Remaja perempuan B40 tidak mampu beli tuala wanita - Utusan Malaysia

Remaja perempuan B40 tidak mampu beli tuala wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 13.1 peratus remaja perempuan dan wanita muda daripada keluarga B40 di ibu negara dilaporkan tidak mampu membeli tuala wanita setiap bulan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal golongan berkenaan, malah turut memberi kesan terhadap maruah, keyakinan diri serta prestasi akademik mereka.

“Lebih membimbangkan, satu daripada dua pelajar perempuan pernah berfikir untuk ponteng sekolah ketika datang bulan kerana rasa malu, kekurangan kemudahan dan ketiadaan produk sanitari.

“Kita tidak boleh biarkan anak-anak gadis kita terpaksa memilih antara membeli makanan atau membeli tuala wanita,” katanya ketika merasmikan Kempen Sifar Kemiskinan Haid di SMK Cheras, di sini hari ini.

Menurut Dr. Wan Azizah, kemiskinan haid atau period poverty masih dianggap tabu untuk dibincangkan secara terbuka di Malaysia, meskipun isu itu semakin mendapat perhatian di peringkat global.

Jelasnya, selain bandar besar, masalah itu lebih ketara di kawasan luar bandar dan pedalaman apabila ada remaja perempuan yang tidak mempunyai akses konsisten kepada produk kebersihan haid.

“Di kawasan Orang Asli Tapah misalnya, 77 peratus penduduk hidup di bawah paras kemiskinan dan sebahagian besar tidak mempunyai akses kepada air bersih serta kemudahan sanitasi asas.

“Di Sabah dan Sarawak pula, kadar kemiskinan dalam kalangan Bumiputera masing-masing mencecah 20 peratus dan 7.3 peratus, menjadikan mereka antara golongan paling terdedah kepada kemiskinan haid,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, masyarakat, sektor swasta serta NGO berganding bahu menjayakan kempen kesedaran tersebut bagi menghapuskan stigma dan meningkatkan literasi kesihatan reproduktif.

Kempen anjuran Majlis Belia Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Uni-Lavender Sdn. Bhd. itu turut mendapat sokongan sekolah dan NGO tempatan yang menyediakan kit kebersihan asas kepada pelajar.

Majlis turut dihadiri Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah; Ketua Pegawai Eksekutif Uni-Lavender, Madhu Nambiar serta Pengetua SMK Cheras, G. Shariza Shaharuddin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN