Ihsan tangani konflik rumah tangga - Utusan Malaysia

Ihsan tangani konflik rumah tangga

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laut mana tidak bergelora, bumi mana tidak ditimpa hujan. Sedangkan lidah lagi tergigit apa tah lagi suami isteri.

Islam bukanlah semata-mata menekankan hukum halal haram, malah turu menekankan seni keindahan perhubungan dalam perkahwinan. Perkahwinan itu sunnah dituntut manakala perceraian adalah perkara harus yang paling dibenci (makruh).

Namun hubungan suami isteri tidak harus dilihat terkongkong kepada hukum semata-mata, adakah suami wajib memberi nafkah dan isteri wajib taat membabi buta?

Jika pasangan hanya dimomokkan dengan tanggungjawab wajib sahaja, maka pastilah hubungan suami isteri menjadi hambar dan kaku.

Isteri ditakutkan dengan kalimah nusyuz dan derhaka, manakala suami dimomokkan dengan perkataan dayus jika tidak menunaikan tanggungjawab.

Suami dan isteri harus jelas tentang pembahagian tugas, tanggungjawab dan hak masing-masing. Namun, dalam masa sama mereka harus menyedari pentingnya mewujudkan elemen ihsan dalam perkahwinan.

Suami wajib memberi nafkah manakala isteri tidak wajib mencari nafkah. Namun isteri yang membantu mencari rezeki itu adalah ihsan.

Suami tidak wajib meminta izin pergi ke mana-mana, tetapi memberitahu isteri sebelum keluar maka itu adalah ihsan.

Isteri akan rasa dihargai dan dihormati. Isteri wajib melayan suami, tetapi suami yang membantu isteri di rumah itu adalah ihsan. Isteri tidak wajib menyusukan anak kerana susu anak adalah tanggungjawab nafkah dari si bapa, tetapi isteri yang menyusukan anak mempunyai ihsan yang besar ganjarannya.

Perkahwinan menjadi hambar dan lesu jika suami atau isteri asyik menuntut hak tetapi gagal menerapkan konsep ihsan dalam melayari bahtera rumah tangga.

Siapakah lagi yang lebih layak untuk dilayan dengan ihsan jika bukan pasangan sehidup semati?

Malah Rasulullah SAW juga berpesan dalam khutbah baginda yang terakhir tentang kepentingan berbuat baik kepada isteri: Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Islam bukan sekadar memberi hukuman, Islam mengajar kita ihsan dalam perhubungan. Jika pasangan berhadapan dengan masalah, mereka boleh melantik hakam dalam kalangan orang yang dipercayai. Begitulah juga peranan hakam turut dipraktiskan di Mahkamah Syariah.

Suami isteri haruslah bersedia untuk menjalani kaunseling. Perkara pertama yang harus diakui ketika bahtera perkahwinan diuji ialah semua pihak harus mengakui wujudnya konflik dan bersedia untuk mendengar.

Jika suami atau isteri tidak mahu mengakui hubungan mereka bermasalah, maka proses pendamaian akan menjadi rumit.
Samalah seperti orang yang sakit, ia harus mengakui dirinya sakit untuk diubati. Selama mana dia menafikan dan menyembunyikan fakta bahawa dia sedang sakit, maka ia takkan dapat diubati.

Bukalah jiwa untuk mendengar nasihat dan memperbaiki keadaan. Manusia ego akan terus menutup pintu perdamaian dan bertekad meninggalkan masalah dengan perceraian.

Namun harus diketahui, mahkamah adalah penyelesaian terakhir dalam konflik rumah tangga. Asas dalam perhubungan suami isteri apabila berhadapan dengan konflik ialah ihsan.
Disebutkan dalam firman Allah yang bermaksud: Talak itu dua kali, (setelah suami dapat) menahan dengan baik atau melepaskan dengan baik. (al-Baqarah: 229)

Jelas ayat ini membawa maksud bahawa apa jua keputusan sama ada meneruskan perkahwinan atau meleraikan ikatan perkahwinan, haruslah dibuat dengan ihsan.
Suami yang memilih untuk terus bersama isteri, harus memperbaiki hubungan yang kendur dan begitu juga isteri. Memilih untuk tidak melepaskan bukan kerana sifat dendam suami yang mahu menyeksa jiwa dan batin isteri.

Begitu juga jika suami memilih untuk melepaskan bukan kerana mahu mendera jiwa isteri yang pastinya akan kehilangan kasih sayang dan nafkah.

Amat menyedihkan ada suami yang memilih jalan menyelesaikan konflik dengan dendam yang masih membara. Isteri dilepaskan tetapi hilang hak jagaan atau isteri mendapat hak jagaan tetapi nafkah anak tidak diberikan.

Ada bekas suami yang tidak ihsan, bersungguh-sungguh memastikan bekas isteri merana selepas perceraian. Begitulah juga ada suami yang memilih untuk tidak menceraikan isteri, sebaliknya berterusan mendera mental dan jiwa raga isterinya.

Ini bukanlah cara penyelesaian yang diajarkan dalam Islam. Pastikan apa jua keputusan, itu adalah pilihan terbaik untuk semua pihak. Lebih-lebih lagi jika pasangan tersebut mempunyai anak.

Surah at-Talak menceritakan panjang lebar tentang hukum perceraian. Walaupun surah ini membicarakan kes dan hukum perceraian secara terperinci, ini bukan bermakna talak penyelesaian pertama harus dipilih.

Suami turut diajar bersifat ihsan jika memilih untuk menceraikan isteri. Ceraikan isteri dengan cara terhormat dan bukan dengan cara menghina seperti kes zihar yang disebutkan dalam surah Mujadalah. Hanya suami yang fasik sahaja akan menceraikan isteri dalam keadaan terhina sedangkan ini bukanlah ajaran Islam.

Hukum talak amat penting untuk dipelajari kerana ia berkaitan dengan hukum dan hak manusia lain. Sebagai contoh, kewajipan beriddah bagi isteri dan kewajipan nafkah oleh suami adalah perkara yang sering diabaikan.

Kursus perkahwinan banyak menceritakan tentang tanggungjawab semasa perkahwinan, tetapi hakikat tanggungjawab pasca perkahwinan juga perlu difahami oleh suami dan isteri. Kursus perkahwinan perlu dilihat semula dengan penerapan isu-isu konflik rumah tangga.

Amatlah baik jika kursus perkahwinan bagi pasangan matang juga dapat diadakan. Jika kita yang sudah lama berada di alam pekerjaan, majikan akan mewajibkan kursus pemantapan, apatah lagi suami isteri yang telah hidup bersama berpuluh tahun lebih memerlukan kursus pemantapan kasih sayang.

Hidup ini adalah jihad dan perjuangan. Suami isteri juga mempunyai jihad untuk menjaga perkahwinan agar sentiasa diberkati dan sentiasalah berusaha menjaga hubungan dengan menjaga hudud Allah SWT.

Pilihlah untuk bahagia dan bahagia itu pastinya memerlukan pengorbanan yang bukan kecil maharnya.

  • Penulis ialah Prof. Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM merangkap ahli Majlis Agama Islam Selangor.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN