PETALING JAYA: Sokongan Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) masih lemah dianggarkan sekitar 30 peratus, untuk parti itu mendepani pilihan raya umum akan datang.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kelemahan tersebut perlu diatasi sebaik mungkin termasuk bekerjasama dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) seperti dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kerjasama antara PH, UMNO-BN itu mampu menjadi ‘tapak’ dalam membina graviti dan kestabilan politik Malaysia yang secara jelas meletakkan sokongan Melayu sebagai teras kekuatan politik.
“Ini kerana sokongan orang Melayu terhadap PH masih lemah, sekitar di bawah 30 peratus.
“UMNO masih mempunyai kekuatan akar umbi Melayu yang besar dengan keanggotaan melebihi tiga juta orang di seluruh negara.
“Kerjasama PH dengan UMNO penting untuk menarik sokongan pengundi Melayu dan membina sebuah kerajaan yang stabil serta mempunyai graviti politik yang kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hassan berkata, keputusan pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) lalu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis membuktikan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masih belum mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengundi Melayu.
Menurutnya, PKR atau PH tidak ada kekuatan sokongan orang Melayu yang luas bagi menarik pengundi terutama di luar bandar.
“Yang ada kekuatan itu ialah UMNO. Sebab itu, sinergi antara PH dan UMNO penting untuk membina kestabilan politik negara yang masih memerlukan sokongan Melayu sebagai teras utama,” katanya.
Beliau tidak sependapat dengan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan PH tidak boleh bergantung kepada BN yang disifatkan rakan kerjasama tidak boleh dipercayai akibat krisis politik di Negeri Sembilan.
Menurutnya, kerjasama tersebut tidak bermaksud PH perlu menerima sepenuhnya semua pandangan politik UMNO, namun hubungan baik perlu diteruskan demi kepentingan negara.
“Saya melihat UMNO secara positif dan seimbang. Dari segi politik dan ideologi mungkin saya berbeza dengan UMNO.
“Tetapi UMNO bagi saya bukannya Ahmad Zahid Hamidi dan Ahmad Zahid juga bukan UMNO,” katanya.
Tambahnya, imej UMNO perlu dilihat melalui sejarah perjuangan pemimpin terdahulu seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Musa Hitam yang banyak berjasa dalam pembangunan negara.
“Pada masa sama, pimpinan PH tetap komited menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera menerusi pelbagai dasar serta bantuan rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bersasar petrol RON95 melalui BUDI MADANI, banyak membantu majoriti rakyat Melayu dalam kategori B40.
“Kerajaan juga terus mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta memelihara kedudukan istimewa orang Melayu seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Guan Eng berpendapat, PH perlu memikirkan strategi menarik sokongan orang Melayu dalam mendepani pilihan raya akan datang.
Beliau dilaporkan berkata, PH tidak boleh bergantung dengan parti lain termasuk Barisan Nasional (BN). – UTUSAN










