NILAI: Cabaran terbesar melaksanakan reformasi bukan berpunca daripada kekurangan teknologi atau kepakaran, sebaliknya disebabkan keengganan pihak menerima perubahan termasuk dalam kalangan golongan elit yang masih mempertahankan budaya rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman lebih tiga tahun menerajui pentadbiran kerajaan menunjukkan usaha memperbaharui sistem dan membanteras rasuah sering berdepan tentangan daripada pihak sudah selesa dengan amalan sedia ada.
“Pelaksanaan agenda reformasi memerlukan keberanian politik dan komitmen berterusan bagi memastikan sistem pentadbiran negara menjadi lebih telus, berintegriti dan berkesan.
“Usaha membanteras rasuah dan memperkukuh tadbir urus sentiasa berdepan tentangan daripada mereka yang mendapat manfaat ketirisan yang berlaku selama ini,” katanya ketika berucap dalam Program Temu Anwar Bersama Pelajar dan Warga Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik di Bandar Enstek, semalam.
Anwar berkata, berdasarkan teori perubahan, masyarakat lazimnya terbahagi kepada dua kelompok iaitu mereka yang mempunyai kecenderungan untuk melakukan pembaharuan dan mereka yang menolak perubahan.
Katanya, tanggapan bahawa hanya masyarakat luar bandar atau golongan kurang berpendidikan sukar menerima perubahan tidak semestinya tepat kerana individu berpendidikan tinggi, golongan intelektual dan pemegang kuasa boleh menunjukkan sikap yang sama.
“Kumpulan pertama sentiasa mahu memperbaiki diri. Kalau sudah baik, dia mahu menjadi lebih baik. Namun, ada satu lagi kelompok yang enggan berubah, kolot, jumud dan melihat setiap perubahan sebagai ancaman,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata, amalan menyorokkan kes buli di sekolah semata-mata untuk menjaga imej institusi pendidikan perlu dihentikan kerana tindakan sedemikian hanya akan memburukkan keadaan.
Katanya, usaha membanteras buli tidak boleh hanya tertumpu kepada tindakan disiplin, sebaliknya perlu disokong dengan penerapan nilai kemanusiaan dan saling menghormati dalam sistem pendidikan.
“Kita boleh jadi teknokrat, pakar IT atau memiliki PhD, tetapi untuk apa semua itu kalau tidak dididik menjadi manusia memahami nilai kemanusiaan dan menghormati orang,” katanya.-UTUSAN









