Almaty, kota impian membuai perasaan - Utusan Malaysia

Almaty, kota impian membuai perasaan

(Atas) Panorama Medeo dari atas bukit, indah diselaputi salji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pukul 4.50 pagi.

Pesawat tambang murah Turki, Pegasus luncur laju ke lapangan terbang antarabangsa Almaty, Kazakhstan, selepas lima jam penerbangan dari Istanbul, Turki.

Menjejakkan kaki ke negara ke sembilan terbesar di dunia ini, tanggal 2015 semestinya merupakan detik bersejarah buat saya.

Namun sebaik sahaja melangkah keluar dari dalam perut pesawat, serta merta angin sejuk menerjah tubuh, mencengkam tulang belulang ini.

Situasi itu sejujurnya menimbulkan sedikit rasa penyesalan kerana mengunjungi bumi Kazakhstan pada musim sejuk di bulan Februari.

Suhu pada awal pagi itu sekitar negatif lapan darjah celcius berserta angin yang sangat kuat.

Sementara menunggu di lapangan terbang yang asalnya dibina pada 1935 bagi kegunaan pesawat tentera itu, saya terpaksa berpeluk tubuh untuk menghangatkan badan yang terasa membeku. Dua helai pakaian berserta jaket tebal tidak mampu memberikan kehangatan. Saya menggigil sepanjang menunggu giliran.

Sebaik sahaja selesai urusan pasport dengan pegawai imigresen yang langsung tak faham bahasa Inggeris, saya lantas bergegas keluar bertemu dua rakan baik, Maksat, 26, dan Abay, 27, warga Kazakhstan yang saya kenali ketika mereka menyertai program pertukaran pelajar di universiti saya yang terletak di kota Izmir, Turki.

Pengalaman pertama bermula ketika kami menaiki sebuah kenderaan dari lapangan terbang. Sangkaan saya bahawa pemandu tersebut merupakan rakan mereka ternyata meleset, rupanya dia sekadar pemandu biasa yang bertindak sebagai teksi.

Di Kazakhstan, anda boleh sekadar melambaikan tangan untuk memberhentikan apa sahaja jenis kenderaan di atas jalan. Seterusnya berbincang dengan pemandu berkenaan tambang ke destinasi pilihan, kalau setuju boleh naik, kalau tak setuju kena tahan kenderaan lain.

Aplikasi pengangkutan atas talian dari Rusia seperti YandexGo, Uber dan InDriver boleh juga digunakan.

TUKAR NAMA

Kota Almaty merupakan ibu kota Kazakhstan pertama dari 1929 hingga 1997 sebelum dipindahkan ke kota Akmola pada 1997. Pada 1998, Akmola diganti nama kepada Astana yang membawa maksud ‘ibu kota’ dalam bahasa Kazakhstan.

Nama kota ini sekali lagi ditukarkan kepada Nur-Sultan pada 2019 sempena nama Presiden pertama Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev yang memerintah dari 1990 hingga 2019.

Pertukaran nama kota itu sebagai penghargaan buatnya yang telah membangunkan Kazakhstan terutamanya dari segi kualiti kehidupan rakyat.

Namun begitu, kota Almaty kekal sebagai kota paling ramai penduduk dengan jumlah populasi melebihi 1.8 juta, diikuti Nur-Sultan 1.127 juta dan Shymkent 1.038 juta.

Manakala jumlah keseluruhan rakyat di negara itu pula ialah 18 juta lebih.

Sekalipun berada di Almaty selama empat hari sahaja, tapi kepuasan dan pengalaman yang dirasakan cukup menakjubkan.

Saya dijemput tinggal di rumah Maksat dan Abay serta diberi layanan yang cukup istimewa.

Mereka turut meluangkan masa membawa saya melawat beberapa kawasan tumpuan utama seperti bangunan pentadbiran negeri atau disebut Akimat.

Dalam bahasa Kazakhstan, Akim membawa makna ‘Allah akan menetapkan’, perkataan ini berasal dari perkataan Arab iaitu Hakim yang bermakna gabenor atau pemerintah. Akim adalah gelaran untuk ketua pentadbiran, senang cerita seperti Menteri Besar.

Saya turut mengambil peluang mencuba sukan luncur ais di Medeu. Stadium ini menyimpan sejarah sukan dunia. Pada 2012, stadium ini dijadikan lokasi kejohanan Hoki Ais Dunia Bandy.

Sebanyak 14 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan itu. Sweden merangkul gelaran juara setelah menewaskan pasukan Rusia dengan jaringan 4-5 sementara pasukan tuan rumah sekadar berada di tempat ketiga menewaskan Finland 10-5.

Hubungan Malaysia dan Kazakhstan yang terjalin sejak 16 Mac 1992 telah membawa masuk pelbagai jenis pelaburan dan kerjasama terutamanya menerusi sistem kewangan Islam, sektor halal dan pertukaran teknologi.

Kalau ada peluang, jangan lupa masukkan Kazakhstan sebagai salah sebuah destinasi utama memandangkan kita boleh berkunjung ke negara ini tanpa keperluan visa selama 30 hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN