Jangan hukum individu yang berusaha perbaiki taraf hidup

Jangan hukum individu yang berusaha perbaiki taraf hidup

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem pengkelasan T20, M40 dan B40 sudah tidak relevan dengan situasi ekonomi semasa, seolah-olah menghukum individu yang sedang berusaha memperbaiki taraf hidup mereka.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, penilaian semula amat perlu agar lebih selari dengan realiti kos sara hidup serta tidak membebankan rakyat khususnya di bandar-bandar besar.

Beliau berkata, pengkelasan yang dilaksanakan secara pukul rata menjejaskan kelayakan mereka yang tinggal di bandar daripada menerima subsidi dan bantuan kerajaan.

Katanya, seperti di Kuala Lumpur, ramai yang berjaya meningkatkan pendapatan hasil usaha sendiri melalui peluang ekonomi yang tersedia, namun akhirnya tersepit apabila bantuan dihentikan.

“Apabila pendapatan mereka melepasi syarat tertentu, pelbagai subsidi terus ditarik walaupun kos kehidupan sebenar masih tinggi.

“Rakyat akhirnya tersepit apabila pendapatan meningkat sedikit tetapi bantuan dihentikan, sedangkan beban kos sewa rumah, pengangkutan, pendidikan serta harga barang keperluan terus meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan sedang meneliti kriteria kumpulan berpendapatan tinggi iaitu T5, T10, T15 dan T20 khususnya berkaitan garis pemisah pendapatan sebelum pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dapat diperincikan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasr­ullah Mohd. Nasir berkata, cadangan itu telah dibincangkan da­lam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai keperluan me­nyasarkan semula subsidi.

Menurut beliau, antara cabaran utama yang sedang diper­ha­lusi adalah menentukan garis pemisah pendapatan yang sesuai bagi membezakan golongan layak menerima subsidi dan mereka yang wajar dikeluarkan daripada sistem berkenaan.

Tengku Azman berkata, sudah tiba masanya kerajaan menilai semula kaedah pengkelasan tersebut dengan mengambil kira faktor lokasi, bukan semata-mata berdasarkan angka pendapatan kasar sahaja.

Katanya, kos sewa rumah, pengangkutan harian, pendidikan anak-anak serta kenaikan harga barang keperluan antara beban utama yang terus menghimpit penduduk bandar.

“Pengkelasan berdasarkan angka pendapatan kasar semata-mata tidak lagi sesuai digunakan dalam keadaan ekonomi semasa kerana gagal menggambarkan situasi sebenar kehidupan rakyat di sesuatu kawasan.

“Individu yang tinggal di Kuala Lumpur berdepan kos hidup yang jauh berbeza berbanding mereka yang menetap di kawasan luar bandar atau negeri lain,” katanya.

Ujarnya, pendekatan yang lebih fleksibel dan bersasar penting bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa menafikan hak rakyat yang sedang berusaha memperbaiki taraf kehidupan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN