Sekat akses, gantung lesen pengendali platform ingkar ONSA

Sekat akses, gantung lesen pengendali platform ingkar ONSA

BEBERAPA platform utama media sosial belum mematuhi sepenuhnya peraturan ditetapkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali platform media sosial dikesan masih gagal mematuhi garis panduan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) membabitkan pendaftaran remaja bawah 16 tahun.

Walaupun Kod Perlindu­ngan Kanak Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah ONSA telah berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu, siasatan Utusan Malaysia mendapati beberapa platform utama se­perti Instagram, Facebook dan Threads masih belum mematuhi sepenuhnya peraturan ditetapkan.

Proses pendaftaran akaun di platform media sosial juga masih terlalu mudah sekali gus membuka ruang kepada golo­ngan bawah umur untuk mendaftar tanpa sekatan.

Pengguna baharu hanya perlu mengisi maklumat asas seperti nama, alamat e-mel dan tarikh lahir tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan rasmi seperti kad pengenalan (MyKad) atau pasport untuk mengesahkan umur sebenar mereka.

Pakar Komunikasi Digital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Hamizah Sahharon berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan tindakan menyekat akses atau menggantung lesen operasi mereka sebagai jalan terakhir.

“Pendekatan penguatkuasaan longgar sebelum ini menyebabkan sesetengah platform kurang memberi perhatian terhadap keselamatan siber.

“Matlamat kita bukan meng­hukum tetapi mahu memastikan pihak industri bertanggungjawab sepenuhnya melindungi golongan rentan,” katanya.

Menurutnya, tanggungjawab uta­ma kawalan tetap terletak di bahu kerajaan dan pihak platform kerana ibu bapa tidak mempunyai kuasa mengawal algoritma atau tetapan had sistem.

“Meskipun ibu bapa bertindak sebagai benteng pertama di rumah, tahap literasi digital yang tidak sekata menjadi kekangan utama apabila kajian menunjukkan hanya 62.4 peratus penjaga di negara ini menye­dari kewujudan ciri kawalan ibu bapa,” katanya.

Hamizah berkata, ketiadaan sistem pengesahan umur berkesan ketika proses pendaftaran akaun mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai ancaman siber yang kritikal.

Dalam jangka pendek, golo­ngan itu amat mudah terdedah kepada kandungan tidak sesuai seperti pornografi dan keganasan selain berisiko tinggi menjadi mangsa buli siber, penipuan serta eksploitasi seksual dalam talian.

“Statistik penyelidikan tempatan sebelum ini menunjukkan situasi yang membimbangkan apabila 17.4 peratus kanak-kanak di Malaysia pernah terdedah kepada kandungan pornografi, manakala 3.3 peratus pula menjadi mangsa cyber grooming.

“Bagi jangka panjang, pendaftaran pada usia terlalu muda menyebabkan mereka mula membina jejak digital sebelum memahami implikasi privasi sekali gus meningkatkan risiko kecurian identiti serta gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan,” katanya.

Menurutnya lagi, gergasi teknologi seperti Meta kini berdepan cabaran besar bagi membina sistem pengesahan yang benar-benar kalis manipulasi tanpa menjejaskan privasi.

“Semakin tinggi tahap pengesahan yang diminta, semakin banyak data peribadi perlu dikumpulkan dan ini membuka ruang baharu kepada risiko kebocoran maklumat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tengku Siti Aisha Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, pendekatan terbaik yang boleh dipertimbangkan oleh Meta buat masa ini termasuk penyelesaian melalui pengesahan umur pihak ketiga dan berasaskan peranti.

“Sistem pihak ketiga membolehkan status umur pengguna disahkan melebihi 18 tahun secara bebas tanpa menyimpan maklumat sensitif manakala pengesahan berasaskan peranti pula memanfaatkan akaun sedia ada seperti Google atau Apple untuk mengesahkan tarikh lahir yang sah,” katanya.

Tengku Siti Aisha berkata, sistem MyDigital ID secara teknikal mempunyai keupayaan menyokong pengesahan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) kerana sudah pun dilengkapi ciri canggih seperti pengesahan biometrik, pengecaman wajah serta pemautan terus ke rekod demografi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Namun begitu, integrasi sepenuhnya dalam pasaran tempatan masih belum matang untuk diaplikasikan merentasi semua platform digital.

“Kekangan terbesar bukanlah pada teknologi AI itu sendiri sebaliknya terletak pada ekosistem identiti digital nasional yang meliputi tahap penggunaan awam, integrasi sistem dan tadbir urus dasar.

“Setakat ini, pembangunan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) serta rangka kerja dasar yang khusus masih diperlukan bagi membolehkan platform swasta berintegrasi secara selamat demi memastikan data peribadi pengguna yang meluas tidak terdedah kepada entiti komersial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN