Islam bahawa orang yang dituduh adalah tidak bersalah selagi tidak dibuktikan dengan adil.

Oleh itu, katanya, tidak menjadi halangan kepada usaha perpaduan Melayu dan Islam.

“Konsep MN sebenarnya telah diadakan lebih awal sebelum kelahiran Presiden UMNO sekarang iaitu sejak zaman melawan penjajahan dan selepas kemerdekaan pada masa Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, dan Tun Abdul Razak.

“Pas bersama menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menentang komunis. Tiba-tiba, UMNO yang berkuasa menggunakannya bagi menentang pengaruh Pas sehingga beberapa orang pemimpin Pas ditahan bawah ISA. Rupa-rupanya DNA khianat ini ada pada UMNO, bukan pada Pas.

“Peristiwa itu tetap diingati oleh Melayu yang tidak lupa. Pas berpegang pada Islam supaya tidak pernah mengkhianati sesiapa dalam semua perjanjian, Pas berjanji dengan hukum Islam dan membatalkan janji dengan hukum Islam juga,” katanya.

Tambahnya, menjadi lumrah semua pihak yang berbeza pendapat boleh berkelahi dan berperang sambil mengaku pihak masing-masing yang lebih betul, benar, dan baik.

“Hal ini termasuk pendapat Iblis dan pengikutnya yang paling jahat hingga hari Kiamat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN