PARLIMEN: Kanak-kanak B40 diutamakan prasekolah percuma

PARLIMEN: Kanak-kanak B40 diutamakan prasekolah percuma

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) diberi keutamaan dalam kemasukan ke kelas prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan bagi memastikan akses pendidikan awal yang lebih saksama di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu selaras dengan komitmen kementerian untuk memperluas pendidikan prasekolah percuma bagi mengelakkan keciciran kanak-kanak pada peringkat awal.

“Kementerian Pendidikan komited memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan prasekolah percuma selaras dengan agenda utama reformasi pendidikan untuk memperluas kelas prasekolah tanpa meninggalkan isu keciciran pada peringkat awal,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) yang ingin mengetahui sama ada akses kepada pendidikan awal kanak-kanak berkualiti mencukupi, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.

Kah Woh berkata, peluasan kelas prasekolah dilaksanakan setiap tahun terutama di lokasi yang mempunyai permintaan tinggi bagi memberikan peluang kepada lebih ramai kanak-kanak khususnya daripada golongan B40 mengikuti pendidikan prasekolah KPM.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, bagi jangka masa pendek, pembinaan bangunan baharu akan dilaksanakan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi membolehkan kemudahan disiapkan dalam tempoh singkat.

Katanya, bagi keperluan tenaga pendidik pula, KPM akan melaksanakan pengambilan khas guru bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebagai langkah segera sebelum kohort baharu bermula.

“Berkenaan fasiliti, kemudahan sedia ada di sekolah akan diguna pakai dan dioptimumkan, namun kami mengambil maklum bahawa terdapat sekolah-sekolah yang mungkin memerlukan tambahan.

“Bagi perancangan jangka panjang, pengambilan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) akan ditingkatkan mengikut unjuran baharu yang akan disediakan KPM berdasarkan data sedia ada,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Hishammuddin berhubung kesiapsiagaan fasiliti dan tenaga pendidik susulan pelaksanaan inisiatif pendidikan baharu termasuk kemasukan awal murid enam tahun ke Tahun Satu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN