Wan terus belajar walaupun sudah kuasai lima bahasa - Utusan Malaysia

Wan terus belajar walaupun sudah kuasai lima bahasa

Wan Amirul Asyraf (kanan) ketika turut serta dalam acara World Festival of Youth and Students 2017 di Sochi, Rusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bak kata orang, bahasa melambangkan bangsa. Tanpa bahasa tiadalah identiti diri. Namun melihatkan arus globalisasi yang berkembang pesat sejak hampir seabad lalu, banyak negara tidak lagi berdiri di atas satu bahasa, terutamanya atas faktor imigrasi.

Kebanyakan negara maju dan membangun seperti Malaysia mengiktiraf bahasa-bahasa komuniti tertentu sebagai lambang penerimaan keterlibatan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga Malaysia.

Begitupun, selain berbicara dalam bahasa ibunda, mereka yang mampu bertutur dalam beberapa bahasa asing lainnya dilihat sebagai istimewa. Lebih-lebih lagi jika mengetahui bahasa yang mempunyai abjad tulisan dan tata bahasa yang berbeza.

Wan Amirul Asyraf Wan Shamsir Nizam, 25, lulusan perakaunan dan kewangan di sebuah universiti di London, United Kingdom (UK) pada 2019 bukan sahaja bertutur dalam bahasa kebangsaan, bahkan memahami bahasa Indonesia.

Beliau juga fasih berbahasa Inggeris dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab dan Rusia.

Bagaimanapun, anak muda berasal dari Kulim, Kedah ini ternyata belum puas dengan kemampuan bahasa yang dikuasainya itu. Lantas giat mempelajari bahasa lain seperti Ibrani dan Jerman.

Kebolehan sedemikian menjadikan beliau dipanggil polyglot dan multilingual iaitu dua istilah yang diguna pakai untuk mereka yang mahir dalam beberapa bahasa.

Bersama ibu, Idza Zalina Ismail dalam majlis konvokesyen di London, UK pada 2019.

Wan Amirul Asyraf berkata, multilingual pula merujuk kepada mereka yang belajar pelbagai bahasa atas dasar keperluan.

Contohnya, warga Switzerland yang mahir dalam sekurang-kurangnya empat bahasa iaitu Perancis, Jerman, Itali dan Romansh memandangkan bahasa-bahasa tersebut adalah bahasa rasmi Switzerland.

“Golongan polyglot sangat aktif dalam menganjurkan beberapa siri acara tahunan seperti perhimpunan dan persidangan Polyglot dan Expolingua Berlin,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Amirul yang kini bekerja sebagai penganalisis pelaburan di sebuah firma berkata, keperluan mengetahui pelbagai bahasa asing pada zaman kini dilihat begitu penting.

Katanya, mereka yang mampu berkomunikasi lebih daripada satu bahasa sentiasa diberi keutamaan dalam pelbagai pekerjaan.

Beliau yang lebih mesra panggilan Wan memberitahu, ada beberapa kelebihan golongan polyglot yang harus diketahui.

“Pertama ialah peluang pekerjaan dengan bayaran gaji lebih lumayan berbanding mereka yang bekerja di posisi lain.

“Saya masih ingat lagi ketika berkunjung ke sebuah kedai jam Swatch di London. Pekerja kedai tersebut boleh bertutur dalam sekurang-kurangnya tiga bahasa, selain bahasa Inggeris,” katanya.

Kelebihan seterusnya, dapat menjalin hubungan dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia selain memudahkan urusan ketika mengembara ke negara-negara tertentu.

“Apabila seseorang itu berbicara dalam bahasa yang difahami, ia akan masuk ke dalam kepala. Namun jika berbicara dengan seseorang dalam bahasa ibunda mereka, maka ia akan masuk ke dalam hati,” jelasnya.

Para pembaca pasti merasa teruja untuk mengikut jejak langkah Wan mempelajari bahasa asing, namun cabaran untuk mempelajari bahasa juga perlu diketahui agar tidak luntur semangat.

Menurutnya, bahasa Inggeris yang dipelajari di sekolah tidak semestinya menjadikan individu itu mampu berkomunikasi dengan baik terutamanya dengan penduduk tempatan.

Wan Amirul Asyraf (atas, enam dari kanan) semasa menghadiri misi kemanusiaan di Poland pada 2019.

Katanya, ini kerana cabaran di United Kingdom ialah dialek yang berbeza-beza, bahkan ia boleh berubah selepas 100-150 kilometer berada di daerah yang lain..

Namun ia bukanlah sesuatu yang aneh memandangkan ia boleh disifatkan seperti loghat Melayu yang pelbagai.Begitu juga dialek British yang agak berbeza dengan dialek Amerika yang didengar dalami filem-filem Hollywood.

“Di sekolah menengah dahulu, bahasa Arab ditawarkan sebagai bahasa tambahan selain bahasa Perancis, Jepun atau Mandarin. Saya pilih bahasa Arab kerana sudah ada sedikit asas.

“Saya mula bercakap bahasa Arab secara teratur selepas tiga ke empat tahun mempelajarinya,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN