Cemburu kehidupan dalam media sosial

Cemburu kehidupan dalam media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Soalan
Saya sangat aktif menggunakan media sosial sebab ikut trend. Selepas membaca perkongsiaan rakan media sosial hati saya jadi tidak tenang. Saya cemburu dengan kehidupan mereka. Semua orang kelihatan sangat bahagia sedangkan saya tidak.

Yang Kecewa

Jawapan
Pada era digital kini, penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menyebabkan Fear of Missing Out (FOMO), iaitu perasaan takut tertinggal pengalaman yang dinikmati oleh orang lain. Keadaan ini boleh menyebabkan kita membandingkan diri, berasa cemburu, rendah diri dan kurang bersyukur. Hakikatnya, media sosial tidak menggambarkan keseluruhan realiti kehidupan. Berikut ialah beberapa tip untuk mengelakkan FOMO.

Hadkan masa
Tetapkan tempoh tertentu untuk melayari media sosial, contohnya 30 – 60 minit sehari. Elakkan membuka media sosial sebaik sahaja bangun tidur atau sebelum tidur. Semakin lama anda melihat kehidupan orang lain, semakin mudah anda terlupa untuk menjalani kehidupan sendiri.

Berhenti membandingkan

Setiap orang mempunyai masa, rezeki dan cabaran yang berbeza. Daripada bertanya, “kenapa mereka dapat apa yang mereka mahukan” lebih baik anda tukarkan kepada “perjalanan hidup setiap orang berbeza dan saya sedang menikmati perjalanan terbaik dalam hidup saya.”

Media sosial hanya ‘highlight reel’
Kebanyakan orang akan berkongsi detik-detik gembira, kejayaan dan pencapaian tetapi jarang berkongsi kesusahan, kegagalan dan perjuangan yang dilalui. Jangan mudah menilai seluruh hidup anda berdasarkan beberapa saat yang dipaparkan oleh orang lain.

Fokus kehidupan sebenar

Luangkan lebih banyak masa bersama keluarga, rakan dan lakukan aktiviti yang memberikan anda ketenangan.

Belajar bersyukur

Catat sekurangnya tiga perkara yang anda syukuri setiap hari. Contohnya anda mempunyai keluarga yang saling menyayangi, kesihatan yang baik, pekerjaan yang terjamin atau dapat peluang belajar.

Ikuti media sosial positif
Berhenti mengikuti akaun yang membuatkan anda berasa tertekan, rendah diri atau tidak mencukupi.

Kesimpulannya, jangan jadikan kehidupan orang lain sebagai ukuran kejayaan diri sendiri. Setiap orang mempunyai perjalanan, masa dan rezeki yang berbeza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN